Sunday, March 30, 2008

Era campur tangan eksekutif sudah tamat

MINGGUAN: Berbicara tentang kebebasan badan kehakiman, sejauh mana hakim-hakim ini bebas dalam konsep pengasingan kuasa di negara ini?

ZAID IBRAHIM: Jika kita pilih seseorang hakim dan eksekutif yakni pentadbir kerajaan menghormati dan sanggup memberi kuasa kepada hakim seperti yang termaktub dalam Perlembagaan setelah melalui proses pemilihan yang betul, kita tidak perlu bimbang. Tiada kebimbangan kerana hakim-hakim yang dipilih itu merupakan terbaik dalam mentafsirkan undang-undang mengikut Perlembagaan dan kuasa untuk menggubal undang-undang ada pada Parlimen, mahu atau tidak, hakim perlu mematuhi semua undang-undang yang diluluskan di Parlimen. Namun, apa yang kita tidak mahu ialah jika kita memilih untuk melakukan sesuatu perkara yang tidak sah dari segi Perlembagaan, apabila hakim kata ianya tidak betul, kita mengambil tindakan ke atas hakim itu yang mahu menegakkan kebenaran dengan memecat, tidak menaikkan pangkat, menaikkan pangkat hakim-hakim yang ‘sebulu’ dengan kita sahaja, ini tidak boleh berlaku dalam sistem kehakiman kita.

Adakah ini berlaku kerana wujudnya unsur-unsur campur tangan eksekutif dalam sistem kehakiman negara?

ZAID IBRAHIM: Saya tidak mahu ulas, ungkit atau menyebut mana-mana pihak, yang melakukannya atau mengapa ia dilakukan, namun saya cukup sedar mengenai berlaku campur tangan ini dan rakyat sedang memperkatakan mengenainya.

Datuk mahu melakukan reformasi ke atas institusi kehakiman, setakat mana campur tangan eksekutif itu berlaku pada masa ini?

ZAID IBRAHIM: Adalah sukar untuk saya mengukur tahap campur tangan eksekutif dalam sistem kehakiman negara kerana ia berlaku mengikut ‘musim’, apa yang saya tahu dan mahu ialah badan kehakiman negara perlu mengalami perubahan dengan unsur-unsur tekanan, campur tangan sama ada dari pihak ahli perniagaan, peguam atau ahli politik dihentikan dan kembali kepada amalan undang-undang dan sistem pengadilan mengikut perlembagaan.

Kini, era untuk memilih kerana orang tertentu atau kerana kenal orang tertentu sudah tamat. Jika keadaan ini terus berlaku, maka sampai bila-bila, kita tidak dapat kembalikan hasrat rakyat untuk melihat sistem kehakiman Malaysia yang adil.

Proses reformasi ini tentunya bukan sesuatu yang mudah untuk dijalankan. Apakah cabaran paling getir pada jangkaan Datuk?

ZAID IBRAHIM: Bagi saya, cabaran paling besar ialah membuang tanggapan yang merasakan kepentingan masing-masing akan tergugat jika badan kehakiman menjalankan tanggungjawabnya mengikut lunas-lunas Perlembagaan. Jika kita kena buat kerja dengan betul, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana Parlimen akan membuat perubahan jika undang-undang itu tidak betul.

Jangan pula salahkan hakim jika hakim yang mentafsir undang-undang negara mengikut Perlembagaan. Masalah ini timbul apabila kita hendak buat kerja mengikut jalan pendek kerana pemberian kuasa kepada badan kehakiman itu bukan sesuatu yang merugikan, sebaliknya menguntungkan negara kerana ia akan memaksa kita agar lebih berhati-hati dan ikut peraturan.

Seseorang hakim tidak boleh kata tidak bersetuju dengan mana-mana undang-undang, mereka hanya boleh memberitahu undang-undang begini dan ini caranya untuk bekerja. Jika kita dapat buangkan tanggapan ini, hakim-hakim akan jadi lebih berani tanpa perlu menanggung risiko menjadi mangsa politik dan menjalankan tugas dengan tangan tidak terikat.

Berapa lama tempoh yang diperlukan untuk melaksanakan reformasi ini?

ZAID IBRAHIM: Terus terang, saya tidak tahu berapa lama tapi jika boleh saya mahu ia dilakukan secepat mungkin. Namun ia mustahil jika ada banyak pihak yang main ‘tarik-tarik’ dalam hal ini. Namun, insya-

Allah, dengan sokongan semua pihak termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan kabinet yang lain, saya yakin boleh melaksanakannya. Selain itu, asas keyakinan lain ialah hubungan kerja yang baik dengan semua pihak dalam sistem perundangan dan kehakiman negara terutama daripada Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad dengan kami selalu berbincang bagi memperbaiki sistem kehakiman.

Sejauh mana kritikal krisis sistem kehakiman negara pada masa ini terutama selepas ramai menuduh campur tangan kuasa eksekutif dalam kes-kes berprofil tinggi?

ZAID IBRAHIM: Saya tidak boleh ulas mengenai perkara itu, cukuplah jika saya katakan rakyat sedang memperkatakan terutama sewaktu pilihan raya umum yang lalu dan kini menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan perkara ini tidak berulang. Bagaimanapun, saya tidak mampu untuk mengimbas semula kes-kes yang ada campur tangan eksekutif sebelum ini kerana jika saya mula menuduh mana-mana pihak, ia tentunya tidak akan membantu proses reformasi yang akan dijalankan Namun, saya bukan seorang yang tuli atau buta, saya dengar dan lihat apa yang berlaku.

1 comment:

Anonymous said...

Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the Fragmentadora de Papel, I hope you enjoy. The address is http://fragmentadora-de-papel.blogspot.com. A hug.