Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
KELMARIN rakyat Perak meraikan jubli perak pemerintahan Sultan Azlan Shah - Sultan Perak ke-34 memayungi negeri yang pernah terkenal dengan bijih timah itu.
Sempena sambutan itu, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menekankan peranan raja sebagai ketua negeri dan negara.
Titah baginda, selaku ketua negeri di peringkat negeri dan ketua negara di peringkat nasional, raja berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan (dan) payung penyatuan.
Turut disentuh di dalam ucapan itu tentang kejayaan Paduka Seri Ayahanda baginda meneruskan kesinambungan institusi raja-raja sebagai warisan sejarah kerajaan Melayu di negeri Perak.
Namun kemakmuran politik Perak yang sebelum Mac tahun lepas dinaungi Barisan Nasional (BN) sedikit berkocak kerana pertukaran pemerintahan dari kerajaan BN kepada pembangkang
Dalam sejarah 25 tahun memerintah, catatan 8 Mac 2008 menyaksikan satu demi satu kekalutan politik di Perak yang menuntut keprihatinan serta perhatian pihak Istana.
Bermula dengan pelantikan Menteri Besar - kehendak Undang-Undang Tubuh kerajaan negeri itu menetapkan hanya Melayu dan Islam sahaja boleh menjadi Menteri Besar.
Sedangkan kerajaan campuran di negeri itu terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas, setiap satu ingin menonjolkan calon masing-masing.
Keakuran dalam terpaksa mengikat PRKR dan DAP menerima pilihan Pas dan bersetuju melantik Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar pertama pakatan pembangkang di negeri itu.
Semestinya pemilihan calon Menteri Besar daripada Pas itu menimbulkan dilema DAP. Sebagai pemenang kerusi terbanyak, pastinya DAP ingin Menteri Besar terdiri daripada kaum Cina.
Namun banyak faktor perlu ditimbangkan semasak-masaknya sebelum keinginan itu dapat dilunaskan termasuk mungkin mengambil kira sentimen penyokong pembangkang berbangsa Melayu.
Tidak lama selepas itu rakyat sendiri melihat bagaimana tegarnya Pengerusi DAP, Karpal Singh mempertikaikan titah Sultan Perak agar Menteri Besar menarik balik arahan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).
Sebagai seorang 'peguam terkemuka' Karpal berhujah sambil mengingatkan Istana Perak supaya memahami 'kuasa terhad raja-raja'. Karpal juga menekankan bahawa Sultan Perak tiada hak di bawah undang-undang untuk campur tangan dalam keputusan kerajaan negeri menukar Datuk Jamry Sury sebagai Pengarah JAIP.
Setahun di Perak, pakatan pembangkang mencabar hak orang Melayu apabila memutuskan tanah-tanah di kampung baru dan kampung tersusun yang sebelum ini berstatus pajakan 99 tahun ditukar kepada hak milik kekal.
Sekali lagi keprihatinan Istana tersentuh, lantaran hal ehwal Melayu dan Islam amat berkait rapat dengan fungsi Sultan yang menjaga hak orang Melayu dan kesucian agama Islam.
Perspektif undang-undang juga amat terang dan tidak perlu disuluh lagi apabila memperkatakan perihal kuasa sultan dalam hal ehwal Islam dan Melayu.
Dalam menangani kekalutan itu, Mohammad Nizar dilihat sebagai boneka - merelakan pemilikan tanah di kalangan kaum Cina di negeri itu meningkat manakala kaum Melayu terus terpinggir dan dipinggirkan.
Kegusaran bangsa Melayu di Perak tidak reda, dan dalam kekalutan politik yang berkait rapat dengan kedudukan Melayu dan Islam di situ timbul kegemparan.
Berita Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim meninggalkan BN untuk menyertai PKR menambah kebimbangan Melayu di negeri itu.
Mereka bimbang satu kerusi DUN yang terlepas akan menyebabkan lebih banyak hak Melayu 'diserahkan' kepada pihak-pihak yang tidak sepatutnya.
Namun perkembangan terbaru semalam meredakan (biarpun tidak diketahui sampai bila) kekhuatiran bangsa Melayu apabila BN menubuhkan kerajaan negeri baru di Perak.
Segala-galanya ekoran tindakan empat ADUN pembangkang mengisytiharkan keluar parti - ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering menjadi wakil rakyat bebas.
Manakala Nasaruddin yang menimbulkan kegemparan sebelum ini kembali ke pangkuan UMNO dan Timbalan Speaker DUN Perak Hee Yit Foong juga menyertai BN kerana hilang percaya kepada pakatan pembangkang.
Apa yang pasti kekalutan hari pertama memerintah Perak tidak berakhir sehingga hari ini. Mohammad Nizar bertindak mengumumkan pembubaran DUN Perak sebelum perkenan sultan diperolehi.
Tindakan membelakangkan Istana itu sesungguhnya amat diduga kerana pemerintahan kerajaan campuran di Perak sering dilihat 'tidak peduli' apa sebenarnya peranan raja mahu pun sultan di negeri itu.
Sedangkan menurut Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Shamrahayu Abd. Aziz peruntukan Perkara 16(6) Perlembagaan Negeri Perak amat jelas.
''Sekiranya menteri besar kehilangan sokongan kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri, beliau boleh memohon kepada Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.
''Beliau boleh meletakkan jawatan yang juga merupakan perletakan jawatan kesemua ahli Exco,'' katanya.
Katanya, seperti yang diketahui setiap raja berperlembagaan mesti mengikut nasihat menteri besar dalam setiap hal bukan budi bicara.
Namun 'doktrin mengikut nasihat' ini tidak berlaku dalam hal pembubaran DUN. Dalam isu pembubaran DUN, ia adalah kuasa budi bicara (discreationary power) sultan.
Persoalan berkaitan kuasa budi bicara tidak harus dilihat sebagai perhiasan Perlembagaan sahaja atau semata-mata memberi kuasa yang tidak mempunyai implikasi penting.
''Saya percaya kuasa budi bicara ini mempunyai signifikan yang tertentu, terutamanya dalam persoalan menentukan sama ada dewan undangan perlu dibubarkan ataupun tidak,'' katanya.
Dari sudut undang-undang dan amalan Perlembagaan, jelas beliau, menteri besar tidak diberi kuasa istimewa mengenai penentuan pembubaran dewan undangan.
Oleh yang demikian, dalam keadaan yang berlaku di Perak ini, persoalan atau isu utama ialah, sama ada sultan bersetuju untuk memberi perkenan atau pun tidak terhadap pembubaran DUN tersebut.
Oleh itu, beliau berpandangan pengisytiharan pembubaran dewan oleh Menteri Besar Perak belum lagi sah di sisi undang-undang sekiranya perkenan sultan masih belum diperolehi.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa perkenan sultan untuk pembubaran dewan hanyalah formaliti.
Pendapat ini mungkin mengenepikan peranan institusi raja di negara ini. Amat tepat jika dikatakan institusi raja menjadi tonggak kestabilan sekiranya sistem demokrasi yang ada gagal atau goyah dalam menentukan kestabilan politik negara.
Keengganan sultan untuk memberi perkenan bagi tujuan pembubaran tersebut mungkin menyebabkan situasi politik yang tidak ketentuan. Begitu juga sekiranya sultan bersetuju untuk membubarkan DUN tersebut.
Kedua-dua langkah sultan, bersetuju atau tidak bersetuju untuk memberi perkenan mempunyai implikasi yang sama ke atas situasi politik.
Mungkin ada pihak yang akan merujuk kepada keadaan di Kelantan pada tahun 1976 dan 1977 yang mana keengganan sultan memberi perkenan ke atas pembubaran DUN yang telah menyebabkan pengisytiharan darurat di negeri tersebut dan seterusnya menggugat kestabilan politik di negeri tersebut.
Namun menurut Dr. Shamrahayu, situasi di Kelantan pada ketika itu berbeza dengan suasana di Perak ketika ini.
Keadaannya berbeza sekurang-kurangnya dua sebab. Pertama, di Kelantan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Kelantan telah dibuat secara sah dan keduanya,
Pembubaran DUN Kelantan mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan.
Sama ada wujud atau tidak undi tidak percaya di Perak hanya anggapan dari extraneous circumstances iaitu setelah beberapa ADUN bertukar atau keluar dari parti mereka.
Keadaan ini lebih mirip kepada situasi di Sabah, yang mana beberapa orang ADUN bertukar parti dan menyebabkan ketua menteri telah kekurangan ahli.
Apa-pun extraneous circumstances ini juga merupakan satu alasan kepada undi tidak percaya. Beliau melihat kecenderungan kerajaan campuran untuk membubarkan DUN kerana tidak mahu menyerahkan kerajaan yang diterajui PKR, DAP dan Pas itu semudah itu.
Sedangkan sekecil-kecil pilihan raya memerlukan perbelanjaan besar dan semestinya datang dari sumbangan rakyat.
Dan dalam proses tersebut juga rakyat akan melalui situasi genting yang mana, sekiranya silap percaturan, kestabilan politik dan ekonomi negara akan terjejas.
''Apa pun mungkin inilah demokrasi yang dimaksudkan oleh PKR,'' katanya.
Beliau berkata, kalau bukan kerana kepentingan politik, Mohammad Nizar sepatutnya hanya meletak jawatan, dan menyerahkan kepada Sultan Perak sekali lagi menentukan calon yang layak untuk menjadi Menteri Besar Perak yang baru.
Apa pun keadaan di Perak menjadi cabaran kepada kesemua parti politik, terutamanya Barisan Nasional yang sudah tentu masih mempunyai peluang untuk memenangi hati rakyat Perak dan sekali gus memulihkan imej parti tersebut.
Tetapi peluang yang tidak mudah diperoleh itu mesti dipelihara rapi oleh BN dan lebih penting kesempatan itu tidak boleh dipersia-siakan begitu sahaja.
Hati rakyat Perak yang mungkin pernah terluka di bawah pemerintahan BN satu masa dulu mesti diubati.
Kesilapan (jika ada) sebelum Mac lalu masih segar di ingatan rakyat negeri itu, oleh itu jika perkenan Sultan Perak esok adalah untuk tidak membubarkan DUN, maka pikullah tanggungjawab dengan berhati-hati supaya Perak tidak terlepas ke tangan pembangkang lagi.
Wednesday, February 4, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment