Thursday, February 5, 2009

Strategi Pakatan Rakyat di Perak makan diri

Oleh Abdul Rahman Sulaiman




KERAJAAN Pakatan Rakyat (PR) Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang sehingga lewat petang semalam berhempas pulas untuk bertahan, akhirnya kecundang menerusi cara yang diajar dan sering digembar-gemburkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Cara yang dimaksudkan ialah melalui pembelotan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada parti yang sebelum ini mereka wakili. Ini membolehkan parti lawan – dalam konteks negeri Perak, Barisan Nasional – menubuhkan kerajaan melalui 'pintu belakang.'

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN Perak memberitahu sidang media lewat petang semalam, bahawa parti itu kini memiliki majoriti mudah untuk mengambil alih pentadbiran negeri daripada PR berikutan langkah empat Adun meninggalkan pakatan itu lalu menyokong BN.

Keempat-empat mereka ialah Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), kedua-duanya daripada PKR, Hee Yit Foong (Jelapang) daripada DAP dan Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) yang baru-baru ini melompat menyertai PKR, tetapi kembali ke pangkuan Umno semalam.

Najib berkata, keempat-empat mereka sudah memberikan mandat kepada beliau untuk menamakan Menteri Besar yang baru dan berikrar menyokong sesiapa saja yang dipilih BN.

Dengan perkembangan terbaru itu, BN kini mempunyai 28 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, Pakatan Rakyat (28) dan Bebas (tiga).

Menurut beliau, walaupun BN dan PR mempunyai jumlah kerusi sama, ketiga-tiga Adun Bebas berkenaan sudah menyatakan sokongan terhadap BN.

Selaras perkembangan terbaru itu, Najib akan menghadap Sultan Perak secepat mungkin untuk memaklumkan secara rasmi kepada baginda bahawa BN kini mempunyai sokongan yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baru.

Fasal 16 Undang-Undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan bahawa sekiranya seseorang Menteri Besar kehilangan keyakinan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri, beliau perlu meletakkan jawatan bersama-sama dengan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) beliau.

Di Ipoh, Mohammad Nizar berkata, selepas menghadap Sultan Perak di Istana Kinta bahawa kini segala-galanya terpulang kepada baginda untuk memutuskan sama ada BN layak menubuhkan kerajaan negeri atau membubarkan Dewan Negeri.

Sebelum itu, Mohammad Nizar memanggil sidang media untuk mengumumkan pembubaran Dewan Negeri, walaupun belum mendapat perkenan Sultan. Langkah itu dilihat bukan saja kurang manis, malah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan negeri yang jelas menyatakan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri hanya boleh dilakukan dengan perkenan Sultan selepas mendapat nasihat Menteri Besar.

Dalam hubungan ini beliau sudah membelakangi Sultan. Di samping itu, ada juga keraguan sama ada beliau masih mempunyai locus standi untuk menasihati Sultan, sedangkan beliau tidak lagi mendapat keyakinan sebahagian besar anggota Dewan.

Suasana kalut dan kecoh yang berlaku di Perak sepanjang semalam adalah kemuncak kepada rentetan peristiwa yang menyelubungi politik Perak sejak hujung minggu lalu, bermula dengan keputusan Adun Bota keluar daripada BN untuk menyertai PKR.

Ini diikuti dengan apa yang dilaporkan sebagai 'kehilangan' Jamaluddin, Mohd Osman dan Yit Foong. Berikutan itu, PKR menyerahkan surat peletakan jawatan kedua-dua anggotanya yang terbabit sebagai Adun kepada Speaker, V Sivakumar.

Kedua-dua Adun berkenaan yang juga sebelum ini anggota Exco menafikan bahawa mereka berhasrat untuk meletak jawatan. Mereka menjelaskan surat yang dipanjangkan kepada Sivakumar itu adalah surat tanpa tarikh yang mereka dipaksa menandatanganinya selepas memenangi kerusi masing-masing dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu.

Berikutan percanggahan dan keraguan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya dalam mesyuarat khas kelmarin memutuskan bahawa kedua-dua Adun berkenaan masih sah sebagai anggota Dewan.

"Selepas meneliti secara mendalam dan rapi dari pelbagai sudut perundangan, SPR memutuskan tidak dapat menggunakan kuasa di bawah Perkara 36 (5) Perlembagaan Negeri Perak dalam memastikan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi itu," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Lewat petang semalam, Yit Foong pula mengisytiharkan keluar daripada DAP, sementara Nasaruddin mengumumkan keputusannya kembali ke pangkuan Umno.

Dengan keputusan perkembangan itu, pemimpin kanan PR menjadi panik kerana nyata strategi mereka untuk memaksa pilihan raya kecil di Behrang dan Changkat Jering sebagai jalan penyelesaian masalah yang mereka cipta sendiri dengan memikat Nasaruddin menyertai mereka beberapa hari lalu, nyata terbantut.

Dalam keadaan seperti telur di hujung tanduk itu, Menteri Besar selaku ketua kerajaan negeri hanya ada dua pilihan – mencabar keputusan SPR berhubung kedudukan dua Adun terbabit atau membubarkan Dewan Undangan Negeri untuk membolehkan pilihan raya negeri yang baru diadakan.

Kedua-dua pilihan itu juga bukan mudah. Andainya kerajaan negeri memutuskan untuk mencabar keputusan SPR di mahkamah, ia bukan saja memakan masa lama untuk diputuskan, tetapi juga besar kemungkinan keputusan mahkamah tidak akan menyebelahi mereka.

Ada keputusan Mahkamah Persekutuan untuk satu kes yang sama pada 1982. Dalam kes membabitkan anggota Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Datuk Ong Kee Hui melawan Presiden parti ketika itu, Sinyium anak Mutit, mahkamah memutuskan tindakan menyerahkan surat peletakan jawatan tanpa tarikh kepada Speaker bercanggah dengan kepentingan awam dan dengan itu adalah tidak sah.

Di bawah prinsip perundangan berhubung doktrin duluan (Doctrine of Precedence), keputusan terdahulu oleh sesuatu mahkamah mengikat mahkamah yang setaraf dan mahkamah yang lebih rendah.

Berdasarkan kepada hakikat ini, usaha membawa kes berkenaan ke mahkamah hanyalah satu usaha yang sia-sia.

Mungkin hakikat inilah yang mendorong Mohammad Nizar memilih opsyen kedua, iaitu membubarkan Dewan Undangan Negeri. Tetapi di bawah undang-undang, Dewan hanya boleh dibubarkan dengan perkenan Sultan yang berpuas hati bahawa tiada pihak lain yang boleh menubuhkan kerajaan.

Apa yang berlaku semalam, ialah Menteri Besar mengisytiharkan pembubaran Dewan sebelum mendapat perkenan Sultan, sedangkan baginda sudah dimaklumkan oleh anggota Dewan terbabit melalui surat bahawa mereka tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepemimpinan kerajaan negeri.

Semua perkembangan ini menunjukkan bahawa strategi yang kelihatan rapi diatur oleh Pakatan Rakyat selama ini nyata sudah menjerut leher mereka sendiri.

Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama

No comments: