Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
PENGUMUMAN nama Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman semalam melengkapkan proses penubuhan suruhanjaya bagi menguruskan soal pelantikan hakim di negara ini.
Disenaraikan juga sembilan anggota suruhanjaya yang terdiri daripada hakim-hakim kanan dan bekas hakim ternama sejajar dengan keperluan yang ditetapkan di bawah Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008.
Semangat serta roh di sebalik matlamat penggubalan akta bertujuan mengawal selia perihal proses pelantikan hakim itu semestinya ada pada setiap anggota yang diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk memikul tanggungjawab berat itu.
Dengan Ketua Hakim Negara berperanan sebagai 'kepala' meja rundingan di kalangan anggota suruhanjaya, banyak pihak meletakkan harapan yang tinggi kepada suruhanjaya itu untuk memastikan integriti barisan hakim berada di landasan yang betul.
Apatah lagi selepas macam-macam cakap dan cerita melanda institusi kehakiman - biar pun tidak boleh ditentukan kesahihannya - namun membentuk persepsi negatif rakyat terhadap proses pelantikan hakim yang berlangsung selama ini.
Dan apabila persepsi itu berakar umbi, maka natijahnya setiap keputusan yang dibuat oleh hakim-hakim diragui dan dipersoalkan.
Sebab itu pemilihan Zaki untuk mengetuai suruhanjaya itu hakikatnya diiringi dengan harapan yang tidak boleh dipandang ringan jauh sekali dipermainkan.
Kepercayaan rakyat terhadap suruhanjaya mesti diberi keutamaan kerana institusi kehakiman yang dilihat terpisah jauh dari masyarakat sebenarnya mempunyai kaitan yang amat rapat.
Rakyat mahu barisan hakim yang di tangannya tergenggam istilah keadilan benar-benar memperjuangkan keadilan atas nama prinsip dan undang-undang.
Rakyat tidak mahu keadilan yang berpihak atau atas arahan, semata-mata kerana proses awal pelantikan barisan hakim itu mempunyai unsur-unsur yang boleh diragukan.
Rakyat mahu melihat matlamat penubuhan suruhanjaya untuk mendukung kebebasan berterusan badan kehakiman negara benar-benar dilaksanakan.
Dan untuk memenuhi harapan rakyat itu maka bebannya adalah pada suruhanjaya. Suruhanjaya mesti memastikan setiap anggotanya yang kaya dengan pengalaman dan pengetahuan menunaikan tanggungjawab masing-masing ke tahap paling baik.
Proses memilih dan melantik para hakim kanan mesti melalui peringkat perbincangan dan mendapatkan maklum balas supaya segala-galanya berjalan secara telus dan bukannya indah di atas kertas tetapi sarat dengan cacat-cela yang disembunyikan.
Ini kerana keanggotaan seramai 10 orang itu semestinya mengetahui cara mana dan kenapa seseorang itu dipilih menjadi hakim. Mereka mesti membuat penilaian yang bijak dan bukannya berlandaskan emosi setiap kali bertemu untuk memutuskan perihal hakim-hakim yang akan dilantik.
Bidang kuasa suruhanjaya yang diperincikan satu persatu pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini jelas memberi banyak peluang kepada anggotanya untuk menyemak latar belakang, menyelidiki karakter dan membuat pelbagai pertimbangan tentang calon-calon yang disenaraikan.
Tetapi perlu ditegaskan, tanpa disusuli rasa tanggungjawab, bidang kuasa seluas itu tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya lantas mengulangi kesilapan-kesilapan lalu sehingga kelak mengundang perbahasan sejauh mana suruhanjaya itu telus dan relevan.
Sebab itu, penyenaraian nama anggota suruhanjaya semalam mesti dilengkapi dengan sumpah serta ikrar di kalangan mereka untuk berfungsi mengembalikan integriti badan kehakiman.
Dan sumpah serta ikrar yang dilafazkan itu mesti ditunjukkan buktinya dengan memastikan hakim-hakim yang dilantik oleh suruhanjaya itu kelak hanya berlangsung selepas semua kriteria, syarat dan kehendak dipenuhi.
Tidak ada gunanya sekadar bersumpah dan berikrar jika dari segi pelaksanaan segala-galanya kembali ke kaedah asal sehingga menggagalkan matlamat murni penubuhan suruhanjaya.
Dan apabila timbul suasana begitu ia menyebabkan rasa tidak senang di pihak kerajaan dan kadangkala mengguris hati barisan hakim di mahkamah atasan seolah-olah mereka tidak layak untuk mengisi jawatan tersebut dan dipilih kerana sikap pilih kasih.
Dengan adanya suruhanjaya yang mengendalikan urusan pelantikan hakim, maka harapan agar kesemua persoalan berkaitan pelantikan hakim akan terlerai tidak boleh digantung begitu sahaja.
Masyarakat kini tahu siapa yang terlibat membuat pemilihan calon hakim dan sebarang kesilapan atau sesuatu yang tidak kena pada hakim yang dilantik boleh dipersoalkan dengan adanya suruhanjaya tersebut.
Ini kerana senarai keanggotaan suruhanjaya yang dibentangkan secara jelas di akta berkaitan menjadi lambang ketelusan dan integriti suruhanjaya.
Lebih daripada itu penubuhan suruhanjaya juga amat berkait rapat dengan peringatan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah supaya kuasa kehakiman dikembalikan kepada mahkamah dan bukannya eksekutif kerana mereka yang mesti menentukan siapa yang layak.
Begitu juga jika dilihat fungsi suruhanjaya yang disusun secara teliti dan terperinci untuk memastikan matlamat kerajaan tidak tergelincir dari landasan yang diimpikan selama ini.
Apa pun suruhanjaya mampu mengembalikan integriti serta kredibiliti hakim-hakim yang dilantik bukan sahaja kerana akademik, karakter, bangsa, agama tetapi kerana mereka layak untuk dicalonkan.
Namun untuk merawat parut akibat luka yang dibiarkan terlalu lama sememangnya memerlukan masa yang panjang - itulah cabaran yang dipikul oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
Biar pun masih kedengaran suara tidak puas hati berhubung keanggotaan suruhanjaya termasuk Majlis Peguam yang menuntut wakilnya turut dilantik, kesemuanya itu tidak seharusnya mencacatkan perjalanan suruhanjaya.
Yang penting, setiap anggota suruhanjaya dengan pimpinan pengerusinya yang juga Ketua Hakim Negara mesti mengorak langkah kanan, memohon restu rakyat untuk membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab tanpa melanggar amanah yang terpikul di bahu mereka.
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.
Friday, February 13, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment