24/03/2008 3:17pm
PULAU PINANG 24 Mac — Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang hari ini menetapkan 24 April ini untuk keputusan permohonan seorang wanita mualaf, Siti Fatimah Tan Abdullah, untuk mendapatkan pengisytiharan keluar daripada agama Islam, yang dikemukakannya dua tahun lalu.
Peguamnya, Ahmad Jailani Abdul Ghani berkata, tarikh itu ditetapkan oleh Pendaftar Mahkamah Syariah, Azzeman Omar, setelah kes itu disebut di hadapannya pagi ini.
Katanya, keputusan kes itu akan dibacakan oleh bekas hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang mendengar kes itu dahulu, Othman Ibrahim, yang ketika ini merupakan Ketua Hakim Syarie Perlis.
Ketika ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah di sini, beliau berkata, keputusan mengenai kes itu sudahpun dibuat dan hanya menunggu ia dibacakan oleh hakim berkenaan.
Beliau kemudiannya dilihat memberitahu anak guamnya, Siti Fatimah atau nama asalnya Tan Ean Huang, 38, mengenai perkara itu.
Pada 10 Julai 2006, wanita itu memfailkan permohonannya itu terhadap Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) selaku defendan.
Menurut pernyataan tuntutannya, Siti Fatimah berkata, beliau tidak pernah yakin dengan ajaran Islam dan hanya memeluk agama itu sekadar untuk mencukupkan syarat bagi membolehkannya berkahwin dengan seorang lelaki warga negara Iran bernama Ferdoun Ashanian.
Siti Fatimah memeluk Islam pada 25 Julai 1998 dan berkahwin dengan Ferdoun pada 16 Sept 2004.
Siti Fatimah, yang pernah bekerja sebagai tukang masak, memfailkan permohonan itu selepas ditinggalkan suaminya yang menghilangkan diri tanpa sebarang sebab.
Dalam tuntutannya juga, Siti Fatimah menyatakan bahawa sepanjang memeluk agama Islam, dia masih lagi menyembah berhala Tok Pek Kong, berhala Kuang Tin Ne dan berhala Ti Kong (Dewa Langit) mengikut ajaran agama asalnya, Buddha dan memakan daging khinzir.
MAIPP diwakili peguam syarie Ahmad Munawir Abdul Aziz. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment