Friday, February 13, 2009

Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bukti keterbukaan kerajaan

Minda Pengarang:


PELANTIKAN sembilan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman kelmarin melengkapkan hasrat kerajaan untuk meneruskan pembaharuan dalam tadbir urus dan ketelusan pentadbiran yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika memegang jawatan itu, empat tahun lalu. Kita yakin pelantikan anggota suruhanjaya itu akan membuka perspektif baru selepas institusi kehakiman menerima kritikan teruk masyarakat berhubung isu video klip membabitkan hakim yang menggemparkan negara awal tahun lalu. Kini rakyat tidak perlu sangsi lagi terhadap proses pelantikan hakim bagi mengisi satu daripada cabang pentadbiran negara, selepas eksekutif dan perundangan melalui Parlimen, yang sejak sekian lama dikaitkan dengan pelbagai polemik sehingga mencemarkan institusi berkenaan. Suruhanjaya itu diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi dengan anggotanya Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Hakim Besar Malaya, Datuk Ariffin Zakaria, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjun dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin yang mewakili jabatan kehakiman.

Empat anggota lagi yang dilantik mengikut Seksyen 5(1)(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad; bekas Ketua Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong; bekas Hakim Mahkamah Tinggi yang juga bekas Hakim Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia, Tan Sri L C Vohrah dan bekas Peguam Negara wanita pertama, Datuk Seri Ainum Mohd Saaid. Semua anggota berkenaan akan berkhidmat bagi tempoh dua tahun berakhir 2011.

Kini menjadi tanggungjawab Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman berkenaan untuk memilih calon hakim yang sesuai bagi memenuhi jawatan utama mahkamah tertinggi, termasuk Ketua Hakim Negara bagi dikemukakan kepada Perdana Menteri. Sebelum ini, Perdana Menteri mempunyai hak mutlak bagi pemilihan calon berkenaan sebelum dipersembah perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pelantikan. Dalam pada itu, tugas suruhanjaya ini turut membabitkan cadangan kepada Perdana Menteri bagi meningkatkan mutu pengurusan jabatan kehakiman, selain cadangan penambahbaikan berkaitan bidang kehakiman negara. Bagi kita, pelantikan berkenaan melengkapkan proses pembaharuan kerajaan, namun pemilihan anggota yang terdiri daripada bekas hakim tanpa membabitkan orang awam yang berkelayakan menimbulkan rasa kemusykilan di kalangan rakyat. Daripada empat anggota yang dipilih mengikut akta berkenaan, semuanya bekas hakim dan Peguam Negara, tidak seorang pun di kalangan mereka yang berkaliber terutama orang awam atau peguam yang dihormati terpilih untuk lantikan kali pertama ini. Kita bimbang, niat baik kerajaan untuk memperkenalkan sikap telus pentadbiran tercalar berikutan pemilihan ini, namun kita yakin kerajaan mempunyai hujah tertentu terutama bagi pemilihan anggota pertama suruhanjaya berkenaan. Kita berharap bagi pemilihan anggota suruhanjaya akan datang, perlu membabitkan bukan saja mereka yang berkaitan bidang kehakiman, supaya pentadbirannya tidak dipersoalkan lagi.

No comments: