Thursday, February 28, 2008

BN menang lagi tanpa bertanding di DUN Sabah

KOTA KINABALU 27 Feb. – Barisan Nasional (BN) menambah satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila calonnya di Gum-Gum, Datuk Zakaria Mohd. Edris (gambar) diisytiharkan menang tanpa bertanding apabila calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohaspa Mohd. Hassan menarik diri, petang ini.

Kemenangan itu menjadikan BN setakat ini memenangi 11 kerusi iaitu lapan kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN.

Mohaspa, 39, menyerahkan permohonan menarik diri kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Gum-Gum, Jeffery Aman pada pukul 6 petang ini.

Calon yang bertanding pada pilihan raya dibenarkan menarik diri dalam tempoh tiga hari selepas penamaan calon Ahad lalu dan berakhir pada pukul 12 tengah malam ini.

Kemenangan Zakaria yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri itu menjadikan dua calon kawasan DUN dan dua kerusi Parlimen BN menang tanpa bertanding di Sabah.

Mereka ialah Datuk Ramlee Marhaban (DUN Bugaya), Datuk Ghafur Salleh (Parlimen Kalabakan) dan Tan Sri Joseph Kurup (Parlimen Pensiangan).

Zakaria ketika dihubungi percaya tindakan itu adalah kerana calon PKR tersebut tidak yakin untuk meneruskan pertandingan memandangkan rakyat di kawasan berkenaan dapat mengukur sejauh mana perkhidmatan yang telah dan akan dilaksanakan oleh BN.

Menurutnya, selama ini BN bekerja keras membela nasib rakyat termasuk mengurangkan jumlah keluarga miskin tegar selain membina Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

‘‘Kita juga merancang pelbagai program bagi memajukan ekonomi masyarakat termasuk mewujudkan satu kawasan sebagai hab pendidikan di Sandakan. Semua ini bakal memberi faedah kepada penduduk di sini,” katanya.

Beliau merupakan penyandang kerusi DUN Gum-Gum menewaskan calon PKR, Zaharah Tan dengan majoriti 2,498 pada pilihan raya 2004.

Semalam, dua calon Bebas turut menarik diri di Sabah iaitu Dasun Sumbin di DUN Tanjung Batu dan Mohd. Sayadi Bakl di DUN Senallang. Bagaimanapun tindakan menarik diri itu tidak memberikan apa-apa kesan kerana kedua-dua DUN itu masing-masing masih terdapat tiga lagi calon bertanding.

No comments: