Tuesday, January 13, 2009
Malaysia desak masyarakat antarabangsa, PBB selamatkan penduduk Palestin
PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berucap pada Persidangan Khas pencerobohan Israel di Palestin di Dewan Rakyat, semalam.
Berikut ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan usul mengecam serangan rejim Zionis Israel di Dewan Rakyat, semalam.
SAYA mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang hadir walaupun notis dikeluarkan mengenai sidang ini adalah secara tergempar. Saya berterima kasih atas keprihatinan Ahli-Ahli Parlimen Malaysia, tidak mengira agama, bangsa atau haluan politik, yang bersedia membahaskan bersama satu isu yang sangat rapat di hati rakyat Malaysia iaitu penderitaan semasa yang dialami rakyat Palestin dan masa depan keamanan dan keselamatan bagi negara Palestin. Semua telah menjadi terancam akibat serangan berterusan ke atas wilayah Palestin oleh rejim Zionis di Israel.
Sesungguhnya, tindak-tanduk tentera Israel, khususnya pengeboman, pembedilan dan pemusnahan harta benda, tanpa sebarang timbang rasa, yang sedang dilakukan oleh mereka di wilayah Gaza perlu dikecam dan dikutuk oleh seluruh dunia. Perkara ini membabitkan isu pencabulan undang-undang antarabangsa, pencerobohan dan kezaliman ke atas manusia yang dilakukan oleh manusia juga.
Demi mempertahankan kredibiliti negara, kita harus bersepakat menjelaskan kepada seluruh dunia akan pendirian Malaysia terhadap tindakan yang tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis ke atas rakyat Palestin, khususnya mereka yang berada di wilayah Gaza.
Maka dengan ini saya ingin mencadangkan bahawa mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 27(3) Dewan ini mengambil ketetapan berikut:
Bahawa Israel telah melancarkan serangan ketenteraan yang dinamakan operasi 'cast lead' pada 27 Disember 2008 ke atas wilayah Palestin di Gaza meliputi pengeboman dari udara dan diikuti dengan serangan oleh pasukan tentera darat bermula pada 3 Januari 2009;
Bahawa serangan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza adalah tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ia adalah jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Perlindungan Orang Awam Dalam Masa Perang;
Bahawa rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas wilayah Palestin di Gaza dan dengan itu menolak tindakan hukuman kolektif yang diambil ke atas rakyat Palestin di Gaza; dan
Bahawa rakyat Malaysia berasa sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan PBB, untuk menghentikan serta-merta keganasan negara Israel yang dilakukan ke atas wilayah Palestin di Gaza.
Dengan ini, Dewan ini mengambil ketetapan seperti berikut:
(1) Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan wanita, kanak-kanak, termasuk bayi dan warga tua dan menggesa pengunduran menyeluruh Israel dari wilayah Palestin di Gaza;
(2) Menggesa Majlis Keselamatan PBB membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman PBB bagi menguatkuasakan gencatan senjata itu;
(3) Menggesa Perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan sesi tergempar khas Perhimpunan Agung PBB 'uniting for peace' - di bawah resolusi 377a (v) sekiranya pelaksanaan ketetapan Majlis Keselamatan PBB gagal menguatkuasakan ketetapannya yang diputuskan pada 8 Januari 2009;
(4) Menggesa pihak yang terbabit supaya menyambung semula usaha terhadap proses damai serta melaksanakan dan mematuhi pelbagai resolusi yang telah ditetapkan oleh PBB berhubung isu Palestin dan konflik Arab-Israel;
(5) Memutuskan Malaysia bekerjasama dengan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa dan piagam PBB dalam menangani konflik yang berlaku di Asia Barat sekarang;
(6) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat;
(7) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu padu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat;
(8) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk wilayah Palestin di Gaza dengan serta-merta;
(9) Menggesa Perhimpunan Agung PBB untuk menubuhkan dengan serta-merta satu tribunal jenayah antarabangsa untuk Palestin bagi menyiasat dan mendakwa penjenayah perang Israel yang disyaki terbabit dengan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin; dan
(10) mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang Dipertua kerana membenarkan Dewan yang mulia ini membahaskan isu serangan Israel ke atas wilayah Gaza.
Israel melancarkan serangan yang diberi nama 'cast lead', dengan izin, pada 27 Disember 2008, menggunakan kelengkapan perang yang serba canggih, termasuk jet pengebom F-16. Tentera udara Israel telah membunuh lebih 200 orang rakyat Palestin pada hari pertama itu saja.
Lapan hari kemudian, pada tanggal 3 Januari 2009, serangan ke atas Gaza diperhebat oleh Israel dengan menggunakan tentera darat, termasuk serangan dan bedilan oleh beratus kereta kebal besar. Pada hari ini, sekurang-kurangnya 800 orang telah mati di Gaza. Lebih 3,000 orang cedera. Hampir 15,000 orang telah menjadi pelarian dalam negeri kerana hendak lari dari kawasan pertempuran.
Persatuan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dalam satu laporannya pada tarikh 5 Januari 2008 menyatakan bahawa keadaan kehidupan manusia di Gaza sangat membimbangkan kerana makanan, bahan bakar, ubatan dan keperluan asas yang lain terlalu kurang bagi penduduk setempat.
Pada 8 Januari 2009, atas permintaan dari Malaysia dan Brazil, Presiden Perhimpunan Agung PBB atau UNGA, dengan izin, mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan sidang tergempar UNGA dan mengambil sesuatu keputusan yang sesuai, khususnya untuk mendesak Majlis Keselamatan PBB, supaya bertindak untuk mengisytiharkan gencatan senjata tanpa syarat dan memaksa pihak Israel berundur dari bumi Gaza.
Seolah-olah bertujuan menghalang berlakunya Perhimpunan Agung PBB - hasil permintaan dari Malaysia dan Brazil itu - Majlis Keselamatan berjaya bersidang dan meluluskan satu ketetapan atau resolusi pada 9 Januari 2009.
Harap Ahli Yang Berhormat sekalian ambil perhatian bahawa Majlis Keselamatan hanya bertindak setelah mereka membiarkan serangan Israel berlaku selama dua minggu tanpa sebarang keredaan dan kita semua tahu mengapa Majlis Keselamatan tiada maya untuk bertindak. Israel tidak mahu Majlis Keselamatan bertindak dan dia ada penyokong kuat dalam Majlis Keselamatan yang menghalang Majlis Keselamatan mengambil tindakan.
Sebenarnya, mengenai isu Palestin, Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya sebanyak 28 kali dalam tempoh 36 tahun sejak 1973, iaitu menyekat Majlis Keselamatan supaya tidak dapat bertindak.
Marilah kita bersama-sama menyeru bakal Presiden, Barack Obama, melakukan sesuatu yang benar-benar membawa pembaharuan. Amerika Syarikat mengaku negara demokrasi yang terulung di dunia. Mengapa ia menolak keputusan pilihan raya umum di Palestin pada 2006 yang memberi kemenangan kepada parti Hamas. Amerika Syarikat mengaku dirinya jaguh mempertahankan hak asasi manusia. Mengapa ia membiarkan Israel membunuh kanak-kanak, orang tua dan wanita biasa serta orang awam lain, semuanya tidak berdosa.
Benar, pada 9 Januari 2009, Majlis Keselamatan meluluskan Resolusi Nombor 1860 (2009) yang mengisytiharkan gencatan senjata di Gaza, mendesak supaya semua pihak mematuhi gencatan senjata dan tentera Israel diarah undur keluar dari wilayah Palestin. Tetapi resolusi ini senyap saja mengenai kepungan atau 'blockade' yang dikenakan oleh pihak Israel ke atas Palestin.
Tetapi, ada dua perkara yang sangat tidak memuaskan bersabit resolusi ini. Pertama, semua 14 negara anggota Majlis Keselamatan mengundi menyokong resolusi berkenaan melainkan Amerika Syarikat yang mengambil keputusan mengundi berkecuali. Kedua, resolusi itu tidak mengandungi sebarang peruntukan untuk mengadakan satu pasukan antarabangsa, sama ada satu kumpulan pengawasan atau satu pasukan tentera 'peace-keeping', dengan izin, untuk menyelia gencatan senjata dan menentukan segala arahan dipatuhi.
Oleh kerana tiadanya kumpulan atau pasukan antarabangsa, maka tiada siapa untuk menentukan supaya tentera Israel berundur keluar dari wilayah Gaza. Tiada siapa untuk menentukan bahawa gencatan senjata benar-benar berlaku. Inilah kelemahan Resolusi Nombor 9567 itu.
Akibatnya, pada ketika ini - iaitu sudah empat hari sejak gencatan senjata diisytiharkan - iaitu pada masa Dewan yang mulia ini sedang bersidang, serangan hebat Israel ke atas Gaza masih berlaku dan berterusan. Orang di Gaza terus mati dan cedera. Bilangan yang mati bertambah hari demi hari. Bilangan yang cedera dan kehilangan rumah tangga serta harta benda bertambah hari demi hari.
Bekalan makanan, bahan bakar, ubatan dan keperluan asas terus berkurangan hari demi hari. Bekalan bantuan dari dunia luar tidak dapat sampai kepada mangsa peperangan yang memerlukannya kerana jalan-jalan ditutup dan tidak selamat bagi pembantu-pembantu untuk bergerak bebas. Barang bantuan juga tidak dapat sampai menerusi Pantai Gaza kerana lautan sekeliling Gaza di kepung atau, dengan izin, di 'blockade' oleh Israel.
Serangan ke atas wilayah Gaza kali ini adalah yang terburuk pernah dilakukan oleh rejim Zionis terhadap Palestin sejak penaklukan wilayah itu pada 1967. Kanak-kanak Palestin ada yang mati terbunuh kena tembak, dengan izin, 'sniper fire'. Pengeboman dan bedilan kereta kebal Israel secara rambang telah kena tiga buah sekolah yang ditadbir oleh United Nations Relief and Works Agency dan serangan ini mengorbankan berpuluh anak sekolah. Kekejaman tentera Israel terhadap orang Palestin tiada tolok bandingnya.
Malaysia berasa amat sedih dan kesal dengan situasi yang berlaku di Gaza akibat serangan dan tindakan kejam tentera Israel. Beratus orang rakyat Palestin yang tidak berdosa menjadi mangsa. Serangan ini melumpuhkan sebuah wilayah kecil yang tidak berupaya mempertahankan dirinya daripada serangan kejam yang bertubi-tubi. Sekatan atau dengan izin, 'blockade', yang dilakukan oleh tentera laut Israel menyekat bantuan tiba melalui laut wilayah Gaza. Malaysia hampa dengan kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan menghentikan serangan ini, terutama kegagalan Majlis Keselamatan PBB.
Seperti yang sering dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen Malaysia di Dewan yang mulia ini, Israel sering kali dan secara berterusan bersikap angkuh melakukan tindakan agresif dan kejam ke atas rakyat Palestin sejak sekian lama. Pelbagai resolusi dilulus oleh Majlis Keselamatan tetapi tidak dihiraukan oleh Israel. Namun, Israel lebih memilih untuk tidak mengendahkan dan membelakangi undang-undang antarabangsa. Sebaliknya, Israel mengambil langkah lebih biadab dan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin.
Malaysia pernah menaruh harapan akan usaha pihak Amerika Syarikat untuk membuka jalan penyelesaian melalui proses damai Annapolis yang diadakan pada 27 November 2007. Ketika persidangan Annapolis itu, persetujuan dicapai oleh kedua-dua pihak, Palestin dan Israel, bagi mengadakan rundingan berterusan agar dapat mewujudkan negara Palestin yang bebas dan berdaulat pada akhir 2008.
Persetujuan semasa persidangan itu disaksikan oleh masyarakat antarabangsa, termasuk oleh Malaysia yang turut dijemput menyertai. Kita berasa amat kecewa apabila proses damai Annapolis menemui jalan buntu.
Masyarakat antarabangsa merata-rata mengutuk tindakan rejim Israel menyerang Gaza. Demonstrasi dan protes bagi mengecam tindakan Israel itu diadakan di beberapa negara. Malangnya, ada juga pihak yang bersikap serong dan meletakkan tanggungjawab bulat-bulat ke atas pejuang Hamas di Gaza yang melancar roket ke arah Israel. Tetapi, Ahli Yang Berhormat sekalian haruslah sedar bahawa ini adalah tindakan orang yang terkepung, tidak boleh bebas dan merentas sempadan wilayah mereka sendiri.
Pada 27 Disember 2008, Profesor Richard Falk, pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di wilayah yang diduduki, menyifatkan pengeboman Israel ke atas Gaza sebagai pencabulan besar terhadap perundangan kemanusiaan antarabangsa seperti ditetapkan oleh Konvensyen Geneva.
Bagaimanapun, Malaysia tetap tidak berputus asa. Kerajaan, melalui Kementerian Luar Negeri sudah mengarahkan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York supaya terus berusaha demi keamanan dan keselamatan bumi Palestin. Khususnya, beliau sudah diarah bekerjasama dan berurusan rapat dengan wakil negara anggota OIC dan NAM.
Sekiranya gencatan senjata terus tidak berkuat kuasa dan keadaan buruk di Gaza tidak berubah, maka negara yang sependapat dengan Malaysia mestilah berusaha semula untuk meminta Presiden Perhimpunan Agung PBB mengadakan sidang tergempar Perhimpunan Agung berlandaskan Resolusi No.377 a (v) tahun 1950 'uniting for peace'.
Saya sendiri juga sudah mengutus kepada Setiausaha Agung PBB, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Ketua-Ketua Kerajaan negara anggota Majlis Keselamatan, negara anggota OIC, negara NAM serta beberapa tokoh seperti Pope Benedict XVI, Barack Obama dan Jimmy Carter, untuk membantu dalam usaha mencari kedamaian di Asia Barat amnya dan di Gaza khasnya.
Kementerian Luar Negeri juga secara rasminya sudah mengaktifkan 'Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin' bagi membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin. Kerajaan sudah menyumbang AS$1 juta kepada penduduk Gaza melalui Mercy Malaysia.
Mengambil kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada Ahli Dewan yang mulia ini untuk turut membantu usaha murni ini dengan menggalakkan semua rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk membantu rakyat Palestin yang kini berada dalam keadaan yang amat daif akibat serangan tentera rejim Zionis.
Selaku masyarakat Malaysia yang sentiasa prihatin dan simpati kepada kesengsaraan golongan yang tertindas, marilah kita sama-sama menghulurkan sedikit sumbangan ikhlas bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.
Bersama-samalah kita memanjatkan doa kepada yang maha Esa agar bencana kemanusiaan ini dapat dihentikan serta-merta. Malaysia akan terus memantau perkembangan krisis di wilayah Palestin di Gaza.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment