Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com
KUALA LUMPUR 10 Feb. – Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini tetap mempertahankan pendiriannya untuk menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dengan alasan tindakannya itu tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang.
Malah katanya, beliau sedia didakwa di mahkamah sekiranya tindakannya itu tidak mengikut lunas undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini, Karpal menegaskan, beliau juga tidak akan memohon maaf kerana menganggap rancangannya untuk menyaman Sultan Azlan Shah bukan berupa penghinaan atau mencabar kedaulatan sultan.
“Selepas tahun 1993, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dan satu mahkamah khas ditubuhkan di mana secara jelas menyatakan raja- raja dan sultan boleh dibawa ke mahkamah.
“Perlembagaan Persekutuan (yang dipinda) itu telah memperuntukkan sedemikian. Bukan saya yang menentukannya. Saya tahu apa yang saya perkatakan,” katanya.
Bagaimanapun Karpal tidak menyebut bila beliau akan mengemukakan saman itu.
Jumaat lalu, Karpal pada sidang akhbar di Pulau Pinang menyatakan pakatan pembangkang bercadang memfailkan kes mahkamah ke atas Sultan Perak kerana menitahkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar.
Ekoran itu, pelbagai parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan tampil membuat laporan polis terhadap Karpal di seluruh negara.
Sehingga semalam, sebanyak 56 laporan polis dibuat terhadap Karpal berhubung kenyataannya itu yang disifatkan sebagai biadap dan menderhaka.
Tambah peguam itu, beliau tidak akan menarik balik kenyataan yang dibuatnya di Pulau Pinang tempoh hari kerana apa yang diperkatakan adalah benar.
“Saya bukan pengecut dan jangan ugut saya tentang apa yang telah dikatakan di Pulau Pinang tempoh hari,” tegasnya.
Ditanya mengenai siasatan polis mengikut Akta Hasutan terhadapnya, Karpal menjelaskan, beliau tidak gentar dengan segala laporan polis yang dibuat ke atasnya.
Tambahnya, beliau bersedia memberi kerjasama kepada pihak polis yang ingin mengambil keterangannya bagi membantu siasatan kes tersebut.
Bagaimanapun kata Karpal, segala laporan polis ke atasnya adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.
Karpal Singh tidak akan menarik balik kenyataannya di Pulau Pinang tempoh hari kerana apa yang diperkatakan adalah benar.
Beliau sedia didakwa di mahkamah jika tindakannya itu tidak mengikut undang-undang.
Pengerusi Kebangsaan DAP itu tidak akan mohon maaf atas tindakannya.
Karpal menegaskan beliau tidak gentar dengan segala laporan polis ke atasnya.
‘‘Saya bukan pengecut dan jangan ugut saya tentang apa yang telah dikatakan,” tegasnya.
Wednesday, February 11, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment