KUALA LUMPUR 5 Feb. – Suruhanjaya Diraja Siasatan berhubung klip video membabitkan pengaturan pelantikan hakim-hakim hari ini memutuskan menarik balik hak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengikuti prosiding melalui peguam pemerhatinya, M. Puravelan dan dua lagi, ekoran keengganan bekas Timbalan Perdana Menteri itu memohon maaf serta menarik balik artikel menghina suruhanjaya yang disiarkan dalam satu laman web.
Keputusan tersebut dibacakan oleh ahli suruhanjaya yang juga bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
Sejurus selepas keputusan dibacakan, Puravelan, sambil tersenyum kelihatan berjalan keluar meninggalkan prosiding suruhanjaya kira-kira pukul 3.50 petang.
Turut mengekori beliau, peguam Mohd. Yusmadi Md. Yusof, Oh Choong Ghe dan Ravi Nekko yang turut mewakili Anwar, dua pemimpin PKR, R. Sivarasa dan Sim Tze Tsin.
Pada prosiding semalam, oleh kerana Anwar enggan meminta maaf, ahli Suruhanjaya yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar berkata, mereka sedang memikirkan tindakan lanjut yang akan diambil terhadapnya (Anwar).
Sebelum itu, Suruhanjaya Diraja Siasatan klip video pada 30 Januari lalu telah menegur kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dan Presiden Aliran, R. Ramakrishnan yang menghina suruhanjaya itu.
Ahli Suruhanjaya, diberitahu bahawa kenyataan Ramakrishnan disiar pada 28 Januari lalu dalam laman web pertubuhan tersebut.
Artikel bertajuk Inkuiri Lingam: Aliran terkejut dan kecewa menyalahkan keputusan suruhanjaya yang tidak memanggil Anwar, Sivarasa dan Tze Tsin sebagai saksi.
Dalam artikel bertajuk Tangan-tangan ghaib menguasai suruhanjaya tulisan Andrew Ong, Anwar mendakwa ada pihak yang tidak kelihatan telah mempengaruhi suruhanjaya dalam keputusannya untuk tidak memanggil bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai saksi.
Wednesday, February 6, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment