Tuesday, February 12, 2008

SCORE dilancar -- * Libatkan pelaburan RM334b * Tarik komitmen swasta RM500b




Oleh Fauzi Jaafar dan Muhamad Zaid Adnan



ABDULLAH Ahmad Badawi, Jeanne Abdullah, Abdul Taib Mahmud dan Nor Mohamed Yakcop melihat model Projek Empangan Hidroelektrik Bakun pada majlis pelancaran Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak di Bintulu, Sarawak, semalam. – Gambar AMIR HAFIZ ABD RAHMAN.

--------------------------------------------------------------------------------



BINTULU 11 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) yang berteraskan penerokaan sumber tenaga secara mesra alam dengan pelaburan berjumlah RM334 bilion dalam tempoh 23 tahun.

Sambutan terhadap SCORE daripada para pelabur amat memberangsangkan sebaik sahaja ia dilancarkan.

Beberapa jam selepas merasmikan koridor pembangunan itu, Perdana Menteri memberitahu, SCORE telah menerima komitmen pelaburan jangka panjang sebanyak RM500 bilion hasil memorandum persefahaman (MoU) 24 syarikat swasta yang ditandatangani hari ini.

Menurut pelan induk SCORE, koridor itu memerlukan suntikan RM200 bilion untuk membangunkan pelaburan dalam industri, sektor tenaga (RM67 bilion), infrastruktur (RM61 bilion), modal insan (RM3 bilion) dan infrastruktur institusi (RM3 bilion).

Kerajaan Pusat akan menyumbang 15 peratus daripada jumlah pelaburan SCORE yang akan dimajukan bermula dari tahun 2008 sehingga 2030.

Ketika berucap melancarkan SCORE di sini, Abdullah berkata, SCORE bakal menjadikan Sarawak maju seiring dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Beliau berkata, Koridor Sarawak itu akan dibangunkan di wilayah tengah negeri ini merangkumi kawasan Bintulu, Kapit, Sibu, Mukah dan Sarikei yang merangkumi keluasan 70,708 kilometer persegi.

Ia merupakan antara koridor pembangunan yang terbesar di negara ini dan menjadi mutiara baru ekonomi Malaysia selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Keseluruhannya, sebanyak RM833 bilion akan dilaburkan dalam koridor-koridor pembangunan itu dalam tempoh 18 hingga 25 tahun dengan SCORE menerima RM334 bilion, WPI mendapat RM105 bilion, NCER memperoleh RM177 bilion, ECER menjana pelaburan RM112 bilion dan SDC dimajukan dengan pelaburan RM105 bilion.

‘‘Tenaga merupakan teras utama Koridor Sarawak dan menjadi elemen terpenting bagi menjayakan pembangunan koridor ini. Sesungguhnya pembangunan tenaga hidro, arang batu, petroleum dan gas mempunyai potensi besar untuk dibangunkan.

‘‘Pembangunan sektor perindustrian dapat memoden dan mempelbagaikan ekonomi Sarawak. Di samping itu ia membolehkan ekonomi Sarawak to move up the value chain,” kata Abdullah pada pelancaran SCORE yang turut dihadiri oleh isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isterinya, Puan Sri Laila Taib.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Aziz Samsudin dan barisan menteri Kabinet negeri juga hadir menyaksikan pelancaran koridor pembangunan itu yang bakal melonjakkan ekonomi Sarawak ke arah satu kehebatan baru.

Pada majlis itu, Abdullah menyaksikan upacara menandatangani 13 MoU antara kerajaan negeri dengan syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam pembangunan koridor tersebut.

Antara MoU yang ditandatangani ialah persefahaman antara kerajaan negeri dengan Sarawak Energy Bhd., Cahaya Mata Bhd. dan Rio Tinto Aluminium Ltd. bagi membekalkan tenaga antara 900 megawatt hingga 1,200 megawatt untuk projek loji peleburan aluminium di Similajau dengan pelaburan bernilai RM5.25 bilion.

Pada majlis itu, Abdullah turut mengumumkan peruntukan RM5 bilion untuk projek berimpak tinggi yang telah dikenal pasti dalam jangka masa Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi memacu pembangunan Koridor Sarawak.

‘‘Peruntukan ini akan disediakan melalui kajian semula projek di bawah RMK-9 dan penambahan peruntukan semasa kajian separuh penggal RMK-9 nanti,” kata beliau.

Mengulas mengenai pelaksanaan SCORE, beliau berkata, sebanyak sepuluh industri telah dikenal pasti untuk diberi penekanan khusus termasuk industri berasaskan petroleum dan gas, aluminium, keluli, kaca, minyak sawit, kejuruteraan marin, ternakan serta perikanan dan akuakultur.

Apabila dimajukan, kata Perdana Menteri, industri-industri itu dijangka membawa impak ekonomi yang besar kepada Sarawak dan mampu dijadikan asas untuk membangunkan industri-industri hiliran dan sokongan lain.

Kata Abdullah: ‘‘Betapa tingginya terbang burung kenyalang, begitu tingginya juga harapan rakyat Sarawak terhadap kejayaan koridor ini.

‘‘Sekarang tibalah masanya untuk kita melaksanakan pelan pembangunan Koridor Sarawak.”

No comments: