Monday, March 17, 2008

Parlimen bakal bergegar

Oleh: MARHAINI KAMARUDDIN (WARTAWAN UTUSAN)

TIDAK sabar rasanya menunggu anggota Parlimen Ke-12 bersidang.

Takwim Dewan Rakyat dalam laman web rasmi Parlimen sehingga hari ini masih kosong, walaupun mesyuarat bagi penggal pertama itu difahamkan akan diadakan paling awal April ini.

Jika sebelum Parlimen ke-11 dibubarkan 13 Februari lalu, Barisan Nasional (BN) memenuhi 198 kerusi Dewan Rakyat manakala pembangkang hanya menduduki 20 kerusi – keadaannya akan berubah pada sidang baru nanti.

Seperti diketahui umum, Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu menyaksikan BN hanya memenangi majoriti mudah iaitu 140 kerusi.

Daripada jumlah itu, UMNO memenangi 79 kerusi, MCA (15), MIC (tiga) dan Gerakan (dua).

Parti-parti komponen BN Sarawak pula memenangi 30 daripada 31 kerusi yang dipertandingkan manakala parti komponen BN Sabah memenangi 11 kerusi.

Parti pembangkang melakukan ‘silap mata’ apabila menggandakan kerusi milik mereka kepada 82 yang terbahagi kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebanyak 31, DAP (28) dan Pas (23).

Selain muka lama seperti Teresa Kok (DAP-Seputeh), Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah), Dr. Tang Seng Giaw (DAP-Kepong) dan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) yang sudah pasti akan terus bertegang urat dengan kelab penyokong kerajaan (BN-BBC), lebih menarik pada sidang kali ini apabila ‘otai’ (old timer) seperti Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusinya, Karpal Singh dan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail bukan setakat kembali – bahkan membawa anak-anak mereka bersama.

Anak Kit Siang, Lim Guan Eng yang kini Ketua Menteri Pulau Pinang, sebagai Ahli Parlimen Bagan akan turut berada di Parlimen.

Begitu juga anak Karpal, Gobind Singh Deo yang menang di Parlimen Puchong.

Turut menyertai mereka ialah anak Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang mewakili Parlimen Lembah Pantai.

Umum juga pasti ternanti-nanti penampilan saksi utama Suruhanjaya Siasatan Diraja Klip Video Lingam, Gwo-Burne Loh yang kini Ahli Parlimen Kelana Jaya, begitu juga ‘pakar demonstrasi’, Chua Tian Chang atau Tian Chua yang kini bergelar YB Batu.

Di sebelah penyokong kerajaan, kita mengharapkan muka-muka baru berani tampil membantu Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) dan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bagi mewujudkan keseimbangan hujah di dalam Dewan yang mulia itu.

BN-BBC kini kekurangan suara setelah Pemangkunya yang juga bekas Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berpindah ke kerusi negeri.

Mungkinkah suara generasi baru - anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mukhriz Mahathir (BN-Jerlun) dan anak bekas Menteri Kesihatan, Chua Tee Yong (BN-Labis) akan bergema di Parlimen?

Kemunculan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebagai Ahli Parlimen Rembau sudah pasti menuntut keberanian yang bukan sedikit kerana menantu Perdana Menteri itu terpaksa berhadapan dengan 82 seterunya di sebelah pembangkang yang sudah pasti hanya menunggu masa untuk mengambil peluang berdebat dengannya.

Menepis

Walau di kerusi mana beliau duduk – baik di kotak jemaah menteri atau bersama Ahli Parlimen lain, Khairy perlu mempersiapkan diri menepis segala asakan dan soalan-soalan penulis blog yang akan dipanjangkan pembangkang ke dalam Dewan nanti.

Tidak dapat dielak, beliau mungkin perlu bertikam lidah dengan Ahli Parlimen Jelutong, Ooi Chuan Aun daripada DAP yang lebih dikenali sebagai Jeff Ooi di kalangan peminat blog.

Apa yang pasti senario dalam Dewan Rakyat akan menjadi lebih panas dan bergegar.

Pensyarah Jabatan Geografi Universiti Malaya (UM) yang membuat kajian mengenai pola pengundi dan kelakuan politik pilihan raya, Dr. Amer Saifuddin Ghazali, melihat senario itu sebagai suatu yang sihat dalam sebuah negara demokrasi.

“Apa juga dasar mahupun usul selepas ini akan ada pandangan kedua (daripada pembangkang) dan ini sudah pasti meletakkan kerajaan dalam keadaan sentiasa berhati-hati,” katanya.

Baginya, pembentukan kerajaan BN dengan majoriti mudah, hampir sama dengan apa yang berlaku pada kerajaan negeri Pas di Kelantan pada 2004, yang hasilnya – meletakkan kerajaan yang memerintah lebih efektif, bersedia dan waspada.

Yang pasti, sidang Parlimen Ke-12 bukan sekadar sesi untuk datang ‘sain’ (tandatangan) baucar. Sebaliknya setiap Ahli Parlimen, baik daripada sebelah pembangkang apatah lagi kerajaan, perlu membuat kerja rumah bagi memastikan hujah yang disampaikan benar-benar bernas dan tidak mudah dipatahkan.

Bagi jemaah menteri pula terutamanya kalangan timbalan dan setiausaha Parlimen, jawapan ‘kita akan kaji’ dan ‘saya akan bagi jawapan bertulis’ tidak lagi boleh diberikan kerana tidak akan diterima dengan mudah oleh anggota Dewan.

Jika masih ada yang ‘berani’ berbuat demikian, bersedialah menerima asakan dan tempelak.

Dengan kekangan jumlah Ahli Parlimen BN seramai 140 orang dan janji Perdana Menteri untuk tidak melantik semula menteri yang kalah, memang sudah patut saiz Kabinet dikecilkan kepada yang benar-benar berwibawa dan mampu memberikan jawapan tepat dan bernas sahaja dipilih.

Tambahan pula mengandaikan Tan Sri Ramli Ngah Talib akan kembali ke jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, BN masih perlu mengisi kerusi dua timbalannya yang dikosongkan oleh Datuk Lim Si Cheng dan Datuk Dr. Yusof Yaacob yang tidak bertanding pada pilihan raya umum lalu.

Sesi soal jawab di Parlimen pada sidang kali ini, tidak akan mendengar suara Datuk Seri S. Samy Vellu dan Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik mahupun Datuk Seri Shahrizat Jalil lagi. Siapakah pengganti mereka?

“Kalau dilihat dari segi penerimaan rakyat pada pilihan raya umum lalu, mereka yang dilantik perlu daripada kalangan muka baru yang segar sebab rakyat sekarang mahu calon yang ada integriti. Jika tidak, hanya akan mengundang bencana,” kata Dr. Amer Saifuddin lagi.

Sidang Parlimen Ke-12 kelak sudah pasti menjadi tumpuan rakyat. Bukan sahaja kepada anggota kerajaan dan Ahli Parlimen BN, bahkan Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang menjejaki Dewan yang mulia itu atas kepercayaan pengundi.

Yang penting kredibiliti Parlimen perlu dipelihara dan di sinilah pekerti setiap Yang Berhormat akan dinilai sama ada mampu menyampaikan hujah mereka secara berhemah atau bertindak umpama anggota sarkas.

Bagi Ahli Parlimen yang kurang fasih berbahasa Melayu, berlatihlah dari sekarang kerana tidak mungkin mereka hendak “minta izin” menggunakan perkataan bahasa Inggeris setiap kali hendak menyampaikan suara pengundi.

No comments: