BN menang satu lagi kerusi Parlimen
KUCHING 26 Feb. – Barisan Nasional (BN) Sarawak menambah satu lagi kemenangan percuma kali ini di kawasan baru Parlimen Igan setelah calon Bebas, Junak Jawek menarik diri.
Berikutan itu, calon BN, Datuk Wahab Dolah diisytiharkan menang tanpa bertanding menjadikan sebanyak lima kerusi Parlimen telah dimenangi parti pemerintah itu setakat ini.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak, Takun Sunggah berkata, Junak mengemukakan surat penarikan diri daripada bertanding kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Igan, James Chas Gerok di Pejabat Daerah Matu pada pukul 12.45 tengah hari.
‘‘Kita menerima faksimile daripada James mengenai penarikan dirinya sebagai calon Bebas pada pukul 4 petang yang kemudiannya dihantar kepada ibu pejabat SPR di Kuala Lumpur.
‘‘Dengan penarikan diri itu, bermakna Junak hilang wang deposit sebanyak RM10,000 manakala wang RM5,000 untuk permit poster kempen dikembalikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada hari penamaan calon 24 Februari lepas, BN Sarawak menang tanpa bertanding di empat kerusi Parlimen iaitu Tanjung Manis, Selangau, Kapit dan Kanowit.
Takun berkata, Junak datang dengan ditemani seorang saksi, Hamdan Dayak sebagai prosedur biasa penarikan diri.
‘‘Calon-calon yang ingin menarik diri boleh berbuat demikian sebelum pukul 12 tengah malam esok secara bertulis dan diserahkan sendiri kepada pegawai pengurus SPR,” ujar beliau.
Sementara itu, Junak berkata, keputusannya menarik diri bukan atas desakan atau dipengaruhi sesiapa sebaliknya setelah memikirkan tidak ada peluang untuk menang.
‘‘Setelah saya fikirkan, saya rasa... saya tidak akan menang pada pilihan raya ini. Saya juga tidak mahu menentang BN kerana mahu pembangunan diteruskan di kawasan Igan ini,’’ katanya.
Bagi Wahab pula, berita tersebut adalah satu kejutan yang menggembirakan walaupun hanya mengetahui mengenai penarikan diri calon Bebas itu menerusi radio ketika sibuk berkempen.
Sementara itu, dua lagi calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Dato Keramat di Pulau Pinang dan Tanjung Batu di Sabah turut menarik diri daripada bertanding.
Calon Bebas DUN Dato Keramat, Shahul Hameed Mohamed Ishack berkata, keputusannya menarik diri dibuat atas desakan keluarga yang tidak membenarkannya bertanding.
‘‘Pencadang dan penyokong saya adalah ahli UMNO, jadi mereka merasakan tidak wajar untuk saya bertanding atas tiket Bebas dan saya akur walaupun ada sedikit perasaan kesal,’’ katanya.
Dengan itu, DUN Dato Keramat bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Ong Thean Lye daripada BN dan calon DAP, Jagdeep Singh Deo.
Sementara di Tawau, langkah Dasun Sumbin menarik diri menjadikan pertandingan di DUN Tanjung Batu tinggal tiga penjuru antara calon BN, Datuk Hamisah Samat, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dullah Hashim dan seorang lagi calon Bebas, Mohd. Jeffry Rosman.
“Saya menarik diri atas kerelaan saya sendiri tanpa dipaksa atau diminta oleh sesiapapun,” kata Dasun kepada pemberita selepas menyerahkan notis penarikan diri di pejabat SPR Tawau pada pukul 10.30 pagi tadi.
Dasun, 57, memberitahu keputusannya bertanding sebelum ini dibuat ekoran masalah tanah yang dihadapi di kawasannya namun menukar fikiran selepas menyedari ia boleh diselesaikan melalui cara lain.
Wednesday, February 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment