Friday, February 6, 2009

Warga Aceh edar kanabis dihukum gantung




--------------------------------------------------------------------------------


SHAH ALAM 6 Feb. - Seorang buruh binaan dari Aceh Utara yang menyembunyikan kanabis dalam seluar dalam yang dipakainya, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar 866 gram kanabis, hampir lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Abang Iskandar Abang Hashim menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Muklis Jafar, 31, pada pukul 4.45 petang setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan intipati dalam pertuduhan mengedar dadah.

Tertuduh juga menurut Abang Iskandar, telah mengemukakan pembelaan yang berbentuk penafian semata-mata.

Sekalipun tertuduh, jelas Abang Iskandar, mendakwa ketika ditahan polis dia bertindak melarikan diri kerana bimbang dikaitkan dengan kesalahan imigresen. Namun pada hemat Abang Iskandar, ia secara tidak langsung boleh membawa andaian yang munasabah bahawa Muklis sebenarnya mengetahui barang yang dibawa adalah barang salah.

Muklis didapati melakukan kesalahan pada pukul 9.45 malam, 21 September 2004 di Jalan Shahpadu Kampung Teluk Kapas, Rantau Panjang, Klang dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama. Hukuman yang diperuntukkan jika sabit kesalahan ialah gantung sampai mati.

Muklis yang memakai kemeja T warna hijau dan berseluar jeans biru kelihatan tenang selepas dijatuhkan hukuman.

Sepanjang perbicaraan seramai lapan orang saksi pendakwa telah memberikan keterangan. Tertuduh yang diwakili peguam T. Vijayandran sebelum ini telah memilih memberikan keterangan tanpa mengangkat sumpah daripada kandang tertuduh dalam usaha membela dirinya.

No comments: