Thursday, February 28, 2008

BN menang lagi tanpa bertanding di DUN Sabah

KOTA KINABALU 27 Feb. – Barisan Nasional (BN) menambah satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila calonnya di Gum-Gum, Datuk Zakaria Mohd. Edris (gambar) diisytiharkan menang tanpa bertanding apabila calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohaspa Mohd. Hassan menarik diri, petang ini.

Kemenangan itu menjadikan BN setakat ini memenangi 11 kerusi iaitu lapan kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN.

Mohaspa, 39, menyerahkan permohonan menarik diri kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Gum-Gum, Jeffery Aman pada pukul 6 petang ini.

Calon yang bertanding pada pilihan raya dibenarkan menarik diri dalam tempoh tiga hari selepas penamaan calon Ahad lalu dan berakhir pada pukul 12 tengah malam ini.

Kemenangan Zakaria yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri itu menjadikan dua calon kawasan DUN dan dua kerusi Parlimen BN menang tanpa bertanding di Sabah.

Mereka ialah Datuk Ramlee Marhaban (DUN Bugaya), Datuk Ghafur Salleh (Parlimen Kalabakan) dan Tan Sri Joseph Kurup (Parlimen Pensiangan).

Zakaria ketika dihubungi percaya tindakan itu adalah kerana calon PKR tersebut tidak yakin untuk meneruskan pertandingan memandangkan rakyat di kawasan berkenaan dapat mengukur sejauh mana perkhidmatan yang telah dan akan dilaksanakan oleh BN.

Menurutnya, selama ini BN bekerja keras membela nasib rakyat termasuk mengurangkan jumlah keluarga miskin tegar selain membina Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

‘‘Kita juga merancang pelbagai program bagi memajukan ekonomi masyarakat termasuk mewujudkan satu kawasan sebagai hab pendidikan di Sandakan. Semua ini bakal memberi faedah kepada penduduk di sini,” katanya.

Beliau merupakan penyandang kerusi DUN Gum-Gum menewaskan calon PKR, Zaharah Tan dengan majoriti 2,498 pada pilihan raya 2004.

Semalam, dua calon Bebas turut menarik diri di Sabah iaitu Dasun Sumbin di DUN Tanjung Batu dan Mohd. Sayadi Bakl di DUN Senallang. Bagaimanapun tindakan menarik diri itu tidak memberikan apa-apa kesan kerana kedua-dua DUN itu masing-masing masih terdapat tiga lagi calon bertanding.

Wednesday, February 27, 2008

BN menang satu lagi kerusi Parlimen

BN menang satu lagi kerusi Parlimen
KUCHING 26 Feb. – Barisan Nasional (BN) Sarawak menambah satu lagi kemenangan percuma kali ini di kawasan baru Parlimen Igan setelah calon Bebas, Junak Jawek menarik diri.

Berikutan itu, calon BN, Datuk Wahab Dolah diisytiharkan menang tanpa bertanding menjadikan sebanyak lima kerusi Parlimen telah dimenangi parti pemerintah itu setakat ini.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak, Takun Sunggah berkata, Junak mengemukakan surat penarikan diri daripada bertanding kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Igan, James Chas Gerok di Pejabat Daerah Matu pada pukul 12.45 tengah hari.

‘‘Kita menerima faksimile daripada James mengenai penarikan dirinya sebagai calon Bebas pada pukul 4 petang yang kemudiannya dihantar kepada ibu pejabat SPR di Kuala Lumpur.

‘‘Dengan penarikan diri itu, bermakna Junak hilang wang deposit sebanyak RM10,000 manakala wang RM5,000 untuk permit poster kempen dikembalikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada hari penamaan calon 24 Februari lepas, BN Sarawak menang tanpa bertanding di empat kerusi Parlimen iaitu Tanjung Manis, Selangau, Kapit dan Kanowit.

Takun berkata, Junak datang dengan ditemani seorang saksi, Hamdan Dayak sebagai prosedur biasa penarikan diri.

‘‘Calon-calon yang ingin menarik diri boleh berbuat demikian sebelum pukul 12 tengah malam esok secara bertulis dan diserahkan sendiri kepada pegawai pengurus SPR,” ujar beliau.

Sementara itu, Junak berkata, keputusannya menarik diri bukan atas desakan atau dipengaruhi sesiapa sebaliknya setelah memikirkan tidak ada peluang untuk menang.

‘‘Setelah saya fikirkan, saya rasa... saya tidak akan menang pada pilihan raya ini. Saya juga tidak mahu menentang BN kerana mahu pembangunan diteruskan di kawasan Igan ini,’’ katanya.

Bagi Wahab pula, berita tersebut adalah satu kejutan yang menggembirakan walaupun hanya mengetahui mengenai penarikan diri calon Bebas itu menerusi radio ketika sibuk berkempen.

Sementara itu, dua lagi calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Dato Keramat di Pulau Pinang dan Tanjung Batu di Sabah turut menarik diri daripada bertanding.

Calon Bebas DUN Dato Keramat, Shahul Hameed Mohamed Ishack berkata, keputusannya menarik diri dibuat atas desakan keluarga yang tidak membenarkannya bertanding.

‘‘Pencadang dan penyokong saya adalah ahli UMNO, jadi mereka merasakan tidak wajar untuk saya bertanding atas tiket Bebas dan saya akur walaupun ada sedikit perasaan kesal,’’ katanya.

Dengan itu, DUN Dato Keramat bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Ong Thean Lye daripada BN dan calon DAP, Jagdeep Singh Deo.

Sementara di Tawau, langkah Dasun Sumbin menarik diri menjadikan pertandingan di DUN Tanjung Batu tinggal tiga penjuru antara calon BN, Datuk Hamisah Samat, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dullah Hashim dan seorang lagi calon Bebas, Mohd. Jeffry Rosman.

“Saya menarik diri atas kerelaan saya sendiri tanpa dipaksa atau diminta oleh sesiapapun,” kata Dasun kepada pemberita selepas menyerahkan notis penarikan diri di pejabat SPR Tawau pada pukul 10.30 pagi tadi.

Dasun, 57, memberitahu keputusannya bertanding sebelum ini dibuat ekoran masalah tanah yang dihadapi di kawasannya namun menukar fikiran selepas menyedari ia boleh diselesaikan melalui cara lain.

Tuesday, February 26, 2008

Ejen calon dibenar saksi urusan undi pos

PUTRAJAYA 25 Feb. – Semua calon bertanding dibenarkan melantik ejen bagi memerhati proses pengundian pos yang diadakan di premis-premis tentera dan polis di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor berkata, langkah baru itu yang berkuat kuasa pada pilihan raya kali ini merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan yang dilakukan SPR bagi mempertingkatkan lagi ketelusan urusan pengundian pos.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, mana-mana calon bertanding yang berhasrat menghantar ejen pengundian pos itu perlu membuat permohonan menggunakan borang yang ditetapkan.

Katanya, borang itu hendaklah dialamatkan kepada pegawai yang bertanggungjawab menguruskan pengundian pos di sesuatu premis tentera dan polis.

‘‘Borang permohonan tersebut hendaklah dibuat dalam tiga salinan dan perlu dikemukakan kepada pegawai bertanggungjawab sekurang-kurangnya dua hari sebelum urusan pengundian pos dijalankan di sesuatu premis tentera dan polis,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat SPR di sini hari ini.

Kamaruzaman berkata, sebelum ini hanya pengurus ataupun pegawai SPR dibenarkan menyaksikan proses pengundian pos di premis-premis tentera dan polis di seluruh negara.

Kebenaran

Katanya, kebenaran daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membenarkan ejen calon memerhati pengundian pos di dalam kawasan tentera telah diperoleh minggu lalu, manakala polis beberapa hari lepas.

Beliau menambah, semua ejen calon berkenaan dikehendaki mematuhi garis panduan bagi Ejen Pengundian Pos (EPP) yang telah ditetapkan oleh SPR.

‘‘SPR melalui pegawai-pegawai pengurus akan mengeluarkan notis bertulis 24 jam kepada calon-calon atau ejen pilihan raya mereka mengenai tarikh, masa dan tempat urusan pengeluaran, pembukaan dan pengiraan undi pos diadakan,” kata beliau.

Seramai 221,085 pengundi pos layak mengundi pada pilihan raya 8 Mac ini.

Daripada jumlah itu, seramai 135,882 orang adalah anggota tentera dan pasangan mereka, manakala 83,794 anggota polis termasuk anggota Pasukan Gerak Am dan pasangan mereka

Sunday, February 24, 2008

Tahanan ISA boleh bertanding pilihan raya umum - SPR

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh bertanding pada pilihan raya umum mengikut perundangan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor.

"Jelas dinyatakan dalam perundangan. Orang ramai perlu tahu bahawa terdapat perbezaan antara tahanan dan dipenjarakan," kata beliau kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa sesiapa yang dihukum penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000 tidak dibenarkan bertanding pada pilihan raya umum.

Kamaruzaman berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai langkah DAP Selangor yang mencalonkan tahanan ISA, M. Manoharan, 46, untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Alam Shah pada pilihan raya umum 8 Mac ini.

Kali terakhir DAP mencalonkan tahanan ISA adalah pada pilihan raya umum 1978 dengan meletakkan Chan Kok Kit dan Chian Heng Kai masing-masing bagi kerusi Parlimen Sungai Besi dan Batu Gajah.

Kedua-duanya memenangi kerusi berkenaan.

Chan menang dengan majoriti 33,687 undi manakala Chian 6,281 undi.

Kamaruzaman berkata, tahanan yang dinamakan sebagai calon boleh diwakili oleh pencadang dan penyokongnya atau seorang daripada mereka sekiranya beliau tidak boleh mengemukakan kertas penamaan berkenaan secara peribadi.

DAP Selangor mengumumkan senarai calonnya bagi kerusi Parlimen dan DUN Selangor dan Wilayah Persekutuan hari ini.

Manoharan, yang juga peguam, ditahan pada 13 Disember lepas kerana didakwa terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram di sini pada 25 November lepas dan membuat kenyataan menghasut terhadap kerajaan.

- Bernama

Friday, February 15, 2008

8 Mac hari mengundi -- * SPR tetapkan penamaan calon 24 Februari * Tempoh kempen 13 hari

Oleh ZULKIFLI JALIL dan HAMDEN RAMLI



PUTRAJAYA 14 Feb. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memilih hari Sabtu 8 Mac sebagai tarikh rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada Ahad 24 Februari ini.

Ini bermakna tempoh berkempen dalam pilihan raya 2008 ialah selama 13 hari iaitu jangka masa yang agak panjang berbanding cuma lapan hari pada pilihan raya umum 2004.

Keseluruhannya, mulai hari pembubaran Parlimen semalam, parti-parti politik mempunyai tempoh selama 24 hari bagi merancang strategi terakhir untuk memenangi hati para pengundi Malaysia.

Pengundian akan diadakan ketika sekolah-sekolah ditutup sempena cuti penggal pertama persekolahan.

Pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 negeri kecuali Sarawak yang telah pun mengadakan pilihan raya negerinya pada 2006.

SPR menetapkan tarikh writ pilihan raya dikeluarkan kepada kesemua pegawai pengurus pilihan raya di 222 kawasan Parlimen esok manakala notis pilihan raya dikeluarkan pada Sabtu ini, kata Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Parlimen semalam, anggota-anggota SPR bermesyuarat selama sejam pagi ini membincangkan tarikh penamaan calon dan pengundian Pilihan Raya Umum Ke-12.

Menurut Ab. Rashid, sebanyak 10,922,139 pengundi layak mengundi pada pilihan raya itu berdasarkan kepada daftar pemilih yang diwartakan pada 5 Februari lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 10,701,054 merupakan pemilih biasa manakala baki 221,085 pengundi pos.

‘‘SPR berharap rakyat Malaysia akan menggunakan sebaik-baiknya hak untuk memilih kerajaan bagi memerintah negara ini.

‘‘Pada hari mengundi jangan tidur, keluar mengundi. Tak usah pergi ke mana-mana. Hanya ini masanya untuk anda melaksanakan hak anda. Hak ini tidak datang selalu,” ujarnya.

Sidang akhbar SPR hari ini yang disifatkan oleh Ab. Rashid sebagai yang paling ramai dihadiri wartawan sepanjang perkhidmatannya selama lebih dua dekad dengan SPR turut disiarkan secara langsung oleh RTM dan TV3.

Mengulas mengenai tempoh berkempen selama 13 hari untuk pilihan raya umum itu yang dianggap agak panjang, Ab. Rashid berkata, masa tersebut mencukupi untuk semua parti yang bertanding.

Katanya, SPR telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk soal keselamatan dan ketenteraman awam dalam menentukan tempoh berkempen itu.

‘‘Kalau kita nak panjangkan tempoh berkempen, negara kita ini banyak perkara sensitif yang mungkin boleh dimanipulasikan oleh sesetengah pihak. Saya rasa dalam hal ini (penetapan tempoh berkempen), kita telah berlaku adil,” katanya.

Pada pilihan raya umum 2004, SPR menetapkan tempoh berkempen selama lapan hari.

Pada pilihan raya umum 1999 pula, tempoh berkempen ditetapkan selama sembilan hari manakala pada pilihan raya umum 1990 dan 1995, masing-masing 10 hari.

Menurut Ab. Rashid, terdapat 30 parti politik berdaftar setakat ini dan kebanyakan parti itu dijangka bertanding pada pilihan raya umum nanti.

Mengenai jumlah 10.9 juta pengundi yang akan terlibat dalam pilihan raya umum 8 Mac ini, beliau berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak 670,000 orang berbanding 10.3 juta pengundi dalam pilihan raya umum ke-11 pada 2004.

Pada pilihan raya kali ini, katanya, SPR akan memperkenalkan beberapa garis panduan baru termasuk penggunaan bahan kempen.

‘‘Langkah ini dibuat bukan untuk menyusahkan tetapi bagi memastikan pilihan raya dapat diadakan dengan lancar dan teratur,” ujarnya.

Mengenai penggunaan dakwat yang akan dicalit pada jari pengundi, beliau berkata, pelaksanaan prosedur itu akan diumumkan sedikit masa lagi.

Ab. Rashid turut memberi jaminan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-12 akan berjalan dengan adil.

‘‘Saya rasa dalam hal ini kita telah berlaku adil.

‘‘Kadang-kadang di negara kita, banyak perkara sensitif boleh dimanipulasikan. Kita ada rekod yang baik. Pilihan raya umum ke-11 aman tenteram. Kita nak kekalkan rekod itu dan jangan ada sesiapa mengacau rekod itu. Negara tidak suka,” tegas beliau.

Ditanya sama ada SPR menjemput pemerhati asing untuk memantau pilihan raya umum nanti, beliau memberitahu, suruhanjaya itu tidak memberi sebarang akreditasi kepada pemerhati luar untuk berbuat demikian.

Mengenai kenyataan Malaysian For Free and Fair Elections (Mafrel), iaitu pertubuhan tempatan yang telah mendapat pengiktirafan SPR untuk mengawasi Pilihan Raya Umum Ke-12, Ab. Rashid berkata:

‘‘Badan itu telah melaksanakan tugasnya dengan baik (sebagai pemerhati dalam pilihan raya-pilihan raya kecil termasuk Dewan Undangan Negeri Sarawak 2006) dan memberi input-input berguna kepada SPR.

‘‘Cuma skop peranannya hanya untuk memastikan pilihan raya umum nanti dilaksanakan selari dengan undang-undang yang ditetapkan.”

Negara kebajikan: Kita boleh bankrap

SEPANG 14 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran Malaysia boleh bankrap jika konsep negara kebajikan yang ditawarkan oleh Pas diterima dan dipraktikkan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, konsep tersebut membawa pengertian bahawa seseorang yang tidak bekerja juga akan mendapat bayaran bulanan daripada kerajaan.

Keadaan ini, kata beliau, menyebabkan kerajaan pada masa sama terpaksa pula mengenakan cukai yang tinggi kepada mereka yang mampu.

‘‘Sedangkan kita telah melihat bagaimana negara maju yang mengenakan cukai yang tinggi akhirnya tidak dapat dipertahankan.

‘‘Apatah lagi kita sebagai negara sedang membangun, kalau ada dasar mereka yang tidak bekerja pun mendapat bayaran setiap bulan, maka itu alamat negara kita akan menjurus kepada lembah sebuah negara yang bankrap,’’ kata beliau.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan Rumah Harapan Kanak-Kanak Malaysia di Kampung Baru Labu Lanjut, Salak Tinggi di sini hari ini.

Rumah perlindungan anak-anak yatim yang menghidap AIDS/HIV bernilai RM1.3 juta itu dikelolakan oleh Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia (YHKM).

Hadir sama pada majlis tersebut ialah isteri beliau yang juga penaung YHKM, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan isterinya, Datin Seri Zaharah Kechik.

Menurut Najib, pada masa ini, lebih realistik dan praktikal sekiranya amalan sekarang diteruskan iaitu menjadi sebuah kerajaan prihatin yang menekankan kepada pembentukan masyarakat penyayang.

Dalam hal ini, kata beliau, kerajaan akan terus memastikan tidak ada satu kelompok masyarakat pun di negara ini akan merasakan diri mereka terpinggir kerana tidak mendapat pemberian daripada kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

‘‘Kita akan tentukan dapat menyediakan peluang yang adil serta saksama jika ada kelompok masyarakat yang benar-benar mengharapkan sumbangan kerana tidak mampu bekerja seperti golongan kurang upaya (OKU) atau ibu tunggal.

‘‘Maka dengan cara itu kita dapat tentukan bahawa mereka yang mampu bekerja hendaklah bekerja,’’ katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa dalam negara ini terdapat lebih dua juta pekerja asing tidak termasuk yang memasuki Malaysia secara haram telah mengambil alih pelbagai jenis pekerjaan di negara ini.

‘‘Sehinggakan tukang gunting rambut dan tukang masak juga merupakan pekerja asing.

‘‘Ini belum lagi sampai kepada negara kebajikan sebab kalau semua tidak bekerja, akhirnya negara ini dikuasai pekerja asing,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan bahawa pembangkang akan sentiasa menjanjikan sesuatu yang tidak berpijak di bumi nyata.

‘‘Itu kerja pembangkang, tidak hairanlah, apa kita buat dia akan kata sama ada tidak betul atau belum memadai atau belum mencukupi.

‘‘Tetapi apabila diserahkan kepada mereka selama empat tahun di Terengganu, rakyat telah menolaknya dan selama 18 tahun di Kelantan, hari ini angin perubahan bertiup kencang di negeri itu,” katanya.

Mengulas pembinaan Rumah Harapan Kanak-Kanak Malaysia, Najib berkata, sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak untuk tujuan tersebut akan memperoleh ganjaran pahala yang besar di sisi Allah kerana ia membabitkan anak- anak yatim.

Thursday, February 14, 2008

Semua negeri bubar DUN

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Semua negeri kecuali Sarawak hari ini membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi ruang untuk mengadakan pilihan raya umum ke-12 dalam masa terdekat.

Pembubaran itu diperkenankan oleh Sultan dan Yang Dipertuan Besar negeri di istana negeri masing-masing untuk diwartakan sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Di SELANGOR, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang pada pukul 5.08 petang ini bagi mendapatkan perkenan baginda membubarkan DUN.

Di MELAKA, Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob ketika mengadakan kunjungan hormat di pejabatnya di Seri Negeri, pukul 1 petang ini.

Di JOHOR BAHRU, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) bagi membolehkan pilihan raya diadakan setelah diperkenankan oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene petang ini.

Di NEGERI SEMBILAN pula, DUN dibubarkan selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besarnya, Tuanku Ja‘afar Tuanku Abdul Rahman pada pukul 1 petang ini.

Sementara di SABAH, pembubaran dibuat setelah mendapat perkenan daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Shah Abdullah dalam satu pertemuan di Istana Negeri, kira-kira pukul 2.30 petang ini.

Di PERAK pula, DUN dibubarkan selepas mendapat perkenan daripada Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Istana Perak di Kuala Lumpur pada pukul 6 petang.

Di PERLIS, Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan pembubaran DUN selepas menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail bagi memohon perkenan pembubaran DUN di Istana Arau, petang ini.

Di PAHANG, pengumuman pembubaran DUN Pahang itu dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Yayasan Pahang di sini.

FAKTA PILIHAN RAYA KE-12

Hari mengundi 8 Mac (Sabtu)
Penamaan calon 24 Februari (Ahad)
Tempoh berkempen 13 hari
Jumlah pemilih berdaftar 10,922,139
Pemilih awam 10,701,054
Pemilih pos 221,085
Jumlah parti politik berdaftar 30
Kos pilihan raya RM200 juta
Jumlah kakitangan SPR terlibat 149,000
Kakitangan sokongan 50,000

SPR beri masa selesa berkempen

Oleh HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 13 Feb. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan penetapan tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi bagi pilihan raya umum ke-12 selepas mengadakan mesyuarat dengan ahli-ahli suruhanjaya itu, esok.

Pengerusinya, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, pihaknya telah meminta semua Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), kecuali Sarawak, menghantar notis pembubaran DUN selewat-lewatnya petang ini bagi membolehkan pilihan raya umum dilaksanakan secara serentak.

Bagaimanapun, Ab. Rashid tidak membayangkan SPR akan menetapkan tempoh berkempen yang terlalu pendek, sebaliknya SPR memberikan jangka masa berkempen yang selesa dan bersesuaian kepada setiap parti bagi menentukan calon serta menjalankan kempen pilihan raya.

“Kita akan tentukan semua pihak selesa, kita akan berikan ruang secukupnya bagi semua pihak menentukan calon-calon dan menjalankan kempen.

“Pilihan raya bukan perkara kecil, jadi peluang untuk semua harus diberikan, jika tidak ia akan menjadi sesuatu yang tidak adil kepada pihak yang mungkin kesuntukan masa tidak dapat hendak berkempen,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Ab. Rashid, SPR juga akan memastikan tarikh penamaan calon dan hari pengundian diadakan selepas selesai tempoh sambutan Tahun Baru Cina.

“Ya, kita akan tentukan ia diadakan selepas sambutan Cap Goh Mei, saya yakin ia akan diberitahu kepada saya dalam mesyuarat esok,” katanya.

Perayaan Cap Goh Mei akan disambut pada 21 Februari ini.

Ab. Rashid menjelaskan, bagi melicinkan proses pilihan raya umum ke-12, SPR menempatkan 149,000 petugas terlatih di semua bahagian pilihan raya selain tambahan sebanyak 50,000 petugas yang diambil secara tidak formal.

Selain itu, kata beliau, pihaknya telah meminta petugas-petugas SPR di negeri-negeri agar menyegerakan penghantaran peti-peti undi lut sinar yang pertama kali diperkenalkan dalam pilihan raya umum ke seluruh bahagian pilihan raya mulai esok.

“Pada masa ini peti-peti undi itu sudah ditempatkan di negeri-negeri,” katanya.

Mengenai penggunaan sistem mencalit dakwat kekal pada jari dalam pilihan raya umum kali ini, beliau berkata, keputusan muktamad mengenai perkara itu akan ditentukan esok.

“Soal itu saya akan jawab esok, saya perlu bincangkan dengan ahli-ahli panel suruhanjaya. Kita sudah buat persediaan dan menerima laporan-laporan yang perlu dikaji sedalam-dalamnya untuk membuat keputusan muktamad,” ujar Ab. Rashid.

Beliau menegaskan, SPR memberi jaminan keadilan dan kebebasan dalam pilihan raya umum selain mahu melihat wujud pertandingan yang sihat di kalangan parti-parti dan calon yang terbabit dalam pilihan raya.

“Saya berharap masyarakat akan mengikuti perkembangan pilihan raya umum kali ini dengan tenang.

“SPR juga telah memberitahu kepada semua kakitangannya supaya bersikap adil kepada semua pihak yang terbabit dalam pilihan raya,” katanya.

Ditanya mengenai status Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu layak bertanding dalam pilihan raya umum ke-12, Ab. Rashid berkata, beliau tidak dapat memberikan ulasan kerana isu itu membabitkan soal undang-undang.

“Siapa yang boleh bertanding dan siapa yang tidak boleh bertanding, itu saya tidak boleh berikan ulasan sekarang,” katanya.

Selain itu, kata Ab. Rashid, beliau tidak mendengar ada parti baru yang akan bertanding pada pilihan raya umum kali ini kerana SPR tidak bertanggungjawab dari segi pendaftaran parti politik.

“Kami hanya daftarkan simbol parti tetapi setakat ini tidak ada simbol parti baru yang didaftarkan,” katanya.

Ditanya tentang suasana pilihan raya umum kali ini sama ada ia lebih panas daripada biasa, beliau menjangkakan berlaku pertandingan yang lebih hebat tetapi ia tidak akan sampai ke peringkat yang boleh mengeruhkan suasana.

“Saya melihat proses memasyarakatkan politik pilihan raya berada di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya percaya semua pihak tidak akan mengeruhkan keadaan, yang penting kita memberikan peluang kepada para pengundi untuk keluar membuang undi dan yakin bahawa keselamatan dan kebebasan mereka adalah terjamin,” katanya.

Beliau menambah, SPR juga merasakan rakyat sudah semakin matang dan mahu mengambil bahagian dalam pilihan raya umum sekurang-kurangnya sebagai pengundi.

“Kecenderungan ini baik sebab kita sudah bercakap fasal pilihan raya sejak sekian lama, itu sebenarnya satu proses memasyarakatkan pilihan raya,” katanya.

Parlimen bubar -- Tarikh penamaan calon, pilihan raya ditentukan hari ini




Oleh Baharom Mahusin dan Zulkifli Jalil



Abdullah Ahmad Badawi sambil diperhatikan oleh Najib Tun Razak sewaktu mengumumkan pembubaran Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya semalam. – Gambar Zaki Amiruddin.

--------------------------------------------------------------------------------



PUTRAJAYA 13 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke-12 diadakan, iaitu 15 bulan sebelum mandat penggal sekarang berakhir pada Mei 2009.

Serentak itu, semua Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali Sarawak turut dibubarkan.

Perdana Menteri memberitahu sidang akhbar di sini pada pukul 12.35 tengah hari bahawa beliau diiringi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini untuk mendapat perkenan bagi membubarkan Parlimen ke-11 berkuat kuasa hari ini.

“Seri Paduka telah menandatangani Perisytiharan Pembubaran Parlimen pada hari ini. Kerajaan-kerajaan negeri juga telah dinasihati supaya membubarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri berkuat kuasa tarikh yang sama,” katanya.

Sepanjang sidang akhbar sepuluh minit itu, Abdullah berdiri di rostrum yang terletak di sebelah bendera Malaysia di Bilik Sidang Akhbar Jabatan Perdana Menteri di sini ditemani Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Parlimen telah dimaklumkan berkenaan pembubaran itu.

“SPR akan menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi,” katanya.

Pengumuman Abdullah itu sekali gus menamatkan spekulasi tarikh pilihan raya umum ke-12 yang hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lalu.

Pada sidang akhbar yang penuh sesak dengan wartawan dan disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan, Abdullah berharap pilihan raya umum kali ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Beliau yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mendapat semula mandat dua pertiga seperti yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac 2004.

Pada pilihan raya itu, BN menang 198 daripada 219 kerusi Parlimen dan memperoleh undi popular 64 peratus. Ia merupakan antara pencapaian terbaik BN dalam sejarah pilihan raya Malaysia sejak 50 tahun lalu.

Sebelum Parlimen dibubarkan hari ini, pembangkang mempunyai 20 kerusi di Dewan Rakyat iaitu DAP 12 kerusi, Pas enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Di peringkat DUN, BN menguasai 454 kerusi, Pas 36 kerusi manakala DAP 15 kerusi. BN memerintah di semua negeri kecuali Kelantan.

Perdana Menteri meminta pengundi memberi sokongan besar kepada BN demi manfaat mereka dan kepentingan negara.

‘‘Saya berharap pengundi faham isu-isu dalam negara, beri penilaian secara objektif dan beri undi kepada BN,” katanya.

Sejumlah 222 kerusi Parlimen akan dipertandingkan pada pilihan raya umum ke-12 manakala 505 kerusi DUN akan direbut parti-parti politik di peringkat negeri.

Pilihan raya umum kali ini turut menyaksikan pertambahan tiga kerusi baru bagi Parlimen Sarawak ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2006.

Abdullah percaya BN akan meraih kemenangan besar berdasarkan prestasi parti pemerintah itu yang melaksanakan segala janjinya.

Katanya, program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan BN telah memberi manfaat kepada rakyat.

Menjelang hari pengundian, kata beliau, jentera BN telah disusun rapi bagi menghadapi pilihan raya umum dan apa yang perlu dilakukan sekarang hanyalah untuk menggerakkannya.

Mengenai senarai calon pilihan raya BN, Abdullah berkata, ia akan menyaksikan gabungan muka lama dan muka baru.

‘‘Apabila senarai itu telah ditetapkan, maka pada waktu itu kita akan tahu berapa orang muka lama, berapa orang muka baru,” katanya.

Perdana Menteri turut ditanya mengapa beliau membubarkan Parlimen 15 bulan lebih awal dari tarikh tamat tempoh penggal lima tahun yang akan berakhir pada 16 Mei 2009.

‘‘Tidak salah. Tidak ada kesalahan (bubar lebih awal). Saya fikir elok juga. Kalau kita hendak buat (pilihan raya) pada waktu ini pun tak apa.

“Saya percaya dengan kekuatan mandat nanti, insya-Allah kita akan dapat meneruskan usaha-usaha kita untuk memajukan negara dan memberi nikmat kepada rakyat,” ujarnya.

Abdullah juga yakin pembubaran Parlimen tidak akan menjejaskan perayaan dan aktiviti masyarakat Cina yang masih merayakan sambutan Tahun Baru Cina.

Ditanya mengenai keistimewaan tarikh 13 Februari sehingga beliau memilih tarikh itu bagi membubarkan Parlimen, sambil ketawa Abdullah berkata: “Tak payah ulaslah, tak payah ulaslah.”

Angka 13 diketahui umum merupakan angka kegemaran Perdana Menteri.

Malah ketika Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi ini, beliau yang ditemani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan menaiki kenderaan rasmi Proton Perdana bernombor pendaftaran WCH13.

Banyak pihak sebelum ini meramalkan pengundian akan diadakan pada 1 atau 8 Mac ini manakala hari penamaan calon dijangka diadakan 10 hari sebelum itu pada minggu terakhir bulan ini.

Mengikut Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

Dalam beberapa pilihan raya umum lepas, SPR menetapkan tempoh kempen hanya selama 10 hari. Biasanya kerajaan telah dibentuk tidak sampai tiga minggu selepas Parlimen dibubarkan.

Pada pilihan raya umum ke-11, hari pembubaran Parlimen, hari penamaan calon dan hari pengundian berlangsung dalam tempoh 17 hari.

Wednesday, February 13, 2008

Parlimen bubar hari ini



13/02/2008 2:41pm


PERDANA Menteri mengumumkan pembubaran parlimen dalam sidang akhbar di Putrajaya, hari ini
--------------------------------------------------------------------------------



PUTRAJAYA 13 Feb. - Parlimen dibubarkan hari ini bagi membolehkan pilihan raya umum ke-12 diadakan.

Serentak dengan itu semua Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali Sarawak, turut dibubarkan.

Pengumuman pembubaran Parlimen itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ia dibuat selepas Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi ini bagi mendapatkan perkenan Seri Paduka.

Berikut adalah transkrip penuh kenyataan akhbar Perdana Menteri pada sidang akhbar khas di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada pukul 12.35 tengah hari ini:

``Saya ingin mengumumkan mengenai pembubaran parlimen pada hari ini setelah mengadap Yang di-Pertuan Agong pada pagi ini.

``Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk membubarkan parlimen berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan pilihan raya umum ke-12 dijalankan.

``Yang di-Pertuan Agong menandatangani perisytiharan pembubaran parlimen.

``Dengan itu, kerajaan-kerajaan negeri turut dinasihatkan membubar Dewan Undangan Negeri berkuat kuasa pada hari yang sama.

``Suruhanjaya Pilihan Raya juga sudah dimaklumkan mengenai perkara ini.”

SPR tetapkan tarikh pencalonan, pengundian pilihan raya umum esok

13/02/2008 2:18pm


PUTRAJAYA 13 Feb. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat esok untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-12, kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman hari ini.

Beliau berkata, SPR akan membincangkan pelbagai perkara dalam menentukan kedua-dua tarikh itu, termasuk keadaan negara dan keselamatan masyarakat.

“SPR akan memberikan ruang yang sesuai untuk tempoh pencalonan dan seterusnya tempoh berkempen sebelum pengundian diadakan,” katanya dalam wawancara secara langsung dengan RTM di sini.

Wawancara itu disiarkan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembubaran Parlimen, berkuatkuasa hari ini bagi mengadakan pilihan raya umum.

- Bernama

Tuesday, February 12, 2008

SPR sudah 2 tahun buat persiapan

Oleh Kadir Dikoh, Jami’ah Shukri dan Azrul Affandi Sobri

SEPERTI dimaklumkan, SPR sudah bersiap sedia mengendalikan Pilihan Raya Umum Ke-12 termasuk selesai mengadakan kursus untuk pegawai pengurus pilihan raya serta menghantar peti undi lutsinar. Apakah ini kerana SPR sudah diarahkan kerajaan untuk bersedia sekarang.

SPR tidak dimaklumkan mengenai tarikh pilihan raya, cuma diberikan bayangan pilihan raya umum diadakan pada 2008. Tempoh hayat Parlimen, tamat pada Mei 2009. Lazimnya, SPR buat persiapan awal dua tahun sebelum tamat tempoh kerajaan, walaupun kerajaan tidak beri sebarang bayangan. Sebenarnya, kami sudah dua tahun membuat persiapan. SPR sudah bersiap sedia termasuk melengkapkan peralatan. Kelengkapan lain saja ada 250 jenis. Ini bukan jumlah yang sedikit.

Dalam tempoh seminggu dua ini, adakah kerajaan atau tepat lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ada memberikan sebarang ‘petunjuk’ mengenai bila nak bubar Parlimen bagi membolehkan SPR terus buka ‘gear lima’ dalam persiapan itu.

Sebenarnya, ia tidak perlu petunjuk. Perdana Menteri hanya tanya SPR, sama ada kita sudah bersedia atau tidak, itu saja. Biasanya saya tidak bincang tarikh pilihan raya umum dengannya kerana tarikh pembubaran adalah hak Perdana Menteri. Tetapi parti pemerintah mempunyai kuasa untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, bila nak membubarkan (Parlimen). Dua tiga minggu lalu, Perdana Menteri ada tanya kepada SPR mengenai persediaan SPR menghadapi pilihan raya. Kita sudah selesai mengadakan taklimat dan latihan kepada pegawai pilihan raya, sejak akhir bulan lalu. Peralatan bagi pilihan raya juga sudah disediakan sejak dua tahun lalu. Kita juga akan menyewa 40 helikopter dari Filipina, Thailand dan Indonesia, bagi menambah keperluan helikopter tempatan yang disewa daripada pihak swasta.



Lazimnya, menjelang pilihan raya umum seperti sekarang, apa yang dibimbangkan oleh Tan Sri.

Saya bimbang mengenai jumlah kakitangan dan sejauh mana kecekapan mereka selepas diberi latihan. Sehingga ini, sebanyak 1,497 tempat mengundi dan 7,950 pusat mengundi dan dengan itu, kita perlu ada 21,497 ketua di tempat mengundi saja. Ini semua terdiri daripada pengetua, guru besar dan pegawai kerajaan yang sudah dikenal pasti untuk dilatih. Mereka hanya diambil untuk urusan itu. Bagaimanapun, daripada tahap latihan itu ada kalanya membimbangkan kita. Saya yakin kebanyakan mereka yang diambil sudah terbabit dalam bidang itu dalam pilihan raya sebelum ini. Cuma yang merisaukan saya ialah, pilihan raya ini adalah berkaitan undang-undang, semua kena patuh kepada undang-undang, tidak boleh dilakukan sesuka hati. Kita beri garis panduan lengkap supaya mereka dapat mengikut setiap langkah perjalanan pilihan raya. Mereka perlu menelitinya dengan cermat. Jika keluar daripada garis panduan, mereka dikira melanggar undang-undang. Kalau di bawa ke mahkamah dan disabit kesalahan, keputusan pilihan raya boleh dibatal. Inilah yang kita tidak mahu berlaku. Bagaimanapun, pada pilihan raya lalu, kita tidak menghadapi sebarang masalah. Keseluruhan pegawai yang terbabit dalam pilihan raya adalah seramai 200,000 orang. Angka terakhir pegawai yang diambil dan sudah menjalani latihan ialah seramai 149,000 orang. Selepas Parlimen dibubarkan, SPR sekali lagi akan mengadakan latihan, kali ini lebih intensif bagi penggunaan dakwat untuk pengundi yang buat kali pertama diperkenalkan. Setiap pengarah negeri akan memanggil kesemua pegawai berkenaan. Dakwat tidak dapat ditempah awal kerana ada tarikh luput dan untuk mengelakkan bahan kimia digunakan pada dakwat itu terdedah dan mudah luput.



Pada pilihan raya umum kali ini diperkenalkan penggunaan dakwat khas dan peti undi lutsinar. Apakah kelebihannya dan sama ada ia memenuhi tuntutan daripada pihak pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu SPR lebih telus.

Kelebihan penggunaan dakwat itu adalah untuk mengelak penipuan seperti pemilih mengundi dua kali bagi pihak orang lain. Setakat ini, tiada kes penipuan dikesan membabitkan pemilih mengundi dua kali bagi pihak orang lain apatah lagi untuk dibawa ke mahkamah. Sebenarnya, penggunaan dakwat itu adalah untuk memenuhi permintaan sebilangan pihak bagi mengelak sebarang penipuan. Kita hanya mahu pihak terbabit puas hati dan ingin menunjukkan ketelusan. Peti undi lutsinar juga digunakan untuk memperlihatkan proses pilihan raya bersih dan telus. Ada pihak mengadu peti undi yang digunakan sebelum ini boleh ditukar, walaupun dakwaan itu tidak berasas. Oleh kerana ada tuduhan, kita tidak mahu isu itu dipolitikkan. Bagi saya, semua itu tidak perlu dibuat kerana ia dianggap membazir. Kita penuhi tuntutan mereka, itu boleh memberi keyakinan kepada pembangkang. Kita buat itu semua mengikut apa yang mampu dan ada dalam bidang kuasa SPR. Ada juga benda yang dipohon menyentuh perlembagaan iaitu soal dasar. Antaranya mahu mengawal media. SPR tidak boleh kawal media kerana ia membabitkan akta lain (Akta Multimedia). Perkara yang menyentuh dasar kerajaan, SPR tidak boleh sentuh.



Buat kali pertama juga SPR pada pilihan raya kali ini mahu mengawal jumlah dan lokasi poster. Apakah rasional tindakan ini sedangkan ‘perang poster’ menambahkan kemeriahan sejak pilihan raya pertama lagi.

SPR perlu mengehadkan jumlah dan lokasi penampalan poster untuk mengelak tercetusnya pergaduhan. Poster adalah salah satu cara berkempen. Tetapi jika dilakukan secara berlebihan ia boleh menimbulkan pergaduhan dan bagi memberi keadilan kepada semua parti. Jika menggunakan poster, ia perlu diletakkan di tempat dan ruang sesuai untuk semua pihak. Jangan satu pihak bolot semua dan satu pihak cuba menampal di kawasan sama, tidak boleh. Ini gejala yang tidak sihat. Bagi saya, banyak negara yang tidak menampal poster ketika pilihan raya diadakan. Sebagai contoh, saya baru pulang dari Australia dan saya tidak nampak satu poster ditampal. Tetapi ia masih nampak meriah dan rakyatnya juga keluar mengundi.



Bagaimana pula undi pos, adakah prosedur baru diperkenalkan. Adakah polis dan tentera saja layak untuk undi pos, sedangkan segmen seperti wartawan juga amat sibuk hingga menyukarkan mereka mengundi terutama di lokasi yang agak jauh.

Undi pos dijalankan seperti biasa dan tiada prosedur baru diperkenalkan. Setakat ini hanya polis dan tentera saja yang menggunakan undi pos. Saya tiada menerima sebarang permohonan daripada badan lain seperti wartawan (Persatuan Wartawan Kebangsaan) bagi membolehkan kami memberi pertimbangan sebagai pengundi melalui pos. Sebenarnya, mereka yang ingin menggunakan cara itu, boleh membuat permohonan dan kita akan pertimbangkan. Undi pos dilakukan tiga hari sebelum hari pengundian.



Sebelum ini dilaporkan berlaku penipuan dengan meletakkan nama pengundi di kawasan tertentu. Bagaimana SPR menangani isu berkenaan serta menjamin nama daftar pemilih yang sudah meninggal dunia tidak disalahgunakan sebagai pengundi.

Pada 2002, ada parti politik yang membantu SPR mendaftarkan nama dan pertukaran alamat pemilih. Keadaan itu mendukacitakan saya dan banyak orang namanya dipindah, borang ada. Kita tidak tahu. Ia dibuat ejen yang dilantik SPR. Oleh itu, sekarang kita tidak benarkan lagi mereka buat pendaftaran bagi pertukaran alamat untuk mengelak penipuan. Oleh itu kita mahu orang ramai memeriksa nama mereka dan jika nama mereka sudah berubah di tempat lain, mereka perlu mendaftar semula. Bagi orang yang mati, ia bukan urusan kita, SPR mendapatkan senarai rasmi daripada jabatan lain dan kita tidak dapat menjamin perkara itu. SPR tidak sewenang-wenangnya membuang nama pengundi yang sudah mati selepas ada laporan mengenainya. Biasanya, kita akan membuat penyiasatan berkaitan perkara itu. Bukan tugas SPR untuk mencari atau menentukan orang yang mati itu. Bagaimanapun, ramai orang yang mati pada zaman dulu tidak dilaporkan. Jika dilaporkan ia tidak dimaklumkan kepada SPR. Bagaimanapun, saya menyangkal sepenuhnya, nama orang yang sudah mati digunakan. Ini adalah tohmahan dan tuduhan liar. Tidak wujud pengundi hantu. Setakat ini tiada bukti ia pernah berlaku. Begitu juga ada tohmahan tukar peti undi, ia tidak berlaku di negara ini. Macam mana peti undi boleh berpindah. Dari pagi hingga selesai pilihan raya, peti undi itu terletak di situ. Cuma saya kesal kerana ada pihak menjaja cerita pilihan raya umum di Malaysia berlaku unsur penipuan. Perkara itu mendukacitakan kita dan sebenarnya SPR amat telus dan harapan saya supaya pilihan raya ini dilakukan dengan sempurna. Saya sudah menjelajah di seluruh negara memberitahu kepada semua pegawai bertugas semasa pilihan raya itu supaya mengikut peraturan dan sentiasa adil.

Gagal tapisan BPR

SHAH ALAM 11 Feb. - Beberapa bakal calon yang telah disenaraikan untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-12 di negeri ini digugurkan setelah didapati gagal melepasi tapisan pertama Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, pengguguran itu dibuat setelah beberapa nama calon yang terdiri daripada mereka yang menjadi wakil rakyat ketika ini serta muka-muka baru didapati mempunyai masalah tertentu termasuk kes rasuah.

Mohamad Khir yang enggan mendedahkan nama ahli-ahli politik berkenaan berkata, jumlah bakal calon yang gagal itu amat kecil berbanding 200 senarai calon Dewan Undangan Negeri dan Parlimen negeri ini yang telah diserahkan kepada BPR baru-baru ini.

"Sebelum ini, kita telah hantar senarai calon berkenaan kepada BPR untuk diteliti status mereka dan saya akui memang ada yang gagal melepasi tapisan tersebut.

"Saya tidak boleh beritahu dengan terperinci mengenai perkara ini kerana perjanjian kita (BN Selangor) dengan BPR adalah rahsia bagi mengelak berlakunya sebarang spekulasi buruk atau tuding-menuding terhadap mereka yang tidak terbabit.

"Namun, saya boleh katakan jumlahnya terlalu kecil dan BN Selangor masih lagi mempunyai ramai calon yang berkaliber dan berkelayakan," katanya di sini hari ini.

Mohamad Khir berkata, proses tapisan senarai calon BN tidak akan terhenti setakat itu.

Sebaliknya, beliau berkata, senarai calon itu seterusnya akan dihantar kepada pihak polis untuk tapisan kedua dan kemu-dian ke Jabatan Insolvensi serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan mereka bebas daripada jenayah, saman, status bankrap serta terlibat dalam masalah berkaitan dengan cukai.

"Hanya calon terbaik akan dipilih," ujarnya.

SCORE dilancar -- * Libatkan pelaburan RM334b * Tarik komitmen swasta RM500b




Oleh Fauzi Jaafar dan Muhamad Zaid Adnan



ABDULLAH Ahmad Badawi, Jeanne Abdullah, Abdul Taib Mahmud dan Nor Mohamed Yakcop melihat model Projek Empangan Hidroelektrik Bakun pada majlis pelancaran Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak di Bintulu, Sarawak, semalam. – Gambar AMIR HAFIZ ABD RAHMAN.

--------------------------------------------------------------------------------



BINTULU 11 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) yang berteraskan penerokaan sumber tenaga secara mesra alam dengan pelaburan berjumlah RM334 bilion dalam tempoh 23 tahun.

Sambutan terhadap SCORE daripada para pelabur amat memberangsangkan sebaik sahaja ia dilancarkan.

Beberapa jam selepas merasmikan koridor pembangunan itu, Perdana Menteri memberitahu, SCORE telah menerima komitmen pelaburan jangka panjang sebanyak RM500 bilion hasil memorandum persefahaman (MoU) 24 syarikat swasta yang ditandatangani hari ini.

Menurut pelan induk SCORE, koridor itu memerlukan suntikan RM200 bilion untuk membangunkan pelaburan dalam industri, sektor tenaga (RM67 bilion), infrastruktur (RM61 bilion), modal insan (RM3 bilion) dan infrastruktur institusi (RM3 bilion).

Kerajaan Pusat akan menyumbang 15 peratus daripada jumlah pelaburan SCORE yang akan dimajukan bermula dari tahun 2008 sehingga 2030.

Ketika berucap melancarkan SCORE di sini, Abdullah berkata, SCORE bakal menjadikan Sarawak maju seiring dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Beliau berkata, Koridor Sarawak itu akan dibangunkan di wilayah tengah negeri ini merangkumi kawasan Bintulu, Kapit, Sibu, Mukah dan Sarikei yang merangkumi keluasan 70,708 kilometer persegi.

Ia merupakan antara koridor pembangunan yang terbesar di negara ini dan menjadi mutiara baru ekonomi Malaysia selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Keseluruhannya, sebanyak RM833 bilion akan dilaburkan dalam koridor-koridor pembangunan itu dalam tempoh 18 hingga 25 tahun dengan SCORE menerima RM334 bilion, WPI mendapat RM105 bilion, NCER memperoleh RM177 bilion, ECER menjana pelaburan RM112 bilion dan SDC dimajukan dengan pelaburan RM105 bilion.

‘‘Tenaga merupakan teras utama Koridor Sarawak dan menjadi elemen terpenting bagi menjayakan pembangunan koridor ini. Sesungguhnya pembangunan tenaga hidro, arang batu, petroleum dan gas mempunyai potensi besar untuk dibangunkan.

‘‘Pembangunan sektor perindustrian dapat memoden dan mempelbagaikan ekonomi Sarawak. Di samping itu ia membolehkan ekonomi Sarawak to move up the value chain,” kata Abdullah pada pelancaran SCORE yang turut dihadiri oleh isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isterinya, Puan Sri Laila Taib.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Aziz Samsudin dan barisan menteri Kabinet negeri juga hadir menyaksikan pelancaran koridor pembangunan itu yang bakal melonjakkan ekonomi Sarawak ke arah satu kehebatan baru.

Pada majlis itu, Abdullah menyaksikan upacara menandatangani 13 MoU antara kerajaan negeri dengan syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam pembangunan koridor tersebut.

Antara MoU yang ditandatangani ialah persefahaman antara kerajaan negeri dengan Sarawak Energy Bhd., Cahaya Mata Bhd. dan Rio Tinto Aluminium Ltd. bagi membekalkan tenaga antara 900 megawatt hingga 1,200 megawatt untuk projek loji peleburan aluminium di Similajau dengan pelaburan bernilai RM5.25 bilion.

Pada majlis itu, Abdullah turut mengumumkan peruntukan RM5 bilion untuk projek berimpak tinggi yang telah dikenal pasti dalam jangka masa Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi memacu pembangunan Koridor Sarawak.

‘‘Peruntukan ini akan disediakan melalui kajian semula projek di bawah RMK-9 dan penambahan peruntukan semasa kajian separuh penggal RMK-9 nanti,” kata beliau.

Mengulas mengenai pelaksanaan SCORE, beliau berkata, sebanyak sepuluh industri telah dikenal pasti untuk diberi penekanan khusus termasuk industri berasaskan petroleum dan gas, aluminium, keluli, kaca, minyak sawit, kejuruteraan marin, ternakan serta perikanan dan akuakultur.

Apabila dimajukan, kata Perdana Menteri, industri-industri itu dijangka membawa impak ekonomi yang besar kepada Sarawak dan mampu dijadikan asas untuk membangunkan industri-industri hiliran dan sokongan lain.

Kata Abdullah: ‘‘Betapa tingginya terbang burung kenyalang, begitu tingginya juga harapan rakyat Sarawak terhadap kejayaan koridor ini.

‘‘Sekarang tibalah masanya untuk kita melaksanakan pelan pembangunan Koridor Sarawak.”

Friday, February 8, 2008

Demi kepentingan rakyat – PM

Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan penguatkuasaan sepenuhnya larangan membawa keluar 10 daripada 20 barang kawalan di semua pintu masuk sempadan dibuat demi kepentingan rakyat negara ini.

Perdana Menteri berkata, tindakan kerajaan itu bagi memastikan rakyat tidak akan berhadapan dengan kekurangan barang kawalan itu seperti yang berlaku sebelum ini.

‘‘Ini adalah tindakan baik demi kepentingan rakyat, memandangkan bila barang-barang kawalan itu murah, ia akan menarik rakyat negara jiran untuk membawanya pulang ke negara masing-masing.

‘‘Keadaan ini akan mencetuskan masalah kekurangan barang-barang tersebut di pasaran tempatan dan menimbulkan masalah kepada rakyat negara ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Dewan Wawasan, Menara PGRM di sini hari ini.

Turut hadir pada rumah terbuka itu ialah isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Penasihat Gerakan yang juga Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal mengumumkan kerajaan akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan membawa keluar 10 daripada 20 barang kawalan di semua pintu masuk sempadan negara mulai 1 Mac ini.

Sepuluh barang kawalan tersebut yang diwartakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 ialah gula, tepung gandum, minyak masak, simen dan klinker, petrol, spirit motor dan gasolin motor bagi semua gred.

Mereka yang didapati membawa keluar barang-barang kawalan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, hukumannya ialah denda maksimum RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

‘‘Barang-barang kawalan itu telah diberi subsidi serta murah dan ia adalah khusus untuk kepentingan rakyat negara ini bukan untuk orang lain,’’ tegas Perdana Menteri.

Parlimen bubar 2 minggu lagi? -- Spekulasi pilihan raya seawal 8 Mac atau paling lewat 15 Mac

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Teka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum ke-12 terus hangat diperkatakan dengan spekulasi terbaru membayangkan ia akan diadakan seawal 8 Mac atau selewat-lewatnya 15 Mac ini.

Bagi membolehkan pilihan raya diadakan pada tarikh itu, ramai membuat andaian bahawa pembubaran Parlimen akan berlaku sekitar dua minggu lagi.

Sungguhpun pandangan pelbagai pihak menjurus kepada awal Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diajukan perkara itu hari ini sekadar berkata: ‘‘Khabar angin adalah khabar angin.’’

Abdullah bagaimanapun berkata, apabila beliau membuat keputusan mengenainya, masa tersebut adalah sesuai.

‘‘Sebarang masa adalah sesuai, bila saya buat keputusan,’’ kata Perdana Menteri ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Dewan Wawasan, Menara PGRM di sini.

Walaupun sering mengelak ketika ditanya mengenai tarikh pilihan raya sebelum ini, jawapan Abdullah semasa melawat Kelantan minggu lepas bahawa beliau ‘‘sudah ada ilham’’, memperkuatkan andaian banyak pihak bahawa ia akan diadakan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, kenyataan terbuka Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali hari ini mengenai ramalan tarikh pembubaran Parlimen terus menghangatkan perbualan berhubung pilihan raya umum.

‘‘Pilihan raya umum semakin hampir dan setiap rakyat perlu memberikan sokongan kepada kerajaan sekarang.

‘‘Saya percaya Parlimen akan dibubarkan dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina di rumah Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan di Taman Gunung View, Ipoh.

Semasa pilihan raya umum ke-11, Parlimen dibubarkan pada 4 Mac 2004. Ia diikuti hari penamaan calon sembilan hari kemudian dan tarikh mengundi pada 21 Mac 2004.

Jika mengikut congakan tempoh dua minggu dari hari ini seperti diramalkan Menteri Besar Perak itu, Parlimen mungkin dibubarkan pada 21 Februari ini.

Mengambil kira trend tempoh 17 hari yang diambil bermula hari pembubaran Parlimen pada pilihan raya umum lepas pula, maka tarikh pembuangan undi kali ini ialah pada Sabtu, 8 Mac.

Demam pilihan raya kini semakin membahang dengan Perdana Menteri sering diajukan pertanyaan mengenai tarikh `keramat’ itu walaupun mandat yang dipegang Barisan Nasional (BN) cuma akan berakhir pada 16 Mei 2009.

Ura-ura bahawa pilihan raya umum akan diadakan Mac ini dibuat berdasarkan beberapa petunjuk positif seperti peningkatan pasaran saham tempatan yang pernah disifatkan Abdullah sebagai bukti keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara yang sedang berkembang baik.

Sementara itu ketika diminta mengulas pencalonan menantunya yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk bertanding Parlimen Rembau oleh UMNO bahagian tersebut, Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata, beliau tidak akan memberi komen mengenai pencalonan sesiapa.

Wednesday, February 6, 2008

Kuasa kerajaan sementara

Oleh ZULKIFLI JALIL (WARTAWAN UTUSAN)

PADA tahun 1970-an, sifat dan elemen kerajaan sementara (caretaker government) dipersoalkan oleh satu pihak di mahkamah.

Ketika itu, tindakan menteri berkenaan, Tengku Razaleigh Hamzah dipersoalkan kerana mengumumkan satu bantuan untuk rakyat semasa Parlimen telah dibubarkan untuk menghadapi pilihan raya umum.

Keputusan mahkamah bagaimanapun akhirnya memutuskan bahawa kerajaan sementara masih berhak memberikan bantuan kepada rakyat semasa tempoh Parlimen bubar asalkan ia tidak melibatkan kepentingan peribadi calon pilihan raya.

“Dengan ini juga bermakna semua menteri dan timbalan menteri semasa tempoh kerajaan sementara masih boleh menggunakan peruntukan untuk rakyat.

“Antaranya seperti memberi bantuan kewangan untuk membaiki jambatan usang, baik pulih sekolah daif dan memberi sumbangan kepada mangsa banjir, cuma asalkan jangan dikaitkan dengan ‘undilah saya’,” demikian kata pakar Perlembagaan Persekutuan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut Rais, fungsi kerajaan sementara berlaku selepas Parlimen dibubarkan yang urusan itu ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong serta diuruskan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Maka, apa yang wujud dalam struktur kerajaan ialah kerajaan sementara yang semata-mata mentadbir negara mengikut lunas-lunas Perlembagaan. Namun ia bukan bermakna kerajaan sebelumnya tidak berkuasa. Cuma, yang lupus hanyalah amalan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Juga hak lupus yang kerajaan sebelumnya tidak boleh laksanakan ialah meluluskan peruntukan undang-undang dan dasar baru menerusi kuasa Parlimen.

“Peruntukan undang-undang menerusi Parlimen baru tidak boleh dibuat. Namun begitu, kuasa-kuasa di bawah semua undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen sebelum bubar boleh dilaksanakan terus oleh kerajaan sementara,” kata Rais.

Isnin lalu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Malaysia bagi menuntut perisytiharan agar kerajaan sementara mengambil alih kerajaan dalam tempoh antara tarikh pembubaran Parlimen sehingga penubuhan Kabinet baru selepas pilihan raya.

Kit Siang turut menuntut perisytiharan bahawa dalam tempoh tersebut, kerajaan sementara itu hanya melaksanakan pentadbiran harian kerajaan tanpa apa-apa kuasa berhubung dasar kebangsaan, peruntukan kewangan awam atau penggunaan kemudahan-kemudahan awam semasa kempen pilihan raya umum nanti.

Mengulas lanjut, Rais berkata, satu lagi aspek kerajaan sementara ialah ia membawa pengertian mengambil alih kerja-kerja pentadbiran. Ia selaras dengan amalan berkerajaan dunia dan Komanwel semasa Parlimen dibubarkan sehingga Dewan Parlimen baru diwujudkan semula, maka kerajaan sementara itu hendaklah secara berhati-hati menjalankan tugasnya. Ini bermakna secara minimum kerajaan sementara menyudahkan sahaja kerja-kerja pentadbiran yang dilaksanakan.

Namun, kata beliau, sekiranya muncul sebarang peristiwa yang memerlukan tindakan tegas misalnya yang menghendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang, maka perkara itu masih boleh diteruskan oleh kerajaan sementara. Ia bukan bermakna kuasa itu dihentikan.

“Hakikatnya dalam semua amalan Komanwel yang berasaskan undang-undang Common Law dan amalan berkerajaan berparlimen dunia, Malaysia sebenarnya telah lama menghormati amalan itu sejak merdeka,” kata Rais.

Dalam aspek ini, kata beliau, jika Perdana Menteri berdepan dengan sesuatu darurat, beliau sebenarnya masih boleh menggunakan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong sewajarnya serta melaksanakan apa juga tugas sedia ada di bawah undang-undang.

“Antaranya, Perdana Menteri masih boleh memberi arahan sedia ada, cuma untuk memperkenalkan undang-undang yang memerlukan kelulusan Parlimen sahaja tidak boleh,” katanya.

Rais bagaimanapun mengakui Perlembagaan Malaysia tidak memperuntukkan kewujudan sifat kerajaan sementara. Ini kerana ia merupakan satu Konvensyen Berparlimen yang telah menjadi amalan dan adat negara-negara di dunia.

“Masih boleh pihak tertentu mempertikaikan kewujudan kerajaan sementara ini, namun konvensyen berkerajaan dunia ini menjadi terasnya (untuk dikekalkan),” kata beliau.

Dalam hal ini, umum tentunya masih mengingati pertikaian mengenai sifat kerajaan sementara ini yang pernah menarik perhatian ramai pada persidangan Dewan Rakyat 1999 selepas Barisan Nasional (BN) meraih semula majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum 29 November tahun tersebut.

Ini berlaku setelah Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan notis memanggil mesyuarat pada 13 Disember tahun itu iaitu dua hari sebelum Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) membentuk kabinet.

Semasa itu, kesemua 43 ahli Parlimen pembangkang yang hadir bertindak keluar dari Dewan Rakyat sebagai membantah notis mesyuarat tersebut kerana mendakwa ia dikeluarkan secara tidak sah kerana ketika itu Kabinet baru belum dibentuk.

Namun, beberapa pengamal undang-undang berpendapat keputusan kerajaan memanggil persidangan Dewan Rakyat sebelum pembentukan Kabinet itu tidak melanggar aturan urusan mesyuarat atau mencabuli Perlembagaan negara.

Tindakan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan notis memanggil mesyuarat Parlimen, menurut mereka, adalah perkara biasa, yang boleh dilakukan oleh Perdana Menteri mewujudkan sebuah kerajaan sementara.

Penulis undang-undang, Salleh Buang semasa memberikan komennya ketika itu berkata, lazimnya bagi sebuah negara demokrasi, Yang di-Pertuan Agong perlu mendapat nasihat daripada pengerusi Kabinet atau menteri Kabinet sebelum mengeluarkan notis memanggil sidang Parlimen.

Beliau menekankan, fakta kewujudan kerajaan sementara tidak boleh diabaikan begitu sahaja seolah-olah tidak ada kerajaan langsung dari tempoh pembubaran Parlimen sehingga Kabinet baru ditubuhkan.

Sebagai perbandingan, Salleh menarik perhatian kes yang berlaku di India apabila kerajaan sementara di New Delhi berjalan selama enam bulan.

Jadi dalam kes Malaysia, keadaannya adalah ‘lebih bagus’ kerana tempoh kerajaan sementara adalah singkat sahaja.

Apa pun, Rais menarik perhatian parti-parti pembangkang di negara ini pernah mempersoalkan kewujudan kerajaan sementara ini tetapi ia tidak memberi sebarang kesan.

Konsep kerajaan sementara ini secara umumnya dipraktikkan di semua negara Komanwel dan Amerika Syarikat.

“Negara-negara yang mempraktikkan undang-undang sivil seperti Eropah amat mengagumi dan menghormati sifat kerajaan sementara ini dengan tidak mengaitkannya dengan sebarang kepentingan politik dan peribadi,” kata Rais.

Suruhanjaya tarik balik hak Anwar ikuti prosiding

KUALA LUMPUR 5 Feb. – Suruhanjaya Diraja Siasatan berhubung klip video membabitkan pengaturan pelantikan hakim-hakim hari ini memutuskan menarik balik hak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengikuti prosiding melalui peguam pemerhatinya, M. Puravelan dan dua lagi, ekoran keengganan bekas Timbalan Perdana Menteri itu memohon maaf serta menarik balik artikel menghina suruhanjaya yang disiarkan dalam satu laman web.

Keputusan tersebut dibacakan oleh ahli suruhanjaya yang juga bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Sejurus selepas keputusan dibacakan, Puravelan, sambil tersenyum kelihatan berjalan keluar meninggalkan prosiding suruhanjaya kira-kira pukul 3.50 petang.

Turut mengekori beliau, peguam Mohd. Yusmadi Md. Yusof, Oh Choong Ghe dan Ravi Nekko yang turut mewakili Anwar, dua pemimpin PKR, R. Sivarasa dan Sim Tze Tsin.

Pada prosiding semalam, oleh kerana Anwar enggan meminta maaf, ahli Suruhanjaya yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar berkata, mereka sedang memikirkan tindakan lanjut yang akan diambil terhadapnya (Anwar).

Sebelum itu, Suruhanjaya Diraja Siasatan klip video pada 30 Januari lalu telah menegur kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dan Presiden Aliran, R. Ramakrishnan yang menghina suruhanjaya itu.

Ahli Suruhanjaya, diberitahu bahawa kenyataan Ramakrishnan disiar pada 28 Januari lalu dalam laman web pertubuhan tersebut.

Artikel bertajuk Inkuiri Lingam: Aliran terkejut dan kecewa menyalahkan keputusan suruhanjaya yang tidak memanggil Anwar, Sivarasa dan Tze Tsin sebagai saksi.

Dalam artikel bertajuk Tangan-tangan ghaib menguasai suruhanjaya tulisan Andrew Ong, Anwar mendakwa ada pihak yang tidak kelihatan telah mempengaruhi suruhanjaya dalam keputusannya untuk tidak memanggil bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai saksi.

Khidmat Ketua Hakim Negara dilanjut 6 bulan

KUALA LUMPUR 5 Feb. – Yang di- Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelanjutan perkhidmatan Datuk Abdul Hamid Mohamad sebagai Ketua Hakim Negara selama enam bulan mulai 18 April hingga 17 Oktober tahun ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pelanjutan itu adalah selaras dengan peruntukan Fasal (1) Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Tambah beliau, Abdul Hamid yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 1 November 2007 akan bersara wajib kerana mencapai umur 66 tahun pada 17 April tahun ini.

FTA Malaysia, India dimuktamad tahun depan

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Hubungan dagang Malaysia dan India meningkat ke tahap baru apabila kedua-dua pihak bersetuju memuktamadkan rundingan mengenai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh (CECA) menjelang Mac tahun depan.

Jawatankuasa rundingan dagang kedua-dua negara, yang baru memuktamadkan mesyuarat pertama mereka di sini hari ini, merumuskan bentuk dan rangka pelaksanaan menyeluruh CECA, yang lebih dikenali sebagai Perjanjan Perdagangan Bebas (FTA), dengan objektif untuk menjalin usaha sama ekonomi yang dinamik dalam jangka panjang antara kedua-dua negara.

Menurut Pejabat Persuruhjaya Tinggi India di sini, jawatankuasa itu yang mengadakan mesyuarat selama dua hari mulai semalam, menetapkan skop liputan bagi perdagangan barangan, perdagangan dalam perkhidmatan, pelaburan dan bidang lain kerjasama ekonomi mengikut CECA.

Mereka juga membentuk kumpulan-kumpulan kerja untuk membincangan lebih mendalam isu-isu berkenaan, kata Pejabat Persuruhjaya Tinggi itu menerusi satu kenyataan hari ini.

"Mesyuarat jawatankuasa itu seterusnya ditetapkan antara 10 dan 12 April di New Delhi. Sesi pertemuan kumpulan-kumpulan kerja pula dilakukan menerusi persidangan video.

Delegasi India diketuai oleh Setiausaha Bersama Perdagangan dan Perindustrian P.K Dash manakala Malaysia diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Perdagangan) Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria.

Tahun lepas, kedua-dua negara bersetuju memulakan rundungan FTA selepas kajian kesesuaian pelaksanaan FTA antara kedua-dua negara selesai.

Menurut kajian, dagangan antara Malaysia dan India menerusi FTA dua hala boleh meningkat sebayak 1.3 kali kepada AS$11.85 bilion (RM38.24 bilion) bagi Malaysia, dan 2.5 kali kepada AS$4.63 bilion (RM14.94 bilion) bagi India menjelang 2012.

Terdapat 13 sektor berpotensi atau bidang bagi kedua-dua negara meneroka lebih lanjut dan meningkatkan kerjasama dua hala menerusi FTA.

Ia meliputi teknologi maklumat dan komunikasi, terutama dalam pembangunan perisian, bioteknologi, pendidikan dan pelancongan.

- Bernama

PM pengerusikan mesyuarat pertama Majlis Harga Negara





PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (tengah) mempengerusikan mesyuarat Majlis Harga Negara di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam. – Bernama.

--------------------------------------------------------------------------------



PUTRAJAYA 5 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Harga Negara (MHN) yang ditubuhkan dengan tujuan untuk mewujudkan mekanisme kawalan harga barangan secara lebih bersepadu.

Mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal; Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy.

Majlis tersebut yang penubuhannya dipersetujui pada mesyuarat Kabinet 9 Januari lalu merupakan satu jawatankuasa tertinggi dengan segala keputusannya perlu dilaksanakan oleh semua agensi kerajaan dan diterima pakai oleh sektor swasta berasaskan peruntukan undang-undang.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan tiga inisiatif baru yang diwujudkan di bawah MHN yang dipengerusikan oleh Abdullah untuk memperkukuh strategi bagi memastikan harga barangan keperluan terus stabil dan bekalannya sentiasa mencukupi di pasaran.

Tiga inisiatif itu adalah Stok Penimbal Kebangsaan, Pusat Panggilan Kebangsaan dan kumpulan pakar yang akan memberi nasihat berhubung segala isu berkaitan harga dan bekalan kepada pengguna.

Monday, February 4, 2008

Malaysia sebuah negara kebajikan - PM

04/02/2008 7:40pm


KOTA BHARU 4 Feb — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah memerintah negara ini selama 50 tahun telahpun membuktikan bahawa apa yang telah dilaksanakan jelas menunjukkan Malaysia merupakan sebuah negara “kebajikan”.

Perdana Menteri berkata, apa yang dilaksanakan kerajaan BN termasuk agenda pembangunan negara untuk rakyat selama ini, sebenarnya amat jelas menepati apa yang dimaksudkan sebagai sebuah negara “kebajikan”.

“Memang pun (kita sebuah negara kebajikan) kalau dari segi apa dilaksanakan, kita bantu (rakyat), daripada makna kebajian itu kita pastikan rakyat mendapat bantuan yang berupa bantuan kebajikan, bantuan untuk kesenangan, kesejahteraan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup jawatankuasa penyelarasan BN Kelantan dan Biro Politik Umno negeri di sini.- Bernama