Oleh Munira Yusof
PUTRAJAYA: Kes pembunuhan Noritta Shamsudin lima tahun lalu terus menjadi misteri apabila Mahkamah Persekutuan semalam menolak rayuan pendakwaan terhadap pembebasan jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Hanif Basree Abdul Rahman, daripada tuduhan membunuh eksekutif pembangunan perniagaan itu.
Panel lima hakim Tan Sri Zaki Azmi, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Nik Hashim Abdul Rahman, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Hanif Basree tanpa membela diri.
Sebaik Zaki yang juga Presiden Mahkamah Rayuan membacakan keputusan itu, Hanif Basree, 40, menitiskan air mata dan menadah tangan sebagai tanda kesyukuran. Beliau kemudian memeluk ibunya, Che Norkiah Che Mahani, yang turut menangis mendengar keputusan itu.
Jurutera MBSA itu didakwa membunuh Noritta, 22, di Nombor D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas, antara jam 1.30 hingga 4 pagi 5 Disember 2003.
Kes yang menarik perhatian seluruh negara itu, mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada Mei 2004 selama 29 hari dengan mahkamah mendengar keterangan 34 saksi, termasuk bapa dan adik perempuan Noritta.
Bagaimanapun, pada 1 Julai 2004, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdull Hamid Embong mengarahkan Hanif Basree dibebaskan apabila mendapati tiada kes prima facie untuknya membela diri berikutan kegagalan pendakwaan membuktikan kes itu tanpa keraguan munasabah.
Rayuan pendakwaan terhadap keputusan itu juga ditolak Mahkamah Rayuan pada 29 Januari 2005.
Bercakap kepada pemberita selepas prosiding itu, Hanif Basree berkata, beliau amat lega kerana kes itu sudah berakhir.
"Kini saya boleh teruskan dengan kehidupan saya, terutama memberi fokus kepada keluarga dan kerjaya.
"Sebelum ini masih ada keraguan apa lagi yang mungkin berlaku tetapi dengan keputusan terakhir ini barulah saya benar-benar boleh menyusun semula hidup saya. Apa-apapun, hidup ini mesti diteruskan," katanya.
Che Norkiah yang setia menemani Hanif Basree sejak anaknya pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 22 Disember 2003, bagaimanapun terkilan kerana kegembiraan itu tidak dapat dikongsi bersama suaminya, Allahyarham Abdul Rahman Basir, yang meninggal dunia, tahun lalu.
"Saya sedih sangat Abdul Rahman tiada pada hari gembira ini kerana hampir lima tahun kami bersama ke mahkamah untuk mendengar prosiding dan memberi sokongan kepada Hanif Basree.
"Bagaimanapun sebagai ibu saya amat bersyukur semuanya sudah berakhir. Tiada perkataan yang boleh menggambarkannya," katanya.
Zaki, ketika membacakan keputusan penghakiman setebal 21 muka surat, berkata semua panel lima hakim bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa DNA seorang lelaki lain tidak dikenali dan lelaki yang dikatakan berbau busuk, adalah perkara utama yang menghancurkan kes pendakwaan.
Beliau berkata, tiada bukti untuk mengesahkan sama ada dua lelaki berkenaan sebenarnya orang yang sama atau sebaliknya.
"Hakim perbicaraan melakukan sewajarnya apabila memilih untuk tidak memerintahkan tertuduh membela diri atas tuduhan itu.
"Banyak andaian boleh dibuat berhubung penemuan DNA tertuduh dalam badan mangsa, terutama mengambil kira hubungan intim mereka. Bagaimanapun, tertuduh bukannya didakwa atas hubungan intimnya dengan mangsa.
"Malangnya, identiti 'unknown male 1' (lelaki yang tidak dikenali 1) juga tidak pernah dikenal pasti. Mungkin satu hari nanti kita akan mempunyai fail profil DNA seperti fail cap jari tertuduh yang dapat membantu siasatan polis menjejaki pesalah," katanya.
Friday, March 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment