Thursday, February 14, 2008

Semua negeri bubar DUN

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Semua negeri kecuali Sarawak hari ini membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi ruang untuk mengadakan pilihan raya umum ke-12 dalam masa terdekat.

Pembubaran itu diperkenankan oleh Sultan dan Yang Dipertuan Besar negeri di istana negeri masing-masing untuk diwartakan sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Di SELANGOR, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang pada pukul 5.08 petang ini bagi mendapatkan perkenan baginda membubarkan DUN.

Di MELAKA, Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob ketika mengadakan kunjungan hormat di pejabatnya di Seri Negeri, pukul 1 petang ini.

Di JOHOR BAHRU, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) bagi membolehkan pilihan raya diadakan setelah diperkenankan oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene petang ini.

Di NEGERI SEMBILAN pula, DUN dibubarkan selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besarnya, Tuanku Ja‘afar Tuanku Abdul Rahman pada pukul 1 petang ini.

Sementara di SABAH, pembubaran dibuat setelah mendapat perkenan daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Shah Abdullah dalam satu pertemuan di Istana Negeri, kira-kira pukul 2.30 petang ini.

Di PERAK pula, DUN dibubarkan selepas mendapat perkenan daripada Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Istana Perak di Kuala Lumpur pada pukul 6 petang.

Di PERLIS, Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan pembubaran DUN selepas menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail bagi memohon perkenan pembubaran DUN di Istana Arau, petang ini.

Di PAHANG, pengumuman pembubaran DUN Pahang itu dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Yayasan Pahang di sini.

No comments: