Saturday, January 17, 2009

Perak perlu pulangkan hak Melayu

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Kerajaan negeri Perak digesa memulangkan semula tanah hak Melayu yang dibuka sebagai penempatan kampung-kampung baru kepada kaum bukan Melayu di negeri itu.

Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu Malaysia (Badan Bertindak), Osman Abu Bakar berkata, tindakan segera perlu dilaksanakan kerajaan negeri tersebut dengan mengambil kira teguran Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah berkenaan hal itu serta hasrat rakyat negeri Perak.

''Kerajaan Perak perlu bertanggungjawab terhadap teguran yang dibangkitkan Raja Nazrin, ia juga perlu ambil kira hasrat rakyat negeri ini khususnya orang Melayu yang sedar hak mereka telah dicuri.

''Tanah hak Melayu itu perlu dipulangkan secara terhormat bagi menghormati hak kaum itu yang telah dirampas," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Raja Nazrin ketika menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di sini semalam bertitah, raja-raja Melayu telah menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula kampung baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.

Titahnya lagi, Rancangan Briggs memberi nikmat kepada 400,000 penduduk setinggan Cina di pinggir hutan berpindah ke kampung baru yang dilengkapkan dengan jalan, bekalan elektrik, air paip, kemudahan sekolah dan kesihatan serta turut dibantu mendapat pelbagai peluang pekerjaan dan kemudahan perniagaan.

Mengulas lanjut, Osman berkata, atas sebab itu, BBPM sedia menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam minggu ini bagi meminta pandangan baginda berhubung hal berkenaan.

Katanya, dua perkara yang bakal dibentangkan dalam pertemuan itu adalah usul supaya tanah tersebut dipulangkan kepada masyarakat Melayu dan status tanah kampung baru yang diberi tempoh masa 999 tahun pajakan berbanding kampung tradisional Melayu yang hanya 99 tahun pajakan.

Jelas beliau, pertemuan itu juga akan disertai pakar dan penasihat undang-undang Perak bagi menentukan tindakan yang bakal diambil badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Bagaimanapun, katanya, pertemuan itu masih belum dimaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Fuad Hassan pula berkata, kerajaan Perak perlu mengurniakan tanah pajakan 999 tahun kepada semua kaum tanpa mengira kepentingan politik semasa bagi mengelakkan golongan Melayu terguris hati.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri tersebut juga harus mempertimbangkan pemberian tanah berkenaan kepada anggota keselamatan, polis dan tentera yang berkhidmat menentang komunis bagi menghargai pengorbanan mereka.

''Jika anggota keselamatan terbabit telah meninggal dunia, keluarga mereka perlu diberi pengiktirafan melalui pemberian tanah itu.

''Permainan politik kerajaan negeri Perak hanya akan merugikan bangsa Melayu sekiranya hak golongan bumiputera terus dipinggirkan," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

No comments: