Monday, July 21, 2008

Siri rundingan ke-8 FTA Malaysia-AS catat kemajuan

KUALA LUMPUR: Rundingan pusingan kelapan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mencapai kemajuan, dengan kedua-dua pihak bersedia menyelesaikan isu tertangguh.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hari ini, kedua-dua pihak juga menggariskan pelan kerja susulan khusus yang disasarkan siap menjelang 1 Oktober bagi mempermudahkan lagi siri rundingan pada masa depan.

Rundingan FTA Malaysia FTA-AS pusingan kelapan berlangsung dari 14 hingga 18 Julai di Washington DC, yang memberi tumpuan terhadap enam kumpulan kerja yang kini menangani isu mengenai perkhidmatan, pelaburan, hak harta intelektual, pertanian, sanitasi dan langkah-langkah fitosanitasi serta peruntukan perundangan muktamad.



Kumpulan terbabit meneruskan perbincangan mengenai isu penting yang tertangguh, kata kementerian itu.

Mengenai perkhidmatan, Malaysia sedang menimbang untuk membenarkan penyertaan AS dalam sektor pelaburan serta teknologi, dan kepakaran akan diprelukan untuk meningkatkannya.

Kedua-dua negara juga mengkaji kemungkinan meneroka peluang kerjasama dalam bidang perniagaan dan pembangunan kapasiti dalam sektor perkhidmatan dalam kerangka kerja FTA Malaysia-AS, katanya.

Malaysia-AS juga katanya, bersetuju mengkaji semula kedudukan masing-masing dalam isu tertangguh bagi mencapai penyelesaian yang boleh diterima kedua-dua pihak menjelang bulan depan.

Kementerian itu berkata kedua-dua negara juga bersetuju membekalkan maklumat tambahan bagi memudahkan pertimbangan mengenai kedudukan masing-masing. — Bernama

No comments: