KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen hari ini bersepakat meminta kerajaan memecat Hakim Datuk Ian Chin kerana membuat kenyataan yang boleh menjejaskan sistem kehakiman negara ini.
Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang biasanya sering bertelingkah pendapat, tetapi kali ini menyokong pandangan masing-masing berhubung perkara itu.
Ibrahim berkata kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya dan menghentikan hakim itu daripada membuat kenyataan yang hanya menjejaskan kedudukan hakim.
“Sebagai hakim beliau tertakluk kepada kod etika hakim dan (membuat) kenyataan dengan secara terbuka seolah-olah tidak terkawal.
"Sejauh mana kerajaan menjaga kod etika di kalangan hakim-hakim ini,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2008 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Pada 11 Jun lalu, Chin semasa mendengar kes pertikaian terhadap keputusan pada pilihan raya umum 8 Mac lalu di Sarawak, mendedahkan kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad pada satu persidangan hakim pada 1997 pernah mengugut akan menggunakan tribunal khas untuk menyingkirkan hakim yang membuat keputusan tidak menyebelahi kerajaan.
Kenyataan Chin itu yang disiarkan di media massa menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak mengenai tujuan kenyataan bagi memburuk-burukkan bekas Perdana Menteri itu dibuat.
Karpal turut menyifatkan kenyataan Chin itu sebagai tidak matang dan mempunyai pemikiran sempit.
“Majlis Peguam pun tidak ada ambil tindakan. Adakah Ketua Hakim Negara rela ambil tindakan terhadap beliau. Lebih baik dia dipecat dari kehakiman,” katanya.
Ibrahim yang amat bersetuju dengan kenyataan Karpal Singh itu turut menyatakan rasa hairan kerana Majlis Peguam bersikap mendiamkan diri dalam kes itu sedangkan dalam kes lain mereka paling lantang membuat komen.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga tidak bersetuju kerajaan membayar ex-gratia kepada hakim yang dipecat dalam krisis kehakiman pada 1988, sambil menyifatkan bayaran itu seumpama rasuah yang menonjolkan bahawa kerajaan menyesal, tersilap dan bersalah terhadap mereka.
Beliau berkata pemecatan hakim-hakim itu dibuat mengikut prosedur iaitu melalui tribunal dan dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong. - Bernama
Tuesday, July 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment