Oleh Mohamed Mustafa Ishak
Sidang Kemuncak Keenam Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) yang berlangsung di Kuala Lumpur bermula 5-8 Julai menyaksikan Malaysia sekali lagi diberi tanggungjawab penting di peringkat antarabangsa. Setelah menamatkan tugas memimpin Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sebelum ini, tugas baru yang diamanah untuk memimpin D-8 adalah suatu peluang terbaik Malaysia untuk menyerlahkan kepemimpinan dan profil antarabangsanya di pentas global.
Kementerian Luar di bawah kepemimpinan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Malaysia tidak seharusnya mempersia-siakan peluang yang diberikan ini. Untuk tempoh dua tahun dari sekarang (2008-2010), Malaysia akan menerajui D-8, sebuah pertubuhan kerjasama ekonomi lapan buah negara yang lahir di bawah payung OIC pada 15 Jun 1997.
D-8 ditubuhkan di Istanbul, Turki hasil daripada cetusan idea perdana menterinya pada waktu itu Necmetin Erbakan. Pertubuhan lapan buah negara membangun yang terdiri daripada Turki, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria dan Pakistan bukan satu 'Kelab Elit' di kalangan negara Islam yang me- nganggotai OIC.
Sebaliknya kerana negara-negara tersebut dianggap sebagai sekumpulan negara yang boleh berkerjasama dan mampu berganding bahu membentuk satu mekanisme kerjasama dalam aspek pembangunan ekonomi dan perdagangan.
OIC dengan saiz anggotanya yang begitu besar (57 buah negara), ditambah pula dengan perbezaan pandangan dan sikap politik masing-masing sukar menjadi satu kumpulan kerja yang efektif. Justeru, penubuhan D-8 diharap dapat menjadi pemangkin kepada kewujudan sekumpulan negara Islam yang dapat bekerjasama dan bersepakat dalam memakmur serta memperkasakan kedudukan ekonomi ummah.
Harapan besarnya ialah supaya kekuatan ummah Islam dapat dibina menerusi kejayaan dan keupayaan ekonominya. Persoalannya sekarang, setelah sebelas tahun D-8 diwujudkan, apakah pertubuhan ini sudah mencapai apa yang diharapkan?
Inilah isu dan persoalan besar yang perlu ditangani oleh para pemimpin D-8 dalam sidang kemuncak mereka yang keenam di Kuala Lumpur dan selepas berakhirnya sidang tersebut. Secara jujur, D-8 harus mengakui bahawa mereka belum lagi mencapai suatu pencapaian yang benar-benar memberangsangkan setakat ini.
Namun ini tidak bererti bahawa D-8 harus dilihat sebagai 'Disaster-8', iaitu suatu momokan yang pernah diterimanya pada tahap awal penubuhannya. Tempoh satu dekad adalah terlalu pendek bagi sesebuah pertubuhan antarabangsa yang baru untuk mencapai tahap kecekapan dan keberkesanan.
Oleh itu, D-8 harus mempunyai hala tuju yang jelas tentang arah haluan yang ingin dilaluinya selepas ini. Kejayaan menghasilkan roadmap atau 'peta laluan 10 tahun' untuk D-8 dalam sidang di Kuala Lumpur ini bagi meningkatkan kerjasama ekonomi di kalangan negara anggotanya adalah sesuatu yang penting untuk masa depannya.
Kini dengan mandat yang diberikan, Malaysia sekali lagi berpeluang memimpin sebuah pertubuhan kerjasama ekonomi antarabangsa, yang walaupun kecil tetapi mewakili kekuatan ummah sekitar 950 juta orang.
Ertinya, jika D-8 berjaya diperkasakan dari segi ekonominya, maka majoriti umat Islam juga akan berjaya diangkat martabatnya di mata dunia keseluruhannya. Justeru, D-8 sebenarnya adalah satu pertubuhan yang penting dalam konteks kekuatan ummah.
Umat Islam yang berjaya dari segi ekonominya, pasti mampu melakar dan mencorak arah aliran ekonomi-politik global, seperti mana berkesannya negara-negara maju yang menganggotai Kumpulan Lapan (G8), yang mencorakkan arah aliran politik-ekonomi dunia sejak sekian lama.
Pada tahap awal penubuhan D-8, sebahagian daripada anggotanya sedang bergelut dengan krisis mata wang Asia yang tercetus hanya beberapa bulan selepas ia terbentuk.
Hari ini setelah lebih sedekad usia D-8, seluruh dunia berdepan pula dengan krisis harga minyak yang melambung tinggi sehingga memukul teruk dan meninggalkan kesan mendalam ke atas perkembangan ekonomi global untuk satu jangka waktu yang tidak dapat dipastikan.
Oleh yang demikian, walaupun terdapat kalangan negara anggota D-8 seperti Iran yang lebih cenderung dengan pendirian supaya isu harga minyak ini ditangani di peringkat Pertubuhan Negara- Negara Pengeluar Minyak (OPEC) dan bukannya D-8.
Tetapi isu ini tidak wajar dibiarkan tanpa perhatian penting D-8. Ini kerana isu harga minyak adalah isu global yang mampu menggugat kestabilan politik dan ekonomi dunia keseluruhannya. Betapa pula Iran, Nigeria dan Indonesia yang menjadi rakan kongsi D-8 adalah antara negara anggota OPEC yang penting.
MiskinHakikat betapa OPEC gagal mengawal peningkatan harga minyak yang dikeluarkan olehnya adalah sesuatu yang mengecewakan seluruh dunia, khususnya negara-negara miskin yang menjadi pengimport bahan itu.
Dalam konteks ini, usaha Malaysia supaya deklarasi penutup Sidang D-8 turut menyentuh isu mencari pendekatan praktikal bagi menangani peningkatan harga minyak global adalah satu langkah penting.
Malaysia yang amat menyedari bahawa harga minyak dunia kini jauh mengatasi harga sebenar berdasarkan kos pengeluarannya, mahu kegiatan pasaran hadapan dan spekulator minyak dikawal. Mereka inilah yang mengaut keuntungan besar dengan peningkatan harga minyak di tengah-tengah kesengsaraan rakyat di negara miskin yang terpaksa bertarung dengan peningkatan kos hidup yang tiba-tiba meningkat berkali ganda.
Mereka memanipulasi sentimen pasaran dengan isu-isu yang bersifat spekulatif seperti serangan ke atas Iran, kelembapan dolar Amerika Syarikat dan penguncupan ekonominya termasuk peningkatan keperluan minyak yang semakin besar oleh China dan India bagi menampung perkembangan ekonomi mereka. Lantas mereka melonjakkan harga minyak ke tahap yang boleh membawa malapetaka ekonomi dan sosio-politik kepada dunia keseluruhannya.
Harga minyak dijangka boleh mencecah sehingga AS$200 setong menjelang akhir tahun ini. Dunia sedang bersiap sedia menghadapi satu malapetaka ekonomi yang boleh membawa kepada satu ancaman sosial dan politik yang di luar jangkaan.
Semasa sebahagian negara Asia terpukul teruk dengan krisis mata wang sekitar 1997-1998 dahulu, kegiatan spekulator mata wang juga yang dikaitkan sebagai punca terpenting krisis tersebut. Kali ini minyak pula yang menjadi tumpuan spekulatif mereka.
Justeru, sesuatu mesti dilakukan ke atas perkara ini, walaupun ia mungkin mendapat tentangan sesetengah negara lain kerana ketaksuban mereka kepada ekonomi pasaran bebas. D-8 seharusnya bertindak lebih agresif dan efektif dalam memperjuangkan soal ini demi kesejahteraan ummah dan manfaat dunia umumnya.
Perkara ini satu tugas penting Malaysia sebagai pengerusi D-8 untuk tempoh dua tahun dari sekarang.
Iran sekurang-kurangnya telah berjaya mencuri perhatian D-8 dengan menekankan betapa kewajaran dan kebijaksanaan dasarnya mengenai tenaga dengan memajukan sumber nuklear sebagai sumber tenaga alternatif. Malahan Iran menekankan supaya isu nuklear untuk tenaga ini di masukkan dalam Deklarasi Kuala Lumpur.
Walaupun masih mewah dengan simpanan minyak mentahnya, Iran nyata tidak mahu bergantung kepada minyak selama-lamanya kerana menyedari bekalannya mungkin kering satu hari nanti. Justeru, memajukan sumber tenaga nuklear yang jauh lebih murah menjadi satu dasar nasional yang dipertahankannya.
Soalnya apakah D-8 bersedia untuk satu hari nanti menjadikan pendekatan Iran ini sebagai pendekatan bersama kumpulan itu? Hanya masa yang akan menentukannya, walaupun ternyata ini bukanlah sesuatu yang begitu mudah untuk dipersetujui dan dilaksanakan.
Langkah D-8 untuk menyentuh isu bekalan makanan dunia yang kini menjadi satu agenda 'keselamatan bukan tra- disional' (non-traditional security issues) juga merupakan sesuatu yang sangat penting. Dengan bilangan keseluruhan penduduk yang hampir mencecah satu bilion, isu bekalan makanan tidak boleh dipandang ringan oleh negara anggota D-8.
Peningkatan luar biasa harga minyak dan perubahan iklim dunia menjadikan bekalan makanan suatu isu penting manusia sejagat. Dunia telah menyaksikan betapa harga bijirin seperti beras dan gandum meningkat berkali ganda seperti mana meningkatnya harga minyak sejak kebelakangan ini.
MakananDunia perlu menambah stok atau bekalan makanannya segera jika tidak mahu menyaksikan berlaku fenomena kebuluran global. Pandangan Bangladesh supaya D-8 menubuhkan bank makanan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi adalah suatu pandangan yang sangat tepat pada masa dan keadaan. Hanya mekanisme penubuhannya sahaja yang perlu diperhalusi dan diperincikan.
D-8 harus memikirkan program-program berkesan bagaimana mereka dapat menyumbang kepada penambahan makanan di kalangan negara anggota kerana saiz penduduknya yang besar. Ini adalah satu aspek bidang kerjasama ekonomi yang memerlukan penelitian rapi mereka.
Peta laluan D-8 untuk tempoh sepuluh tahun turut menggariskan keupayaan meningkatkan perdagangan sesama anggotanya yang pada masa ini berlegar sekitar daripada lima peratus kepada 15 hingga 20 peratus menjelang 2018. Peningkatan perdagangan antara negara anggota D-8 penting dalam usaha meningkatkan saling bergantungan antara negara-negara D-8 sekali gus dapat memperteguhkan ikatan kerjasama mereka.
Hubungan dagang dan ekonomi yang semakin mantap di kalangan anggota D-8 akan dapat menyerlahkan lagi nilai kerjasama kumpulan itu sekali gus menjayakan objektif penubuhannya yang asal. Selain itu kerjasama dalam menjayakan program secara usahasama di kalangan negara anggota juga dapat mengeratkan dan memperteguhkan kerjasama dalam D-8.
Bagi menjayakan tujuan tersebut, Malaysia harus menggunakan kelebihan dan pengalamannya dalam pembangunan modal insan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal khususnya di peringkat pengajian tinggi di kalangan negara D-8.
Malaysia mempunyai banyak kelebihan dalam soal ini dan harus memanfaat sepenuhnya peluang memimpin D-8 dalam mewujudkan lebih banyak projek kerjasama pendidikan dan latihan teknikal dalam kumpulan itu. Kerjasama di antara universiti-universiti dalam D-8 belum lagi diterokai secara meluas. Malah sehingga kini kerjasama secara khusus di bawah payung D-8 dalam bidang ini belum lagi wujud. Maka 'peta laluan' Kuala Lumpur harus menunjuk jalan ke arah ini.
Kerjasama dalam aspek ini sebenarnya menguntungkan semua pihak dan tidak harus dipandang sebagai memihak kepada mana-mana negara semata-mata. Pengwujudan dana dan biasiswa bagi pembangunan modal insan di bawah program D-8 pasti amat dialu-alukan oleh semua Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia. Justeru, D-8 harus menangani isu-isu ini dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti isu visa dan permit bagi melancarkan kerjasama dibidang ini.
Berdasarkan peta laluan dan deklarasi Kuala Lumpur 2008, D-8 yang kini dipimpin oleh Malaysia harus menggerakkan sekretariatnya secara lebih berkesan. Wisma Putra harus mengorak langkah lebih proaktif dan dinamik memastikan roadmap dan Deklarasi Kuala Lumpur yang dikeluarkan di akhir Sidang D-8 kali ini tidak terbiar tanpa perhatian. Di sinilah letaknya kepemimpinan dinamik Malaysia dalam menerajui pertubuhan ini.
Malaysia harus memanfaatkan sepenuhnya peluang ini dalam meletakkan profil antarabangsanya seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini. Dunia membangun amat mengharapkan daya pimpinan Malaysia bagi menghadapi cabaran-cabaran global yang semakin mendesak.
Thursday, July 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment