Oleh ADAM KADIR
DALAM tahun 1980, Sultan Azlan Shah, ketika itu Ketua Hakim Negara, telah mengingatkan bahawa ‘mahkota’ akan hanya mendapat tempat di muzium kalau institusi raja terkandas dalam menjalankan tugasnya yang sebenar. Seri Paduka Baginda melunaskan pendapat itu dalam titah ucapan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Baru-baru ini Raja Dr. Nazrin Shah, putera baginda yang juga Raja Muda Perak, sekali lagi menekankan dalam nada yang seakan-akan sama, bahawa banyak berlaku dalam sejarah, institusi raja tumpas apabila ia tidak direstui oleh rakyat.
Dalam senario tindakan rakyat, tidak ada yang lebih penting daripada melakukan pemilihan wakil rakyat dan kerajaan rakyat dalam pilihan raya.
Inilah aktiviti kemuncak dalam amalan demokrasi. Apabila rakyat telah membuat pilihan, maka pilihan itulah yang menjadi restu rakyat. Tidak ada pihak sewajarnya menafikan restu mereka.
Memandangkan institusi raja di Malaysia kini diasaskan pada institusi Raja Berperlembagaan seperti yang diamalkan di Wesminster, London, maka apa yang berlaku kepada institusi ini di United Kingdom (UK) adalah amat relevan untuk dihayati.
Dalam sejarah Raja Berperlembagaan di UK, tidak pernah berlaku sebarang pelantikan yang dibuat oleh parti yang menang dalam pilihan raya dinafikan oleh raja, baik bergelar king mahupun queen. Raja Berperlembagaan di UK telah banyak melalui pengalaman yang luas dalam sejarah.
Antara episod terpenting dalam sejarah institusi raja UK berlaku pada tahun 1587 apabila Queen Mary dihukum pancung kepala dan tahun 1649 apabila Oliver Cromwell menjadi Lord Protector setelah King Charles I juga mengalami nasib yang sama.
Menurut Richard Buskin, pengarang buku British Royalty, sebab utama pemberontakan Cromwell yang disokong oleh 15,000 orang soldadu ialah semaraknya kemarahan rakyat akibat keengganan King Charles I mengadakan persidangan Parlimen kerana bimbang akan terjejasnya kuasa.
Republik
Kemangkatan Charles I menamatkan institusi raja untuk satu jangka waktu. Sungguhpun Lord Protector Oliver Cromwell pada hakikatnya merupakan seorang presiden yang mengetuai sebuah republik bernama Britain, namun konsep republik ketika itu belum benar-benar timbul dan dihayati, apalagi untuk diamalkan secara menyeluruh.
Oleh itu, keberkesanan pemerintahan Cromwell hanya bergantung semata-mata pada kekuatan peribadinya. Justeru pemerintahan baru yang dikemukakannya tidak menjadi satu alternatif teguh dan berkekalan.
Dalam keadaan begitu, ketika fizikalnya menjadi lemah akibat usia, timbul penentangan sehingga akhirnya beliau terbunuh.
Maka, tanpa pilihan lain, King Charles II diangkat ke takhta. Dengan itu kembalilah institusi raja di UK.
Dunia mengetahui hanya kira-kira 100 tahun kemudian barulah konsep republik dihayati secara mendalam dan menyeluruh apabila anak jajahan UK di Amerika bangkit berperang dengan tentera King George III hingga mencapai kemerdekaan pada tahun 1776, dengan George Washington menjadi Presiden pertamanya.
Tiga belas tahun kemudian, Perancis mengikut jejak langkah Amerika setelah King Louis XVI dipenggal kepala di bawah gallow. Kini sistem republik menjadi satu alternatif kepada sistem beraja. Jumlah negara republik di dunia adalah lebih banyak daripada jumlah negara beraja.
Kemangkatan Charles I dan pulihnya institusi raja di bawah Charles II setelah Cromwell meninggal merupakan satu titik-tolak ke arah wujudnya institusi Raja Berperlembagaan seperti yang diamalkan dengan baik oleh Queen Elizabeth II sekarang ini.
Menurut pakar undang-undang perlembagaan, institusi raja dan Parlimen UK (yang dirujuk sebagai induk kepada segala Parlimen dunia) merupakan sistem Raja Berperlembagaan yang ‘ideal’ dan ‘realistik’ yang harus diikuti sebagai contoh oleh dunia.
Institusi raja di Jepun, Belanda, Sweden, Sepanyol, Norway dan Belgium adalah di kalangan yang mengamalkan sistem institusi raja UK.
Dalam undang-undang perlembagaan European Union, apa yang dipentingkan dalam peruntukannya ialah ‘teleological’ atau maksud asal di sebalik sebarang peruntukan. Apabila timbul keraguan dalam interpretasi sesuatu peruntukan, maka interpretasi akan dibuat menurut apa yang sebenarnya menjadi sebab mengapa peruntukan itu dibuat pada asalnya.
Di UK, peruntukan mengatakan raja berhak melantik Perdana Menteri, sebagai contoh. Namun hak itu bergantung (‘subjected to’) kepada parti politik yang menang dalam pilihan raya.
Di sinilah letaknya ‘semantics’ (atau ‘pemerian’) bahawa Perdana Menteri hendaklah terdiri daripada ahli (Parlimen atau badan perundangan yang serupa) yang mendapat keyakinan ‘majoriti’ ahli-ahli Parlimen atau badan demikian.
Di peringkat negeri di Malaysia, istilah ‘Perdana Menteri’ dalam ungkapan di atas boleh digantikan dengan ‘Menteri Besar’ atau ‘Ketua Menteri’.
Pada realiti amalan politik, ketua parti relevan yang menang dalam pilihan raya berhak menamakan siapa menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.
Menghayati dan menghormati segalanya itu membuatkan ‘constitutional monarchies’ di Jepun dan beberapa buah negara di Eropah itu menjadi begitu stabil dan amat tinggi estemnya. Raja Berperlembagaan di Malaysia tentunya mampu selaras kalaupun tidak melebihi daripada itu.
Monday, March 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment