Thursday, February 12, 2009
Zaki pengerusi badan pelantikan kehakiman
Zaki Azmi
Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
Sembilan termasuk bekas Peguam Negara wanita pertama dilantik
PUTRAJAYA: Bekas Peguam Negara wanita pertama, Datuk Seri Ainum Mohd Saaid, adalah antara sembilan tokoh terkemuka yang dilantik menganggotai Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad; bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dan bekas Hakim Mahkamah Tinggi yang juga bekas Hakim Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia, Tan Sri L C Vohrah, turut dipilih menganggotai suruhanjaya itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, berkata pelantikan empat tokoh terkemuka itu dibuat mengikut Seksyen 5(1)(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
Abdullah juga mengumumkan pelantikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi, sebagai Pengerusi suruhanjaya itu.
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff; Hakim Besar Malaya, Datuk Ariffin Zakaria dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum pula dilantik sebagai anggota suruhanjaya berkenaan.
Perdana Menteri menjelaskan pelantikan mereka dibuat berdasarkan jawatan yang dipegang dalam badan kehakiman dan mengikut Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin turut dilantik menganggotai suruhanjaya itu mengikut Seksyen 5(1)(e) akta berkenaan.
Abdullah berkata, anggota suruhanjaya yang dilantik mengikut kedua-dua seksyen berkenaan adalah untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa semalam sehingga 9 Februari 2011.
Perdana Menteri yakin anggota suruhanjaya itu dapat menjalankan tugas, kewajipan dan fungsi mereka seperti yang ditetapkan dalam akta itu dengan sempurna.
Akta itu yang diluluskan Parlimen pada Disember lalu, bertujuan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang bertanggungjawab terhadap pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, termasuk Ketua Hakim Negara.
Suruhanjaya itu ditubuhkan susulan janji yang dibuat oleh Abdullah untuk memulihkan integriti institusi kehakiman berikutan kes video klip membabitkan pelantikan hakim yang didedahkan awal tahun lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment