KUALA LUMPUR 7 Feb. – Teka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum ke-12 terus hangat diperkatakan dengan spekulasi terbaru membayangkan ia akan diadakan seawal 8 Mac atau selewat-lewatnya 15 Mac ini.
Bagi membolehkan pilihan raya diadakan pada tarikh itu, ramai membuat andaian bahawa pembubaran Parlimen akan berlaku sekitar dua minggu lagi.
Sungguhpun pandangan pelbagai pihak menjurus kepada awal Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diajukan perkara itu hari ini sekadar berkata: ‘‘Khabar angin adalah khabar angin.’’
Abdullah bagaimanapun berkata, apabila beliau membuat keputusan mengenainya, masa tersebut adalah sesuai.
‘‘Sebarang masa adalah sesuai, bila saya buat keputusan,’’ kata Perdana Menteri ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Dewan Wawasan, Menara PGRM di sini.
Walaupun sering mengelak ketika ditanya mengenai tarikh pilihan raya sebelum ini, jawapan Abdullah semasa melawat Kelantan minggu lepas bahawa beliau ‘‘sudah ada ilham’’, memperkuatkan andaian banyak pihak bahawa ia akan diadakan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, kenyataan terbuka Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali hari ini mengenai ramalan tarikh pembubaran Parlimen terus menghangatkan perbualan berhubung pilihan raya umum.
‘‘Pilihan raya umum semakin hampir dan setiap rakyat perlu memberikan sokongan kepada kerajaan sekarang.
‘‘Saya percaya Parlimen akan dibubarkan dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina di rumah Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan di Taman Gunung View, Ipoh.
Semasa pilihan raya umum ke-11, Parlimen dibubarkan pada 4 Mac 2004. Ia diikuti hari penamaan calon sembilan hari kemudian dan tarikh mengundi pada 21 Mac 2004.
Jika mengikut congakan tempoh dua minggu dari hari ini seperti diramalkan Menteri Besar Perak itu, Parlimen mungkin dibubarkan pada 21 Februari ini.
Mengambil kira trend tempoh 17 hari yang diambil bermula hari pembubaran Parlimen pada pilihan raya umum lepas pula, maka tarikh pembuangan undi kali ini ialah pada Sabtu, 8 Mac.
Demam pilihan raya kini semakin membahang dengan Perdana Menteri sering diajukan pertanyaan mengenai tarikh `keramat’ itu walaupun mandat yang dipegang Barisan Nasional (BN) cuma akan berakhir pada 16 Mei 2009.
Ura-ura bahawa pilihan raya umum akan diadakan Mac ini dibuat berdasarkan beberapa petunjuk positif seperti peningkatan pasaran saham tempatan yang pernah disifatkan Abdullah sebagai bukti keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara yang sedang berkembang baik.
Sementara itu ketika diminta mengulas pencalonan menantunya yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk bertanding Parlimen Rembau oleh UMNO bahagian tersebut, Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata, beliau tidak akan memberi komen mengenai pencalonan sesiapa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment