Monday, July 28, 2008

Pakar motivasi bersama isteri dituduh terima deposit haram RM222 juta

KUALA LUMPUR 28 Julai - Seorang pakar motivasi dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menerima deposit tanpa lesen yang melibatkan pelaburan sebanyak RM222 juta antara Januari dan Julai tahun lalu.

Dr. Jailani Jabar, 48, dan Dr. Latifah Taib, 47, didakwa melakukan perbuatan itu melalui syarikat milik mereka, Jai Network Systems Sdn. Bhd. yang beroperasi di Kuantan, Pahang.

Pasangan itu menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 250(1) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Jailani dibenarkan ikat jamin RM1 juta manakala isterinya, Latifah dibenarkan jamin sebanyak RM500,000. Kes terhadap kedua-dua tertuduh itu akan disebut semula pada 29 Ogos depan.

Pada 23 Julai lalu, suami isteri itu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan kerana menghadapi 189 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai hampir RM170 juta. - Utusan

No comments: