Friday, February 8, 2008

Demi kepentingan rakyat – PM

Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan penguatkuasaan sepenuhnya larangan membawa keluar 10 daripada 20 barang kawalan di semua pintu masuk sempadan dibuat demi kepentingan rakyat negara ini.

Perdana Menteri berkata, tindakan kerajaan itu bagi memastikan rakyat tidak akan berhadapan dengan kekurangan barang kawalan itu seperti yang berlaku sebelum ini.

‘‘Ini adalah tindakan baik demi kepentingan rakyat, memandangkan bila barang-barang kawalan itu murah, ia akan menarik rakyat negara jiran untuk membawanya pulang ke negara masing-masing.

‘‘Keadaan ini akan mencetuskan masalah kekurangan barang-barang tersebut di pasaran tempatan dan menimbulkan masalah kepada rakyat negara ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Dewan Wawasan, Menara PGRM di sini hari ini.

Turut hadir pada rumah terbuka itu ialah isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Penasihat Gerakan yang juga Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal mengumumkan kerajaan akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan membawa keluar 10 daripada 20 barang kawalan di semua pintu masuk sempadan negara mulai 1 Mac ini.

Sepuluh barang kawalan tersebut yang diwartakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 ialah gula, tepung gandum, minyak masak, simen dan klinker, petrol, spirit motor dan gasolin motor bagi semua gred.

Mereka yang didapati membawa keluar barang-barang kawalan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, hukumannya ialah denda maksimum RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

‘‘Barang-barang kawalan itu telah diberi subsidi serta murah dan ia adalah khusus untuk kepentingan rakyat negara ini bukan untuk orang lain,’’ tegas Perdana Menteri.

No comments: