Wednesday, February 6, 2008

FTA Malaysia, India dimuktamad tahun depan

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Hubungan dagang Malaysia dan India meningkat ke tahap baru apabila kedua-dua pihak bersetuju memuktamadkan rundingan mengenai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh (CECA) menjelang Mac tahun depan.

Jawatankuasa rundingan dagang kedua-dua negara, yang baru memuktamadkan mesyuarat pertama mereka di sini hari ini, merumuskan bentuk dan rangka pelaksanaan menyeluruh CECA, yang lebih dikenali sebagai Perjanjan Perdagangan Bebas (FTA), dengan objektif untuk menjalin usaha sama ekonomi yang dinamik dalam jangka panjang antara kedua-dua negara.

Menurut Pejabat Persuruhjaya Tinggi India di sini, jawatankuasa itu yang mengadakan mesyuarat selama dua hari mulai semalam, menetapkan skop liputan bagi perdagangan barangan, perdagangan dalam perkhidmatan, pelaburan dan bidang lain kerjasama ekonomi mengikut CECA.

Mereka juga membentuk kumpulan-kumpulan kerja untuk membincangan lebih mendalam isu-isu berkenaan, kata Pejabat Persuruhjaya Tinggi itu menerusi satu kenyataan hari ini.

"Mesyuarat jawatankuasa itu seterusnya ditetapkan antara 10 dan 12 April di New Delhi. Sesi pertemuan kumpulan-kumpulan kerja pula dilakukan menerusi persidangan video.

Delegasi India diketuai oleh Setiausaha Bersama Perdagangan dan Perindustrian P.K Dash manakala Malaysia diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Perdagangan) Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria.

Tahun lepas, kedua-dua negara bersetuju memulakan rundungan FTA selepas kajian kesesuaian pelaksanaan FTA antara kedua-dua negara selesai.

Menurut kajian, dagangan antara Malaysia dan India menerusi FTA dua hala boleh meningkat sebayak 1.3 kali kepada AS$11.85 bilion (RM38.24 bilion) bagi Malaysia, dan 2.5 kali kepada AS$4.63 bilion (RM14.94 bilion) bagi India menjelang 2012.

Terdapat 13 sektor berpotensi atau bidang bagi kedua-dua negara meneroka lebih lanjut dan meningkatkan kerjasama dua hala menerusi FTA.

Ia meliputi teknologi maklumat dan komunikasi, terutama dalam pembangunan perisian, bioteknologi, pendidikan dan pelancongan.

- Bernama

No comments: