Oleh Abdul Razak Raaff
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak boleh bertindak membebaskan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya berdasarkan saranan parti politik, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Beliau berkata, pembebasan tahanan ISA dibuat mengikut peraturan dan undang-undang dengan mengutamakan aspek keselamatan dan ketenteraman awam.
"Kita tidak bertindak berdasarkan apa yang dikehendaki parti politik kerana kita mengambil perhatian serius aspek keselamatan dan ketenteraman awam.
"Ini penting untuk menentukan kesejahteraan rakyat supaya mereka boleh bergerak tanpa huru- hara atau keadaan tidak menentu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Syed Hamid mengulas saranan pembangkang supaya Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M Manoharan, yang juga tahanan ISA di Pusat Tahanan Kamunting, Perak, dibebaskan bagi membolehkan beliau menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Manoharan yang juga calon DAP adalah seorang daripada lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang ditahan.
Pada pilihan raya umum lalu, beliau memperoleh 12,699 undi, menewaskan penyandang kerusi yang juga calon Barisan Nasional (BN), Ching Su Chen, yang mendapat 5,515 undi.
Pada 1978, dua calon DAP yang menang, Chian Heng Kai (Batu Gajah) dan Chan Kok Kit (Sungai Besi) pernah mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.
Saturday, March 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment