Thursday, March 27, 2008

Mahkamah Tinggi akan dengar petisyen pilihan raya Pas pada 3 April

27/03/2008 3:44pm


KANGAR 27 Mac — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 3 April ini untuk mendengar permohonan calon Pas, Hashim Jasin agar diisytiharkan sebagai pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri Sanglang pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Zamani A.Rahim menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas membenarkan permohonan defendan untuk menangguhkan kes itu bagi membolehkan mereka mengemukakan bantahan awal. Saman pemula itu sepatutnya didengar hari ini.

Hashim yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis menamakan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sanglang Abdullah Hassan, pegawai pengurus pilihan raya Muhamad Daud Abdull Hamid dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai defendan.

Beliau diwakili peguam Zulmi Sabri dan Mohamed Hanipa Maidin manakala Abdullah diwakili J.Karupiah dan Muhamad Daud yang juga pegawai pengurus pilihan raya bagi kerusi Parlimen Arau dan SPR diwakili Siti Salwa Musa.

Abdullah yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) diisytiharkan pemenang kerusi negeri Sanglang dengan majoriti 149 undi selepas memperoleh 3,384 undi manakala Hashim memperolehi 3,235 undi.

Hashim memfailkan saman pemula itu pada 17 Mac lalu memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah calon yang menang bagi kerusi negeri Sanglang.

Beliau mendakwa beliau sepatutnya diisytiharkan pemenang berdasarkan pengiraan undi dalam borang 14 yang menunjukkan beliau memperoleh 3,333 undi berbanding 3,286 undi yang diperoleh Abdullah dan dengan itu menang dengan majoriti 47 undi.

Hashim dan Abdullah turut hadir ke mahkamah bersama para penyokong masing-masing.- Bernama

No comments: