Oleh Kadir Dikoh, Jami’ah Shukri dan Azrul Affandi Sobri
SEPERTI dimaklumkan, SPR sudah bersiap sedia mengendalikan Pilihan Raya Umum Ke-12 termasuk selesai mengadakan kursus untuk pegawai pengurus pilihan raya serta menghantar peti undi lutsinar. Apakah ini kerana SPR sudah diarahkan kerajaan untuk bersedia sekarang.
SPR tidak dimaklumkan mengenai tarikh pilihan raya, cuma diberikan bayangan pilihan raya umum diadakan pada 2008. Tempoh hayat Parlimen, tamat pada Mei 2009. Lazimnya, SPR buat persiapan awal dua tahun sebelum tamat tempoh kerajaan, walaupun kerajaan tidak beri sebarang bayangan. Sebenarnya, kami sudah dua tahun membuat persiapan. SPR sudah bersiap sedia termasuk melengkapkan peralatan. Kelengkapan lain saja ada 250 jenis. Ini bukan jumlah yang sedikit.
Dalam tempoh seminggu dua ini, adakah kerajaan atau tepat lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ada memberikan sebarang ‘petunjuk’ mengenai bila nak bubar Parlimen bagi membolehkan SPR terus buka ‘gear lima’ dalam persiapan itu.
Sebenarnya, ia tidak perlu petunjuk. Perdana Menteri hanya tanya SPR, sama ada kita sudah bersedia atau tidak, itu saja. Biasanya saya tidak bincang tarikh pilihan raya umum dengannya kerana tarikh pembubaran adalah hak Perdana Menteri. Tetapi parti pemerintah mempunyai kuasa untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, bila nak membubarkan (Parlimen). Dua tiga minggu lalu, Perdana Menteri ada tanya kepada SPR mengenai persediaan SPR menghadapi pilihan raya. Kita sudah selesai mengadakan taklimat dan latihan kepada pegawai pilihan raya, sejak akhir bulan lalu. Peralatan bagi pilihan raya juga sudah disediakan sejak dua tahun lalu. Kita juga akan menyewa 40 helikopter dari Filipina, Thailand dan Indonesia, bagi menambah keperluan helikopter tempatan yang disewa daripada pihak swasta.
Lazimnya, menjelang pilihan raya umum seperti sekarang, apa yang dibimbangkan oleh Tan Sri.
Saya bimbang mengenai jumlah kakitangan dan sejauh mana kecekapan mereka selepas diberi latihan. Sehingga ini, sebanyak 1,497 tempat mengundi dan 7,950 pusat mengundi dan dengan itu, kita perlu ada 21,497 ketua di tempat mengundi saja. Ini semua terdiri daripada pengetua, guru besar dan pegawai kerajaan yang sudah dikenal pasti untuk dilatih. Mereka hanya diambil untuk urusan itu. Bagaimanapun, daripada tahap latihan itu ada kalanya membimbangkan kita. Saya yakin kebanyakan mereka yang diambil sudah terbabit dalam bidang itu dalam pilihan raya sebelum ini. Cuma yang merisaukan saya ialah, pilihan raya ini adalah berkaitan undang-undang, semua kena patuh kepada undang-undang, tidak boleh dilakukan sesuka hati. Kita beri garis panduan lengkap supaya mereka dapat mengikut setiap langkah perjalanan pilihan raya. Mereka perlu menelitinya dengan cermat. Jika keluar daripada garis panduan, mereka dikira melanggar undang-undang. Kalau di bawa ke mahkamah dan disabit kesalahan, keputusan pilihan raya boleh dibatal. Inilah yang kita tidak mahu berlaku. Bagaimanapun, pada pilihan raya lalu, kita tidak menghadapi sebarang masalah. Keseluruhan pegawai yang terbabit dalam pilihan raya adalah seramai 200,000 orang. Angka terakhir pegawai yang diambil dan sudah menjalani latihan ialah seramai 149,000 orang. Selepas Parlimen dibubarkan, SPR sekali lagi akan mengadakan latihan, kali ini lebih intensif bagi penggunaan dakwat untuk pengundi yang buat kali pertama diperkenalkan. Setiap pengarah negeri akan memanggil kesemua pegawai berkenaan. Dakwat tidak dapat ditempah awal kerana ada tarikh luput dan untuk mengelakkan bahan kimia digunakan pada dakwat itu terdedah dan mudah luput.
Pada pilihan raya umum kali ini diperkenalkan penggunaan dakwat khas dan peti undi lutsinar. Apakah kelebihannya dan sama ada ia memenuhi tuntutan daripada pihak pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu SPR lebih telus.
Kelebihan penggunaan dakwat itu adalah untuk mengelak penipuan seperti pemilih mengundi dua kali bagi pihak orang lain. Setakat ini, tiada kes penipuan dikesan membabitkan pemilih mengundi dua kali bagi pihak orang lain apatah lagi untuk dibawa ke mahkamah. Sebenarnya, penggunaan dakwat itu adalah untuk memenuhi permintaan sebilangan pihak bagi mengelak sebarang penipuan. Kita hanya mahu pihak terbabit puas hati dan ingin menunjukkan ketelusan. Peti undi lutsinar juga digunakan untuk memperlihatkan proses pilihan raya bersih dan telus. Ada pihak mengadu peti undi yang digunakan sebelum ini boleh ditukar, walaupun dakwaan itu tidak berasas. Oleh kerana ada tuduhan, kita tidak mahu isu itu dipolitikkan. Bagi saya, semua itu tidak perlu dibuat kerana ia dianggap membazir. Kita penuhi tuntutan mereka, itu boleh memberi keyakinan kepada pembangkang. Kita buat itu semua mengikut apa yang mampu dan ada dalam bidang kuasa SPR. Ada juga benda yang dipohon menyentuh perlembagaan iaitu soal dasar. Antaranya mahu mengawal media. SPR tidak boleh kawal media kerana ia membabitkan akta lain (Akta Multimedia). Perkara yang menyentuh dasar kerajaan, SPR tidak boleh sentuh.
Buat kali pertama juga SPR pada pilihan raya kali ini mahu mengawal jumlah dan lokasi poster. Apakah rasional tindakan ini sedangkan ‘perang poster’ menambahkan kemeriahan sejak pilihan raya pertama lagi.
SPR perlu mengehadkan jumlah dan lokasi penampalan poster untuk mengelak tercetusnya pergaduhan. Poster adalah salah satu cara berkempen. Tetapi jika dilakukan secara berlebihan ia boleh menimbulkan pergaduhan dan bagi memberi keadilan kepada semua parti. Jika menggunakan poster, ia perlu diletakkan di tempat dan ruang sesuai untuk semua pihak. Jangan satu pihak bolot semua dan satu pihak cuba menampal di kawasan sama, tidak boleh. Ini gejala yang tidak sihat. Bagi saya, banyak negara yang tidak menampal poster ketika pilihan raya diadakan. Sebagai contoh, saya baru pulang dari Australia dan saya tidak nampak satu poster ditampal. Tetapi ia masih nampak meriah dan rakyatnya juga keluar mengundi.
Bagaimana pula undi pos, adakah prosedur baru diperkenalkan. Adakah polis dan tentera saja layak untuk undi pos, sedangkan segmen seperti wartawan juga amat sibuk hingga menyukarkan mereka mengundi terutama di lokasi yang agak jauh.
Undi pos dijalankan seperti biasa dan tiada prosedur baru diperkenalkan. Setakat ini hanya polis dan tentera saja yang menggunakan undi pos. Saya tiada menerima sebarang permohonan daripada badan lain seperti wartawan (Persatuan Wartawan Kebangsaan) bagi membolehkan kami memberi pertimbangan sebagai pengundi melalui pos. Sebenarnya, mereka yang ingin menggunakan cara itu, boleh membuat permohonan dan kita akan pertimbangkan. Undi pos dilakukan tiga hari sebelum hari pengundian.
Sebelum ini dilaporkan berlaku penipuan dengan meletakkan nama pengundi di kawasan tertentu. Bagaimana SPR menangani isu berkenaan serta menjamin nama daftar pemilih yang sudah meninggal dunia tidak disalahgunakan sebagai pengundi.
Pada 2002, ada parti politik yang membantu SPR mendaftarkan nama dan pertukaran alamat pemilih. Keadaan itu mendukacitakan saya dan banyak orang namanya dipindah, borang ada. Kita tidak tahu. Ia dibuat ejen yang dilantik SPR. Oleh itu, sekarang kita tidak benarkan lagi mereka buat pendaftaran bagi pertukaran alamat untuk mengelak penipuan. Oleh itu kita mahu orang ramai memeriksa nama mereka dan jika nama mereka sudah berubah di tempat lain, mereka perlu mendaftar semula. Bagi orang yang mati, ia bukan urusan kita, SPR mendapatkan senarai rasmi daripada jabatan lain dan kita tidak dapat menjamin perkara itu. SPR tidak sewenang-wenangnya membuang nama pengundi yang sudah mati selepas ada laporan mengenainya. Biasanya, kita akan membuat penyiasatan berkaitan perkara itu. Bukan tugas SPR untuk mencari atau menentukan orang yang mati itu. Bagaimanapun, ramai orang yang mati pada zaman dulu tidak dilaporkan. Jika dilaporkan ia tidak dimaklumkan kepada SPR. Bagaimanapun, saya menyangkal sepenuhnya, nama orang yang sudah mati digunakan. Ini adalah tohmahan dan tuduhan liar. Tidak wujud pengundi hantu. Setakat ini tiada bukti ia pernah berlaku. Begitu juga ada tohmahan tukar peti undi, ia tidak berlaku di negara ini. Macam mana peti undi boleh berpindah. Dari pagi hingga selesai pilihan raya, peti undi itu terletak di situ. Cuma saya kesal kerana ada pihak menjaja cerita pilihan raya umum di Malaysia berlaku unsur penipuan. Perkara itu mendukacitakan kita dan sebenarnya SPR amat telus dan harapan saya supaya pilihan raya ini dilakukan dengan sempurna. Saya sudah menjelajah di seluruh negara memberitahu kepada semua pegawai bertugas semasa pilihan raya itu supaya mengikut peraturan dan sentiasa adil.
Tuesday, February 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment