Thursday, February 14, 2008

SPR beri masa selesa berkempen

Oleh HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 13 Feb. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan penetapan tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi bagi pilihan raya umum ke-12 selepas mengadakan mesyuarat dengan ahli-ahli suruhanjaya itu, esok.

Pengerusinya, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, pihaknya telah meminta semua Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), kecuali Sarawak, menghantar notis pembubaran DUN selewat-lewatnya petang ini bagi membolehkan pilihan raya umum dilaksanakan secara serentak.

Bagaimanapun, Ab. Rashid tidak membayangkan SPR akan menetapkan tempoh berkempen yang terlalu pendek, sebaliknya SPR memberikan jangka masa berkempen yang selesa dan bersesuaian kepada setiap parti bagi menentukan calon serta menjalankan kempen pilihan raya.

“Kita akan tentukan semua pihak selesa, kita akan berikan ruang secukupnya bagi semua pihak menentukan calon-calon dan menjalankan kempen.

“Pilihan raya bukan perkara kecil, jadi peluang untuk semua harus diberikan, jika tidak ia akan menjadi sesuatu yang tidak adil kepada pihak yang mungkin kesuntukan masa tidak dapat hendak berkempen,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Ab. Rashid, SPR juga akan memastikan tarikh penamaan calon dan hari pengundian diadakan selepas selesai tempoh sambutan Tahun Baru Cina.

“Ya, kita akan tentukan ia diadakan selepas sambutan Cap Goh Mei, saya yakin ia akan diberitahu kepada saya dalam mesyuarat esok,” katanya.

Perayaan Cap Goh Mei akan disambut pada 21 Februari ini.

Ab. Rashid menjelaskan, bagi melicinkan proses pilihan raya umum ke-12, SPR menempatkan 149,000 petugas terlatih di semua bahagian pilihan raya selain tambahan sebanyak 50,000 petugas yang diambil secara tidak formal.

Selain itu, kata beliau, pihaknya telah meminta petugas-petugas SPR di negeri-negeri agar menyegerakan penghantaran peti-peti undi lut sinar yang pertama kali diperkenalkan dalam pilihan raya umum ke seluruh bahagian pilihan raya mulai esok.

“Pada masa ini peti-peti undi itu sudah ditempatkan di negeri-negeri,” katanya.

Mengenai penggunaan sistem mencalit dakwat kekal pada jari dalam pilihan raya umum kali ini, beliau berkata, keputusan muktamad mengenai perkara itu akan ditentukan esok.

“Soal itu saya akan jawab esok, saya perlu bincangkan dengan ahli-ahli panel suruhanjaya. Kita sudah buat persediaan dan menerima laporan-laporan yang perlu dikaji sedalam-dalamnya untuk membuat keputusan muktamad,” ujar Ab. Rashid.

Beliau menegaskan, SPR memberi jaminan keadilan dan kebebasan dalam pilihan raya umum selain mahu melihat wujud pertandingan yang sihat di kalangan parti-parti dan calon yang terbabit dalam pilihan raya.

“Saya berharap masyarakat akan mengikuti perkembangan pilihan raya umum kali ini dengan tenang.

“SPR juga telah memberitahu kepada semua kakitangannya supaya bersikap adil kepada semua pihak yang terbabit dalam pilihan raya,” katanya.

Ditanya mengenai status Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu layak bertanding dalam pilihan raya umum ke-12, Ab. Rashid berkata, beliau tidak dapat memberikan ulasan kerana isu itu membabitkan soal undang-undang.

“Siapa yang boleh bertanding dan siapa yang tidak boleh bertanding, itu saya tidak boleh berikan ulasan sekarang,” katanya.

Selain itu, kata Ab. Rashid, beliau tidak mendengar ada parti baru yang akan bertanding pada pilihan raya umum kali ini kerana SPR tidak bertanggungjawab dari segi pendaftaran parti politik.

“Kami hanya daftarkan simbol parti tetapi setakat ini tidak ada simbol parti baru yang didaftarkan,” katanya.

Ditanya tentang suasana pilihan raya umum kali ini sama ada ia lebih panas daripada biasa, beliau menjangkakan berlaku pertandingan yang lebih hebat tetapi ia tidak akan sampai ke peringkat yang boleh mengeruhkan suasana.

“Saya melihat proses memasyarakatkan politik pilihan raya berada di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya percaya semua pihak tidak akan mengeruhkan keadaan, yang penting kita memberikan peluang kepada para pengundi untuk keluar membuang undi dan yakin bahawa keselamatan dan kebebasan mereka adalah terjamin,” katanya.

Beliau menambah, SPR juga merasakan rakyat sudah semakin matang dan mahu mengambil bahagian dalam pilihan raya umum sekurang-kurangnya sebagai pengundi.

“Kecenderungan ini baik sebab kita sudah bercakap fasal pilihan raya sejak sekian lama, itu sebenarnya satu proses memasyarakatkan pilihan raya,” katanya.

No comments: