Wednesday, February 11, 2009

Tan Sri Zaki dilantik pengerusi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman

KUALA LUMPUR 11 Feb 2009: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi, dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Pelantikan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff; Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria; dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; pula dilantik sebagai anggota suruhanjaya itu.

“Mereka dilantik berdasarkan jawatan yang dipegang oleh mereka dalam badan kehakiman,” kata Perdana Menteri.

Pelantikan mereka dibuat mengikut Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

Perdana Menteri juga mengumumkan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, sebagai anggota suruhanjaya, mengikut Seksyen 5(1)(e) akta itu yang mengkehendaki seorang Hakim Mahkamah Persekutuan dilantik sebagai anggota suruhanjaya.

Anggota lain yang dilantik ke suruhanjaya itu di bawah Sekysen 5(1)(f) adalah empat orang terkemuka iaitu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad; bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong; bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Tan Sri LC Vohrah; dan bekas Peguam Negara, Datuk Seri Ainum Mohd Saaid.

Abdullah berkata, anggota yang dilantik di bawah Seksyen 5(1)(e) dan 5(1)(f) suruhanjaya itu adalah untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa mulai 10 Februari tahun ini sehingga 9 Februari 2011.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin anggota suruhanjaya itu dapat menjalankan tugas, kewajiban dan fungsi mereka seperti yang ditetapkan dalam akta tersebut dengan sempurna. - Bernama

No comments: