Oleh ZULKIFLI JALIL dan HAMDEN RAMLI
PUTRAJAYA 14 Feb. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memilih hari Sabtu 8 Mac sebagai tarikh rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Hari penamaan calon pula ditetapkan pada Ahad 24 Februari ini.
Ini bermakna tempoh berkempen dalam pilihan raya 2008 ialah selama 13 hari iaitu jangka masa yang agak panjang berbanding cuma lapan hari pada pilihan raya umum 2004.
Keseluruhannya, mulai hari pembubaran Parlimen semalam, parti-parti politik mempunyai tempoh selama 24 hari bagi merancang strategi terakhir untuk memenangi hati para pengundi Malaysia.
Pengundian akan diadakan ketika sekolah-sekolah ditutup sempena cuti penggal pertama persekolahan.
Pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 negeri kecuali Sarawak yang telah pun mengadakan pilihan raya negerinya pada 2006.
SPR menetapkan tarikh writ pilihan raya dikeluarkan kepada kesemua pegawai pengurus pilihan raya di 222 kawasan Parlimen esok manakala notis pilihan raya dikeluarkan pada Sabtu ini, kata Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Parlimen semalam, anggota-anggota SPR bermesyuarat selama sejam pagi ini membincangkan tarikh penamaan calon dan pengundian Pilihan Raya Umum Ke-12.
Menurut Ab. Rashid, sebanyak 10,922,139 pengundi layak mengundi pada pilihan raya itu berdasarkan kepada daftar pemilih yang diwartakan pada 5 Februari lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 10,701,054 merupakan pemilih biasa manakala baki 221,085 pengundi pos.
‘‘SPR berharap rakyat Malaysia akan menggunakan sebaik-baiknya hak untuk memilih kerajaan bagi memerintah negara ini.
‘‘Pada hari mengundi jangan tidur, keluar mengundi. Tak usah pergi ke mana-mana. Hanya ini masanya untuk anda melaksanakan hak anda. Hak ini tidak datang selalu,” ujarnya.
Sidang akhbar SPR hari ini yang disifatkan oleh Ab. Rashid sebagai yang paling ramai dihadiri wartawan sepanjang perkhidmatannya selama lebih dua dekad dengan SPR turut disiarkan secara langsung oleh RTM dan TV3.
Mengulas mengenai tempoh berkempen selama 13 hari untuk pilihan raya umum itu yang dianggap agak panjang, Ab. Rashid berkata, masa tersebut mencukupi untuk semua parti yang bertanding.
Katanya, SPR telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk soal keselamatan dan ketenteraman awam dalam menentukan tempoh berkempen itu.
‘‘Kalau kita nak panjangkan tempoh berkempen, negara kita ini banyak perkara sensitif yang mungkin boleh dimanipulasikan oleh sesetengah pihak. Saya rasa dalam hal ini (penetapan tempoh berkempen), kita telah berlaku adil,” katanya.
Pada pilihan raya umum 2004, SPR menetapkan tempoh berkempen selama lapan hari.
Pada pilihan raya umum 1999 pula, tempoh berkempen ditetapkan selama sembilan hari manakala pada pilihan raya umum 1990 dan 1995, masing-masing 10 hari.
Menurut Ab. Rashid, terdapat 30 parti politik berdaftar setakat ini dan kebanyakan parti itu dijangka bertanding pada pilihan raya umum nanti.
Mengenai jumlah 10.9 juta pengundi yang akan terlibat dalam pilihan raya umum 8 Mac ini, beliau berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak 670,000 orang berbanding 10.3 juta pengundi dalam pilihan raya umum ke-11 pada 2004.
Pada pilihan raya kali ini, katanya, SPR akan memperkenalkan beberapa garis panduan baru termasuk penggunaan bahan kempen.
‘‘Langkah ini dibuat bukan untuk menyusahkan tetapi bagi memastikan pilihan raya dapat diadakan dengan lancar dan teratur,” ujarnya.
Mengenai penggunaan dakwat yang akan dicalit pada jari pengundi, beliau berkata, pelaksanaan prosedur itu akan diumumkan sedikit masa lagi.
Ab. Rashid turut memberi jaminan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-12 akan berjalan dengan adil.
‘‘Saya rasa dalam hal ini kita telah berlaku adil.
‘‘Kadang-kadang di negara kita, banyak perkara sensitif boleh dimanipulasikan. Kita ada rekod yang baik. Pilihan raya umum ke-11 aman tenteram. Kita nak kekalkan rekod itu dan jangan ada sesiapa mengacau rekod itu. Negara tidak suka,” tegas beliau.
Ditanya sama ada SPR menjemput pemerhati asing untuk memantau pilihan raya umum nanti, beliau memberitahu, suruhanjaya itu tidak memberi sebarang akreditasi kepada pemerhati luar untuk berbuat demikian.
Mengenai kenyataan Malaysian For Free and Fair Elections (Mafrel), iaitu pertubuhan tempatan yang telah mendapat pengiktirafan SPR untuk mengawasi Pilihan Raya Umum Ke-12, Ab. Rashid berkata:
‘‘Badan itu telah melaksanakan tugasnya dengan baik (sebagai pemerhati dalam pilihan raya-pilihan raya kecil termasuk Dewan Undangan Negeri Sarawak 2006) dan memberi input-input berguna kepada SPR.
‘‘Cuma skop peranannya hanya untuk memastikan pilihan raya umum nanti dilaksanakan selari dengan undang-undang yang ditetapkan.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment