Saturday, November 29, 2008

Permohonan injunksi Muhammad Shafee 23 Feb.

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar pada 23 Februari tahun depan permohonan injunksi inter- parte (antara pihak) dalam kes saman fitnah peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah terhadap pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin.

Hakim Datuk Tee Ah Sing menetapkan tarikh tersebut di kamar beliau hari ini.

Kes itu yang sepatutnya didengar hari ini, ditangguhkan berikutan peguam utama Raja Petra, Manjeet Singh Dhillon berada di luar negara.

Pada prosiding hari ini, Raja Petra diwakili peguam J. Chandra manakala Muhammad Shafee diwakili peguam S. Ravindran.

Pada 13 Ogos lalu, hakim tersebut membenarkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan oleh Muhammad Shafee supaya Raja Petra menarik balik tiga artikel dalam laman web itu yang didakwa memfitnah beliau.

Raja Petra juga diperintahkan menarik balik semua komen oleh pelawat laman blog itu yang disiarkan berhubung ketiga-tiga artikel berkenaan.

Penulis laman blog tersebut turut diperintah untuk mendedahkan sumber kepada maklumat yang terkandung dalam ketiga-tiga artikel itu, begitu juga identiti semua pelawat yang memberikan komen dalam tempoh tiga hari.

Perintah injunksi itu adalah antara tuntutan yang dikemukakan oleh Muhammad Shafee dalam saman yang difailkan pada 13 Ogos lalu.

Tiga artikel yang disiarkan pada 6, 7 dan 11 Ogos lalu bertajuk Shafee Abdullah: Sodomologist Extraordinaire, Money, Power and Sex: What Motivates Man dan The Real Dalang Behind The Anwar Sodomy Allegation

Thursday, November 27, 2008

Mahkamah Tinggi putuskan kes fitnah Raja Petra

28/11/2008 2:02pm


KUALA LUMPUR 28 Nov. – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi sama ada untuk mengembalikan kes fitnah penulis blog Raja Petra ke Mahkamah Majistret untuk dibicarakan.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat berkata hari ini beliau tidak membuat sebarang keputusan mengenai permohonan pihak pembela kerana ada permohonan seperti itu telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi dan ia adalah wajar untuk menunggu keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Beliau kemudian menetapkan 15 Disember untuk kes itu disebut.

Mohamad Sekeri sepatutnya memberikan keputusan hari ini mengenai bantahan permulaan Raja Petra yang memohon mahkamah itu mengembalikan kes tersebut ke mahkamah rendah untuk perbicaraan dengan alasan bahawa perintah majistret untuk memindahkan kes berkenaan adalah tidak sah, batal dan bertentangan dengan undang-undang.

Majistret itu telah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Sesyen atas alasan ia membabitkan kepentingan awam.

Selain membuat bantahan permulaan, editor Malaysia Today itu melalui peguamnya, Manjeet Singh Dhillon, juga memfailkan satu notis usul di Mahkamah Tinggi pada 25 November memohon satu perintah untuk mengembalikan kes itu ke Mahkamah Majistret atau merujuknya kepada Mahkamah Persekutuan mengenai isu perlembagaan.

Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Disember untuk kes itu didengar.

Raja Petra didakwa memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Rosmah Mansor, Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isterinya, Kolonel Norhayati Hassan, dalam akuan berkanun yang dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil di Jalan Duta di sini pada pukul 10.25 pagi, 18 Jun.

Jika sabit kesalahan, Raja Petra menghadapi hukuman penjara dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya, bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Minggu ini ditetapkan untuk perbicaraan tetapi mahkamah tersebut terpaksa mendengar bantahan permulaan Raja Petra sebelum perbicaraan dijalankan. —BERNAMA.

Kabinet lulus memorandum SPRM

PUTRAJAYA 27 Nov. - Memorandum Rang Undang-Undang untuk menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diluluskan oleh Kabinet, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, beliau tidak pasti sama ada akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Chiang Mai, Thailand bulan depan memandangkan tarikh dua rang undang-undang itu dijadual dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan sama dengan tempoh sidang itu berlangsung.

''Saya belum membuat keputusan (untuk menghadiri sidang kemuncak ASEAN) kerana waktu itu bersamaan dengan sidang Parlimen.

''Ini kerana Kabinet telah buat keputusan menambah empat hari lagi sidang Parlimen dan penambahan empat hari ini disebabkan saya nak bawa dua rang undang-undang ini ke Parlimen yang memerlukan kelulusan," katanya.

Abdullah ditanya sama ada akan menghadiri sidang kemuncak itu di tengah-tengah tunjuk perasaan antikerajaan yang semakin bersemarak di Bangkok yang dikatakan akan menghalang penganjurannya.

Awal Oktober lalu, Abdullah menyenaraikan tiga inisiatif utama untuk dilaksanakan sebelum beliau menyerahkan tugas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selepas berakhirnya tempoh penggal Presiden UMNO pada Mac 2009.

Inisiatif pertama ialah memperkukuhkan institusi negara dengan melibatkan penubuhan tiga buah suruhanjaya yang berkaitan pelantikan hakim, pencegahan rasuah dan agensi penguatkuasaan.

Tuesday, November 25, 2008

'Saya terdesak'

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Suasana Mahkamah Sesyen di sini hari ini bertukar sayu apabila bekas Pengurus Cawangan Pejabat Pos Putrajaya, Zaharah Jaafar yang mengaku melakukan pecah amanah RM95,500 mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman sambil menangis teresak-esak.

Semua yang hadir turut merasa simpati dan ada mengalir air mata semasa wanita yang mendakwa menghidap kanser pangkal rahim itu membacakan rayuan berpandukan satu nota yang ditulisnya.

''Saya reda dengan apa yang telah terjadi, sampai mati pun saya tetap mengaku kesilapan saya dan saya benar-benar bertaubat. Saya minta diberi peluang untuk perbaiki kesilapan.

''Saya juga akan ingatkan zuriat saya agar tidak lakukan kesilapan yang sama kerana ini dosa yang amat besar dan dosa yang amat pedih,'' rayu Zaharah.

Menurut tertuduh, beliau terpaksa melakukan perbuatan tersebut kerana keadaan yang mendesak walaupun ia bukanlah sesuatu yang diinginkan dalam hidupnya.

Kata Zaharah, beliau juga kesal dengan tindakan bodoh yang akhirnya memakan diri apabila reputasi yang dijaga selama 20 tahun di Pos Malaysia musnah begitu sahaja akibat kesilapan tersebut.

''Akhirnya, impian dan cita-cita anak bongsu saya turut musnah apabila dia terpaksa tinggalkan pengajian untuk membantu keluarga serta menampung perbelanjaan pengajian kakaknya di universiti. Dia sanggup lakukan apa saja untuk kakaknya.

''Saya sangat memerlukan sokongan dan saya berharap agar sentiasa dapat bersama anak bongsu saya. Mungkin permintaan saya agak keterlaluan, tetapi dengan budi bicara mahkamah, harap dapat benarkan saya habiskan sisa-sisa hidup di sisi keluarga,'' katanya lagi.

Zaharah, 45, mengaku melakukan pecah amanah wang hasil kutipan harian pejabat pos cawangan tersebut berjumlah kira-kira RM95,500 di Pejabat Pos Putrajaya, Aras 1, Blok B1, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 18 Mei 2006.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang kelihatan tidak bermaya terpaksa bergerak dengan dibantu oleh suami dan dua anak perempuannya.

Terdahulu, peguam Hasnan Hamzah memohon agar Zaharah dibebaskan dengan bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.

Kata beliau, anak guamnya terpaksa melakukan perbuatan itu selepas terdesak untuk membayar hutang ah long sebanyak RM38,000 yang dipinjam bagi membiayai rawatan penyakit yang dihidapinya.

Menurut Hasnan, selepas tiga kali dibedah kerana kanser payu dara pada 1996, tertuduh diserang kanser pangkal rahim dan memerlukan ubat tambahan bagi meredakan kesakitan selain rawatan di hospital kerajaan.

Apabila dipecat serta-merta pada 18 Mei 2006 setelah didapati melakukan pecah amanah, tertuduh sekeluarga hidup dalam kesusahan dengan suaminya terpaksa melakukan pelbagai kerja demi kelangsungan hidup serta untuk menjaga tertuduh.

''Simpanan sebanyak RM15,000 telah dikeluarkan untuk membayar hutang tetapi anak guam saya masih terpaksa menjelaskan bakinya kepada ah long lebih RM3,000 seminggu.

''Tertuduh sekeluarga hidup dalam ketakutan kerana dikejar ah long, malah pernah dibelasah menggunakan topi keledar. Keadaan yang mendesak akhirnya menyebabkan tertuduh terjebak dalam perbuatan itu,'' jelasnya.

Kata Hasnan lagi, beliau juga berhasrat mengemukakan laporan perubatan anak guamnya.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan bahawa pihak hospital memerlukan masa selama empat bulan untuk mengeluarkannya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aqeeb Lizalman Nordin Zamery yang tidak berhasrat memohon hukuman berat, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman mengikut peruntukan di bawah seksyen tersebut iaitu penjara minimum dua tahun.

Hakim S. M. Komathy Suppiah pula memberitahu bahawa sukar untuk beliau membuat pertimbangan tanpa sebarang pengesahan daripada doktor tentang penyakit kanser yang dihidapi tertuduh.

Sehubungan itu, beliau membenarkan hukuman ditangguhkan pada 15 Disember ini untuk membolehkan laporan perubatan dikemukakan atau doktor yang berkenaan hadir untuk memberi penjelasan.

Friday, November 21, 2008

APEC sekata tangani krisis ekonomi



MUHYIDDIN Yassin (barisan kedua di tengah) dan Rais Yatim (duduk dua dari kanan) bersama sebahagian Menteri Perdagangan dan Menteri Luar negara-negara anggota APEC pada sesi bergambar di Lima, semalam.
- AFP

--------------------------------------------------------------------------------
Daripada Baharom Mahusin


LIMA 20 Nov. - Menteri-menteri Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang menamatkan mesyuarat mereka sebelum sidang kemuncak pemimpin APEC bermula esok melancarkan gerakan yang sekata pendiriannya berhubung isu dasar fahaman perlindungan dan rundingan Pusingan Doha bagi menyelamatkan dunia daripada terjerumus ke kancah krisis kewangan dan ekonomi yang lebih dalam.

Menteri-menteri itu, sama ada dari Peru, Malaysia, Jepun, Amerika Syarikat (AS) mahupun negara-negara lain dalam kumpulan 21 ekonomi APEC, masing-masing mahu suatu langkah berkesan dan bersungguh-sungguh dilakukan untuk menangani krisis kewangan yang mulanya dihadapi oleh AS, kemudian melarat ke Eropah sebelum kemelesetan melanda seluruh dunia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu pertemuan menteri-menteri APEC di sini yang turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa dasar fahaman perlindungan perlu dielakkan dalam ekonomi APEC dan juga negara-negara lain kerana ia boleh menyekat akses kepada pasaran dan memburukkan keadaan ekonomi dunia.

"Kita bimbang perdagangan boleh terbantut. Perkara ini juga disuarakan oleh ramai menteri pada mesyuarat APEC tentang perlunya kita mengawal perjalanan institusi kewangan supaya walaupun krisis kewangan ini agak teruk tetapi perdagangan masih dapat dikembangkan," katanya kepada wartawan Malaysia selepas hari pertama mesyuarat itu di Muzium Nasional Peru di sini semalam.

Menteri-menteri APEC merumuskan syor-syor dan saranan mereka petang ini untuk pertimbangan sidang kemuncak ketua negara dan kerajaan pertubuhan serantau itu hujung minggu ini.

Muhyiddin memberitahu, dalam kes Malaysia, unjuran jumlah dagangan pada tahun depan menunjukkan akan berlaku kejatuhan nilai dagangan yang merupakan kesan langsung daripada krisis kewangan yang berlaku sekarang.

"Jangkaan kita penurunan jumlah dagangan sebanyak tujuh peratus, tetapi ia mungkin turun di bawah lima peratus," kata beliau.

Malaysia, katanya, menekankan kepada APEC bahawa kekurangan transparensi dalam sektor swasta di sesetengah negara sebenarnya menjadi antara punca para pemain pasaran kewangan antarabangsa mencetuskan gelora sistemik dalam ekonomi dan menimbulkan masalah yang kini dihadapi oleh masyarakat antarabangsa.

Kemelesetan

Dalam mesyuarat itu, menteri-menteri APEC senada mahukan pendekatan bersepadu diambil untuk mengelakkan dunia tergelincir ke dalam kemelesetan lebih buruk yang mungkin bertambah sukar jika sesetengah negara melaksanakan dasar fahaman perlindungan untuk menyekat ekonomi domestik masing-masing daripada persaingan luar.

Menteri Luar Jepun, Hirofumi Nakasone yang turut berucap di Lima, mengajak 21 ekonomi APEC memberikan mesej yang jelas tentang hala tuju ekonomi dunia. Seperti juga Muhyiddin, Nakasone menggesa supaya rundingan perdagangan bebas Pusingan Doha yang terbantut sejak ia dimulakan tujuh tahun lalu dihidupkan semula.

"APEC perlu memberi respons kepada Deklarasi Kumpulan 20 (G-20) di Washington pada Sabtu lalu dan Nakasone mahu memastikan langkah-langkah yang sesuai diambil untuk menjamin penerusan pertumbuhan ekonomi," kata Yasuhisa Kawamura, seorang pegawai kanan Jepun, pada sidang akhbar di sini bagi menjelaskan pendirian Nakasone dan negaranya dalam mesyuarat tersebut.

Antara ketetapan yang diambil oleh G-20 di Washington ialah komitmen negara-negara anggota kumpulan itu untuk memastikan dasar fahaman perlindungan tidak memburukkan lagi ekonomi dunia selain seruan supaya dihidupkan semula rundingan Pusingan Doha.

Keprihatinan utama menteri-menteri APEC dalam pertemuan di ibu kota Peru ini, yang bakal dimuktamadkan oleh ketua-ketua kerajaan dan negara APEC pada sidang kemuncak dari Jumaat hingga Ahad, adalah mengenai kebuntuan rundingan Pusingan Doha bagi membincangkan penyeragaman dalam peraturan dagang Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri sidang kemuncak itu yang turut disertai Presiden AS, George W. Bush, Presiden China, Hu Jintao dan para pemimpin negara dari 21 buah ekonomi APEC. Najib dijadualkan tiba di sini lewat petang ini.

Rundingan Pusingan Doha di ibu pejabat WTO di Geneva menemui kebuntuan Julai lalu kerana pertelagahan di antara Amerika Syarikat dan India mengenai perdagangan kapas.

Melalui perjanjian yang dapat dimeterai dalam rundingan itu yang berlarutan sejak 2001, WTO berharap tarif ke atas import pelbagai produk dapat dikurangkan dan diselaraskan di seluruh dunia bagi menggalakkan perdagangan bebas.

Menurut Muhyiddin, dalam perbahasan menteri-menteri, APEC menggesa rundingan semula Pusingan Doha peringkat pegawai kanan diadakan "dalam tempoh satu atau dua minggu" sebelum diikuti pertemuan menteri-menteri WTO yang dicadangkan diadakan sebelum hujung tahun ini.

Pendirian Malaysia berhubung rundingan Pusingan Doha dan WTO adalah jelas.

Muhyiddin berkata, banyak perkara telah pun Malaysia persetujui dalam rundingan yang lepas, cuma ada negara seperti AS, negara-negara Kesatuan Eropah, India, Brazil dan China berbeza pandangan berhubung soal subsidi dan sekatan perdagangan bebas.

- Utusan

Sejarah tidak tipu fakta


Dr. RAIS Yatim menerima tepukan gemuruh selepas menyampaikan ucaptama yang bertajuk Hak-Hak Pribumi Dalam Perundangan Dan Perlembagaan Negara di Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

--------------------------------------------------------------------------------
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
(WARTAWAN UTUSAN)


SESUNGGUHNYA fakta sejarah tidak dapat menafikan kewujudan kaum Melayu dan kegemilangan tamadun serta budayanya di kepulauan Nusantara terutama di Semenanjung Tanah Melayu.

Justeru kata-kata yang seakan-akan menidakkan asal-usul orang Melayu di Kepulauan Nusantara sememangnya telah mengguris perasaan kaum itu.

Lantas, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang terkenal sebagai pejuang budaya terutama dunia keMelayuan dengan lantang menangkis segala cemuhan dan penghinaan terhadap orang Melayu itu dengan menghidangkan fakta sejarah yang tidak mungkin dapat disangkal sesiapapun.

Ketika menyampaikan ucaptama pada Program Wacana Isu Perundangan dan Hak-hak Pribumi Dalam Perlembagaan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Memorial Tun Hussein Onn baru-baru ini, Rais penuh bersemangat berkata, orang Melayu dan pribumi kini seharusnya meneliti semula kedudukan dari dua aspek iaitu sejarah dan perundangan kerana kedua-duanya amat berkait rapat.

Ujarnya, fakta sejarah boleh dianggap faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu atau stok Melayu itulah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu.

"Ini seperti mana India adalah negeri orang berketurunan bangsa India yang stok asalnya berunsur Dravidian, orang Arab di Timur Tengah. Bangsa Cina yang bertamadun 5,000 tahun lalu mendiami dan mewarisi negara China atau seperti mana England didiami Anglo-Saxon," katanya.

Tambahnya lagi, seperti Christoper Colombus menemui Red Indians di benua Amerika pada abad ke-15 sebagai penduduk asal benua Amerika, begitulah juga I-Tsing, seorang sarjana Cina yang menetap lama di Palembang sekitar 671 Masihi, menggunakan istilah 'Moloyu' sebagai merujuk kepada orang Melayu yang tinggal di kepulauan Melayu termasuk Semenanjung Tanah Melayu.

Menyebut

Kewujudan awal orang Melayu di kawasan itu diperkuatkan lagi apabila pengembara dan peniaga Arab pada abad ke-7 juga ada menyebut beberapa kawasan negeri Melayu seperti Pahang, Temasik, Terengganu, Jambi dalam catatan mereka.

Jelas Rais, pedagang India mula intim dengan Melaka selang beberapa tahun selepas Parameswara membuka Melaka pada 1403, pedagang Cina mula pesat di negeri itu selepas pelayaran Cheng Ho manakala masyarakat Nyonya Baba dipercayai mula bertempat selepas 1413.

"Tetapi apa yang harus diambil sebagai kenyataan ialah Melayu merupakan penduduk hakiki berkurun-kurun sebelum Melaka dibuka. Melayu sebagai warga asal Semenanjung Tanah Melayu dan Nusantara sudah difaktakan sejarah.

"Jika ini masih dikhuatiri sebagai kurang cukup bukti, 'Sejarah Melayu' penulisan klasik Tun Sri Lanang amat memadai sebagai bukti bahawa orang Melayu dan raja mereka adalah bangsa asal di kepulauan Melayu," katanya.

Di zaman Inggeris bertapak di Semenanjung antara 1874 hingga 1957, tenaga buruh dari India dan China dibawa masuk bagi memenuhi kehendak politik dan ekonomi mereka.

Buruh India dibawa masuk untuk melakukan kerja di sektor kerja raya, perladangan getah dan perkeranian manakala kaum Cina pula untuk memenuhi sektor perlombongan, perniagaan runcit dan keperluan pentadbiran negeri-negeri Selat.

"Jadi untuk menyamakan kedudukan orang Melayu di Semenanjung dan pribumi di Sabah dan Sarawak dengan asal-usul keturunan kaum pendatang amatlah menyeleweng dan bersifat tidak jujur," kata Rais lagi.

Menyentuh mengenai hak orang Melayu, Rais berkata, mujur kaum itu masih mempunyai satu aset yang tidak berjaya dihapuskan penjajah Inggeris iaitu hak-hak keistimewaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.

Menurutnya, apa yang sebenarnya dianggap sebagai ketuanan Melayu itu ialah kedaulatan dan keistimewaan institusi tradisional tersebut yang sentiasa rapat dengan 'psyche keMelayuan' dan secara tradisi, pentadbir Inggeris seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford, Mubin Sheppard dan lain-lainnya sering memperlihatkan sifat simpati mereka terhadap orang Melayu.

"Ini adalah kerana mereka menyedari kedudukan dan hak orang Melayu sebenar. Swettenham pernah berkata orang Melayu mempunyai hak mereka dalam pewaris kepada tanah ini," katanya.

Manakala dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, pegawai-pegawai tinggi Inggeris terus bersedia dan bersimpati terhadap kepentingan orang Melayu sebagai penduduk dan pewaris asal ketika Bintang Tiga dan penjahat komunis cuba merampas Malaya.

"Perkara pokok seperti hak keistimewaan orang Melayu, hak kedaulatan dan kebesaran raja-raja Melayu, hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu diberi peruntukan di dalam perjanjian tersebut," katanya.

Tambahnya, perjanjian itu sah mengatakan bahawa kepentingan orang Melayu dan kaum-kaum lain tidak akan disia-siakan dan ia menjadi asas rujukan Suruhanjaya Reid sembilan tahun kemudian yang merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Ini diperkuatkan lagi dengan laporan Suruhanjaya Reid yang terkandung ayat: "Pihak Pakatan dalam memorandum mereka berkata, Perlembagaan seharusnya memperuntukkan bahawa Yang Di Pertuan Besar (Agong) perlu mempunyai tanggungjawab khas bagi mengawal kedudukan istimewa orang Melayu".

Kata Rais, ungkapan rasmi tersebut membuktikan bahawa kontrak sosial atau ikatan kemasyarakatan adalah persetujuan yang mengiktiraf kedudukan khas orang Melayu di sisi kaum-kaum lain di Malaya ketika itu.

Maka, hasrat politik itu lantas dijadikan Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan walaupun ia telah dipinda sebanyak 45 kali, peruntukan itu tetap kekal sehingga kini di bawah perkara yang sama, ujar Rais.

Sebagai seorang yang arif mengenai undang-undang, Rais menerangkan lagi, setiap perlembagaan sesebuah negara mengandungi apa yang diiktiraf sebagai peruntukan-peruntukan yang tidak boleh diubah atau dipinda melalui proses biasa tetapi hanya melalui kelulusan dua pertiga anggota Dewan Rakyat yang hadir bermesyuarat.

Menyelusuri fakta-fakta sejarah itu, Rais menegaskan satu rumusan perlu difikirkan bagi pihak orang Melayu dan kaum pribumi supaya masa depan anak cucu tidak diganggu gugat serta mereka tidak tercari-cari tentang haluan dan kedudukan bangsa sendiri.

Di satu sudut, Perlembagaan negara dengan kontrak sosial juga perlu diperjelaskan dengan lebih mendalam supaya erti kata sebenarnya tidak lagi dipersoalkan seolah-olah menolak isi kandungan yang telah sedia dibentuk.

Penasihat Perundingan Kebangsaan Melayu, Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman memperjelaskan bahawa konsep kontrak sosial memberi pengertian tertentu terutama hubungan antara negara dengan rakyat dan warganegara serta tiada kaitan dengan hubungan antara kaum.

Keistimewaan

"Dalam konteks falsafah politik, perkataan kontrak sosial berkait rapat dengan tolak ansur berhubung pertukaran tanggungjawab masyarakat sivil dengan jaminan keselamatan dan keistimewaan oleh negara atau kerajaan.

"Konsep ini adalah suatu teori yang lama dan telah diguna pakai oleh tokoh-tokoh falsafah Barat seperti Plato, Hocker, Hobbes dan lain-lain," katanya.

Bagaimanapun, Abd. Aziz berkata, konsep tersebut nampaknya telah diberi pengertian berlainan di negara ini di mana ada sesetengah orang mengatakan perkataan itu ada kaitan dengan tolak ansur yang dicapai dalam perundingan kemerdekaan dalam tahun 1956 dan 1957 antara kaum Melayu, Cina dan India.

Katanya, ada juga pihak mengatakan perkataan kontrak sosial mula timbul dan diguna pakai dalam tahun 1980-an dan diberi erti oleh mereka sebagai isi persetujuan yang dicapai oleh UMNO, MCA dan MIC semasa mereka mula-mula berunding dengan pihak British dan Raja-Raja Melayu untuk mencapai kemerdekaan.

Walau apa pun pengertian kontrak sosial, apa yang penting adalah isi kandungan Perlembagaan negara yang seharusnya difahami rakyat serta menghormati segala peruntukan di dalamnya dan tidak mempertikaikannya, ujar Abd. Aziz.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali pula memperkuatkan lagi perjuangan mempertahankan hak-hak orang Melayu pada wacana itu dengan menggariskan beberapa agenda yang akan diberi perhatian oleh pertubuhan itu.

"Perkasa meletakkan lima asas dalam Perlembagaan negara yang akan menjadi perjuangan berterusan pertubuhan ini bagi memastikan hak orang Melayu dan pribumi dipertahankan," katanya.

Perkasa mencadangkan supaya kedudukan tanah rezab Melayu diberi perlindungan di bawah kuasa raja-raja Melayu melalui pindaan Perkara 159 fasal 5, menyarankan hal-hal berkaitan melibatkan kuasa mahkamah syariah pada Perkara 121 (1A) diperjelas, diperkasakan serta terus dilindungi.

Tidak cukup dengan itu, Ibrahim juga menuntut supaya dilaksanakan penggunaan sepenuhnya bahasa Malaysia dalam segala urusan dan kehakiman negara melalui Perkara 163 dan 167 dan menggesa pihak kerajaan sentiasa memandang serius serta memperkasa hak-hak orang Melayu dan pribumi seperti yang terkandung dalam Perkara 153.

Kuasa raja-raja Melayu juga akan turut menjadi agenda pertubuhan itu yang mahu kerajaan memastikan Perkara 66 itu kekal mutlak dan tidak dipertikaikan.

Seperkara yang patut menjadi kebanggaan orang Melayu dan pribumi mengenai Perkasa adalah pertubuhan itu cukup bersemangat dan penuh yakin bahawa masih belum terlambat untuk kaum itu bangkit memperjuangkan hak yang sudah termaktub.

"Kita masih belum terlambat untuk berjuang demi hak kita. Apa yang berlaku sejak kebelakangan ini amat menginsafkan kita dan seharusnya perjuangan ini diteruskan kerana Melayu akan hilang dunianya jika tiada yang mempertahankannya," katanya.

Friday, November 14, 2008

Curi: Pelakon dipenjara sehari, denda

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Seorang pelakon pembantu drama televisyen memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa dia bertindak mencuri 25 pakaian bernilai RM1,666 akibat desakan hidup bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri lalu.

Noraiza Suzila Azaiz @ Abdul Aziz, 35, yang merayu untuk meringankan hukuman juga memaklumkan perlu menanggung dua anak dengan pendapatan hanya kira-kira RM1,500 sebulan selepas berpisah dengan suami.

Dia turut meluahkan rasa malu kerana melakukan perbuatan tersebut selain menginsafi kesilapannya.

Pakaian

Majistret Aizatul Akmal Maharani kemudian memerintahkan Noraiza dipenjara sehari dan denda RM1,000 atau penjara tiga bulan sebagai hukuman.

Noraiza didakwa mencuri 25 helai pakaian pelbagai jenama bernilai RM1,666 di Jusco, Mid Valley Mega Mall, Lingkaran Syed Putra di sini pada kira-kira pukul 6.45 petang, 2 September lalu.

Tertuduh yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Cif Inspektor Zolkifli Mohd. Yasin manakala tertuduh diwakili peguam dari Biro Bantuan Guaman.

Dua rakyat Indonesia dihukum gantung

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Dua lelaki warga Indonesia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 5,680 gram dadah kanabis, enam tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Ab. Aziz dalam keputusannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa Mohamad Idris, 32, dan Jainuddin, 32, mempunyai niat bersama membawa beg dan mempunyai pengetahuan bahawa beg itu mengandungi dadah.

Menurut beliau, keterangan kedua-dua tertuduh bahawa mereka bertindak atas arahan seseorang yang dikenali sebagai 'Tengku Yan' tidak dapat dibuktikan serta gagal menimbulkan sebarang keraguan.

''Anehnya, tanpa arahan spesifik, kedua-dua tertuduh bergegas ke Taman City dan sampai di sana dengan pantas tanpa tersesat jalan atau tersalah lorong.

''Dengan mengambil keterangan tersebut, mahkamah putuskan bahawa keterangan kedua-dua tertuduh adalah rekaan semata-mata dan sukar dipercayai,'' katanya.

Mohamad dan Jainuddin yang merupakan pekerja pasar borong, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama-sama mengedar dadah tersebut di depan kedai Yonming, Jalan Kepayang, Taman City di sini, pada pukul 7 malam, 10 September 2002.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mahkamah pada 14 Januari lalu memerintahkan Mohamad dan Jainudin yang diwakili peguam bela Mohd. Firuz Jaffril dan Kartar Singh supaya membela diri terhadap pertuduhan itu.

Membuli, dibuli dan perihal penolakan usul

Oleh HATA WAHARI
(WARTAWAN UTUSAN)

TIGA jam 50 minit, itulah yang digunakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk menjawab pelbagai asakan dari Ahli-Ahli Parlimen semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2009 untuk Kementerian Kewangan.

Janji Nor Mohamed untuk mengehadkan penggulungan kepada dua jam tidak dapat dipenuhi berikutan terlalu banyak soalan berulang untuk isu yang sama dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen.

Timbalan Yang Dipertua, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mempengerusikan persidangan dan melihat Ahli-Ahli Parlimen yang bersilih-ganti bangun untuk mendapatkan penjelasan terpaksa bertanya kepada Nor Mohamed berapa lama anggaran masa bagi menggulung perbahasan.

Beliau pada mulanya berkata satu jam tetapi kalau boleh meminta dua jam.

Malangnya masa yang diambil terlebih satu jam 50 minit dan sesetengah isu yang dijawab seperti Valuecap, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) dan TM Berhad membabitkan sehingga 30 orang Ahli Parlimen bangun meminta penjelasan daripada pelbagai sudut.

Apa yang memeningkan isu ini telah berulang kali dijawab bukan sahaja semasa peringkat dasar Bajet 2009 tetapi juga semasa sesi soal jawab.

Seorang rakan yang membuat liputan mengeluh, apa benda baru hendak dilaporkan kalau Ahli-Ahli Parlimen tidak mempunyai isu baru. Asyik dibangkitkan ialah isu-isu lama yang telah berzaman dipersoalkan dan tidak ada bukti menunjukkan berlaku salah guna kuasa malahan Ahli Parlimen pembangkang sendiri tidak dapat membuktikan terdapat penyelewengan.

Nor Mohamed sendiri secara spontan memberitahu, isu-isu yang dibangkitkan telah beberapa kali dijawab dan isu itu tidak akan habis-habis ditanya.

Namun menteri-menteri lain lebih tegas dalam penggulungan dengan tidak mengikut rentak ahli Parlimen pembangkang seperti Nor Mohamed kerana penggulungan di peringkat jawatankuasa sepatutnya mengambil masa satu jam atau lebih sikit.

Persidangan minggu ini juga mencatatkan rekod apabila Dewan Rakyat menerima paling banyak usul di bawah Perkara 18(1) yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sendiri memperakui bahawa kadang-kadang dalam satu hari beliau menerima empat hingga lima usul dari Ahli Parlimen terutama dari pembangkang.

Tetapi semuanya ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat Perkara 18(2) kerana ia tidak perlu disegerakan.

Sama ada Ahli-Ahli Parlimen yang cuba membentangkan usul itu menganggap mereka telah dibuli kerana tidak ada satupun yang lepas, pastinya jawapan klasik Pandikar Amin dan dua lagi timbalan beliau mungkin menyakitkan telinga ahli-ahli Parlimen berkenaan.

Namun jawapan penolakan usul kini semakin pelbagai seperti mana usul Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di bawah Peraturan

Mesyuarat 18(1) untuk membincangkan pengakuan umum oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi di Kuching pada 7 November tahun ini, bahawa beliau pernah memberi rasuah kepada kakitangan mahkamah semasa beliau masih lagi seorang peguam pada tahun 1987.

Pandikar Amin telah menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18(5) yang berbunyi;

"Tidak lebih daripada satu usul menangguhkan mesyuarat menurut peraturan ini, boleh dibawa pada satu hari persidangan mesyuarat".

Apabila Karpal menghantar usul yang sama untuk dibahaskan keesokannya, usul itu sekali lagi ditolak kali ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18(7)(c) dan sebab yang diberi adalah ia melanggar Peraturan Mesyuarat 36(8) dan Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan.

Namun apabila Karpal masih berkeras mengapa usul itu ditolak Pandikar Amin memberikan petua ini kepada beliau.

''Petua daripada saya mengenai dengan soal itu, seolah-olah Yang Berhormat Bukit Gelugor ini saya memisahkan pedas daripada lada dan manis daripada gula. Oleh kerana isu yang berbangkit ini ialah soal Ketua Hakim Negara sekarang, dia sebagai Ketua Hakim Negara. Jadi tidaklah melihat bahawa kelakuan beliau sebelum menjadi

Ketua Hakim Negara itu perlu dibangkitkan di sini.

''Jadi maka itu, saya menolak permohonan usul Yang Berhormat Bukit Gelugor di bawah peraturan mesyuarat dan Perkara 127 Perlembagaan Malaysia seperti yang disebut tadi. Jadi itu adalah pendapat saya bahawa susah saya untuk memisahkan pedas daripada lada dan manis daripada gula. Oleh kerana beliau yang berkenaan itu ialah Ketua Hakim Negara sekarang," kata Pandikar Amin.

Karpal masih ada satu lagi usul yang memerlukan Wan Junaidi Jaafar memberi jawapan iaitu untuk merujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.

Ahli Parlimen itu membangkitkan usul tersebut berikutan jawapan Nazri semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2009 untuk Jabatan Perdana Menteri bahawa bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima hakim kanan bukan dipecat sebaliknya diberhentikan awal.

Namun Karpal menegaskan apa yang dikatakan oleh Nazri adalah tidak benar, satu perkara yang tidak berasas itu bermakna dia melanggar peruntukan 36(12) dan harus dirujuk ke jawatankuasa itu kerana Salleh dan hakim-hakim itu sebenarnya dipecat.

Isnin ini Wan Junaidi akan membuat keputusan kerana telah berjanji akan mengumumkannya selepas membuat siasatan terperinci.

Bagaimanapun untuk pengetahuan, Nazri dalam sidang akhbarnya di Lobi Parlimen mengakui telah membuat kesilapan dan membetulkan kenyataannya bahawa Salleh dan lima hakim kanan itu telah dipecat.

Kenyataan Mahathir amaran kepada Melayu

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri merupakan amaran tegas kepada orang Melayu supaya tidak mengambil mudah sesuatu perkara.

‘‘Kalau berlaku pergeseran yang mana Melayu tidak bersatu atau tidak bercakap dalam satu nada, kita akan lihat orang lain menerajui kerajaan.

‘‘Ia adalah amaran tegas, khususnya kepada orang Melayu supaya mereka sentiasa bersatu padu untuk menerajui kepimpinan negara kerana sudah 52 tahun ahli daripada UMNO menjadi Perdana Menteri dan ini tidak salah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan Pameran Perdagangan Antarabangsa (Intrade) Malaysia dan Forum Perdagangan Perdagangan Antarabangsa (KLITF) 2008, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir yang membidas pihak tertentu yang cuba membangkitkan persoalan tentang keperluan mempunyai seorang Perdana Menteri dari kalangan bukan Melayu atas alasan agar negara tidak dilihat mengamalkan perkauman.

Menurutnya, parti yang mewakili kaum Melayu, sebagai contoh UMNO yang mengetuai parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili Cina, India, penduduk Sabah atau Sarawak perlu terus kukuh dan bersatu bagi memastikan orang Melayu terus menjadi Perdana Menteri sama ada secara tradisi atau konvensyen.

‘‘Apa yang dikatakan oleh Tun tidak harus mewujudkan polemik kerana ia (kenyataan) yang berasaskan kepada apa yang terkandung dalam perlembagaan yang tidak menyatakan Perdana Menteri mesti berasaskan kaum.

‘‘Bagaimanapun, saya tidak mengatakan sama ada saya bersetuju atau tidak mengenainya,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu bergantung kepada rakyat dan senario politik negara pada masa hadapan.

Thursday, November 13, 2008

DEB perlu diperbaiki tingkat pendapatan Melayu

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Kerajaan perlu bertindak segera menyusun semula dasar-dasar di dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi meningkatkan tahap pendapatan orang Melayu.

Pakar-pakar akademik berpendapat perkara tersebut menjadi punca utama mengapa orang Melayu muncul sebagai kaum terbesar di negara ini yang mempunyai pendapatan di bawah RM1,000.

Menurut Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling (gambar), terdapat beberapa sistem ekonomi di negara ini masih tidak tersusun sehingga menyebabkan agenda utama DEB masih sukar dicapai.

''Antara sebab utama terjadi sedemikian ialah orang Melayu masih selesa mengusahakan kegiatan ekonomi bercorak tradisional di kampung dengan menjadi nelayan dan petani,'' katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Malah beliau mengakui aktiviti ekonomi sedemikian tidak menjana pendapatan yang tinggi kepada orang Melayu kerana bukan bercorak komersial.

Beliau mengulas laporan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk S. K. Devamany, semalam, bahawa seramai 301,000 isi kaum rumah Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS).

Sebanyak 495,500 isi rumah mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan di mana isi rumah Cina adalah sebanyak 50,900, India (29,000), Kadazan (29,300), Orang Asli (7,500) dan lain-lain (78,800).

Selain itu, Zainal juga menyatakan penguasaan kaum bukan bumiputera dalam industri kecil dan sederhana (IKS) membuatkan kaum Melayu terus ketinggalan untuk bersaing.

''Masih tidak ramai sebenarnya orang Melayu yang berani memasuki bidang IKS ini walaupun pelbagai bantuan sudah diberikan oleh kerajaan bagi menjayakan agenda pengagihan kekayaan negara secara adil,'' katanya.

Nazri : Enam hakim kanan `memang dipecat’

13/11/2008 12:19pm


KUALA LUMPUR 13 Nov. - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan lima hakim kanan yang lain `sememangnya’ dipecat.

Menurutnya, beliau kesal dengan kesilapannya semasa menjawab satu soalan mengenai pembayaran ex-gratia kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan lima hakim kanan yang lain, di Parlimen baru-baru ini.

Katanya, kenyataan beliau mengenai kemungkinan kesemua hakim tersebut telah dipecat 20 tahun lalu adalah tidak benar, sebaliknya sememangnya mereka telah dipecat namun mereka masih menerima bayaran pencen atas dasar ganti rugi sejak itu.

"Saya telah menemui surat daripada Yang Dipertuan Agong ketika itu yang menulis kepada Ketua Setiausaha Negara masa itu meminta dibayar pencen kepada mereka walau dipecat.

``Surat ini tiada siapa yang tahu. Tetapi saya kesal dengan kenyataan saya di Parlimen... saya tidak ada fakta mencukupi ketika menjawabnya, saya kata 'mereka mungkin dipecat'.

"Itu tidak benar. Saya mahu katakan memang mereka dipecat tetapi mereka masih terima pencen," katanya di lobi Parlimen hari ini. - Utusan.


Rujuk Utusan Online Klik Sini

Monday, November 10, 2008

Abdul Aziz Pengerusi SPR baru, ganti Abdul Rashid

11/11/2008 11:40am


PUTRAJAYA 11 Nov. – Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru menggantikan Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkuat kuasa 31 Disember ini.

Abdul Aziz, 58, merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri yang bersara wajib pada 24 Januari 2006 sebelum dilantik semula ke jawatan sama secara kontrak.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, pelantikan Abdul Aziz dibuat kerana Ab. Rashid telah tamat tempoh perkhidmatannya apabila mencapai umur 66 tahun pada 30 Disember ini. - Utusan

Lewat hantar, usul karpal dan kit siang ditolak

11/11/2008 3:03pm


KUALA LUMPUR 11 Nov. — Gara-gara lewat dihantar, notis usul yang dikemukakan dua Anggota Parlimen DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang semalam gagal dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini apabila ia ditolak kerana ada notis usul lain dikemukakan lebih awal daripada itu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika menjelaskan perkara itu berkata, kedua-dua usul itu ditolak berdasarkan Peraturan Mesyuarat 18(5), di mana apabila Speaker menerima lebih daripada satu usul pada sesuatu hari, usul yang akan ditimbangkan ialah notis usul yang terdahulu diterima.

“Maka notis usul yang dihantar terkemudian akan ditolak melalui Peraturan Mesyuarat 18(5),” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan Karpal Singh yang meminta penjelasan mengapa usul yang dikemukakannya tidak diterima.

Karpal semalam mengemukakan notis usul membincangkan isu kenyataan mengenai rasuah yang dibuat oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Tun Azmi, manakala Lim mengemukakan notis usul bagi mendesak Kabinet mengenepikan keputusan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membebaskan editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pandikar Amin berkata, berdasarkan amalan lazim, apabila usul itu ditolak mengikut Peraturan Mesyuarat 18(5), Anggota Parlimen yang mengemukakan usul berkenaan boleh mengemukakan semula usul sama untuk dipertimbangkan.

Terdahulu, Pandikar Amin turut menolak satu lagi usul yang dikemukakan wakil pembangkang, Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang) bagi membincangkan isu keretakan dan keselamatan Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu, Sabah atas alasan ia tidak perlu disegerakan.

Pandikar Amin berkata usul itu ditolak memandangkan Kementerian Kesihatan telah pun mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah berkenaan.

Hospital Queen Elizabeth ditutup buat sementara waktu sejak Oktober lepas berikutan struktur bangunannya yang tidak selamat untuk digunakan setelah beberapa keretakan dikesan pada bangunannya.

Ekoran itu beberapa blok utama HQE dikosongkan dan pesakit-pesakit turut dipindahkan ke hospital berdekatan secara berperingkat. - Bernama

53,633 calon duduki STPM mulai Rabu ini

10/11/2008 8:49pm


KUALA LUMPUR 10 Nov. — Seramai 53,633 orang calon akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di 751 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai Rabu ini.

Daripada jumlah itu, seramai 46,325 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,723 calon sekolah swasta, 5,123 calon persendirian dan 462 calon sekolah kerajaan negeri, kata kenyataan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di sini hari ini.

Semua calon dinasihat sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC) sepanjang peperiksaan berlangsung.

Kenyataan itu berkata bagi calon yang tidak menerima atau kehilangan LPKC, mereka boleh melayari laman web MPM http:/www.mpm.edu.my untuk mendapatkan dan mencetak butiran pendaftaran mereka.

Kenyataan itu turut menasihatkan calon yang menghadapi kesukaran untuk sampai ke pusat peperiksaan akibat bencana alam seperti banjir agar melaporkan perkara itu kepada Ketua Pengawas di pusat peperiksaan terdekat bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan pada hari berkenaan.

— BERNAMA

Sunday, November 9, 2008

Rang undang-undang cegah rasuah dibaca 11 Disember

Oleh Nurhayati Abllah dan Yusliza Yakimir Abd Talib
bhnews@bharian.com.my

KUALA KANGSAR: Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat secepat mungkin atau selewat-lewatnya 11 Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata selepas Kabinet meluluskan rang undang-undang itu kelmarin, pihaknya kini dalam proses mencetak draf rang undang-undang itu untuk penelitian Ahli Parlimen.

“Rang undang-undang berkenaan akan melantik tujuh atau sembilan anggota bagi Lembaga Penasihat Pencegah Rasuah (LPPR) dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

“Dua lembaga berkenaan akan diketuai oleh seorang ketua pesuruhjaya,” katanya yang belum memutuskan siapa yang akan dilantik sama ada sebagai anggota panel atau ketua pesuruhjaya,” katanya selepas merasmikan Wacana Seni Tan Sri P Ramlee di Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong, Kati, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Wanita Umno Perak, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan Datuk Aziz Satar serta Seniwati Mariani sebagai ahi panel.

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, JKMR boleh dilantik di kalangan anggota Dewan Rakyat atau Dewan Negara, sementara LPPR terdiri daripada komuniti yang dipilih berdasarkan kedudukan serta keyakinan tinggi daripada rakyat.

“Ia jelas menunjukkan mekanisme ‘check and balance’ terhadap perjalanan pembasmian kegiatan rasuah negara. Justeru, jika ada aduan daripada orang ramai terhadap layanan tidak baik sepanjang perkhidmatan yang diberi, aduan boleh dibuat terus kepada jawatankuasa khas itu.

“Apa yang penting dan diinginkan ialah penubuhan suruhanjaya berkenaan dapat memperbaiki perkhidmatan Badan Pencegah Rasuah (BPR),” katanya.

Ketika ditanya berhubung jumlah tenaga kerja dan peningkatan jumlah gaji di kalangan anggota suruhanjaya itu, beliau berkata, ia bergantung kepada keputusan yang dibuat suruhanjaya itu sendiri.

“Apabila ia sudah menjadi suruhanjaya, ia bebas untuk membuat sebarang keputusan berhubung dengan hal mereka. Ini bermakna, mereka bebas untuk menentukan berapa jumlah tenaga kerja diperlukan, memutuskan perolehan gaji dan sebagainya.

“Mereka tidak semestinya menerima jumlah gaji yang sama dengan gaji kakitangan sektor awam. Jadi, mereka akan membincangkan hal itu sebaik mungkin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri meminta semua pihak menghormati keputusan mahkamah yang membebaskan pengendali dan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kelmarin.

Tiga hakim dipecat - Dr. Mahathir

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA 8 Nov. - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua lagi bekas hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lalu telah dipecat dan bukannya ditamatkan perkhidmatan lebih awal.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, bayaran pencen bagaimanapun masih diberikan kepada Salleh dan bekas hakim-hakim tersebut selepas mengambil kira perkhidmatan mereka kepada kerajaan.

''Tun Salleh sebagai contoh telah menerima tiga pencen. Apabila hakim mencapai umur 55, mereka mula menerima pencen dan satu lagi pencen diberikan apabila mereka sampai 65 tahun.

''Tun Salleh juga merupakan bekas ahli Exco kerajaan Terengganu dan dapat satu pencen lagi. Sekarang beliau dapat lagi ex-gratia RM5 juta, saya ucapkan tahniah," katanya selepas menghadiri forum mengenai nilai belia dan kepimpinan masa depan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Khamis lalu, pada sesi Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tribunal terbabit tidak pernah mengeluarkan perintah supaya memecat hakim-hakim itu, dan pada sidang akhbar selepas itu beliau sekali lagi menegaskan bahawa hakim-hakim itu telah diminta meletak jawatan.

Salleh, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Edward Seah dipecat dari jawatan selepas tribunal berkenaan mendapati mereka bersalah atas salah laku dalam krisis kehakiman 1988, sementara tiga hakim lain Tan Sri Datuk Mohd Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh digantung tugas tetapi kemudian dikembalikan ke jawatan mereka.

Ditanya sama ada RM5 juta yang dibayar kepada Salleh merupakan suatu jumlah yang sepatutnya, Dr. Mahathir bagaimanapun enggan memberi ulasan lanjut.

''Ia (jumlah ex-gratia) bergantung kepada kerajaan. Kerajaan dalam mood yang baik dan mereka mempunyai banyak duit dan mahu berikan kepada rakyat," katanya.

Saturday, November 8, 2008

Kabinet setuju gubal Rang Undang-Undang SPRM

Oleh FAUZI JAAFAR

KUCHING 7 Nov. – Jemaah Menteri bersetuju menggubal Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 bagi memperkukuhkan lagi agenda integriti negara.

Dalam ucaptama sempena Majlis Sambutan Hari Integriti Nasional dan Konvensyen Integriti Nasional 2008 yang diadakan di sini hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu, rang undang-undang tersebut disediakan bagi menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Selain memberi kuasa lebih luas kepada para pegawai yang terlibat dalam operasi membanteras rasuah, rang undang-undang tersebut juga memberi asas undang-undang kepada penubuhan SPRM di samping membentuk Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menjelaskan komitmennya bagi meningkatkan integriti negara, antaranya:

- Rang Undang-Undang SPRM 2008 akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen dalam masa terdekat. Sesi Parlimen akan dilanjutkan sehingga 18 Disember untuk membolehkan rang undang-undang tersebut dibahaskan.

- Apabila rang undang-undang tersebut diluluskan ia akan menjadi asas kepada pembentukan sebuah Suruhanjaya Pencegahan yang lebih berwibawa, lebih berkesan dan tertakluk kepada pemantauan luar melalui sistem semak dan imbang yang komprehensif.

- SPRM dianggotai oleh individu yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri daripada kalangan mereka yang terpuji, berintegriti dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

- Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan pembentukan dua buah panel lagi iaitu Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

Thursday, November 6, 2008

Kerajaan bayar ex-gratia RM10.5 juta kepada bekas hakim

06/11/2008 4:33pm


KUALA LUMPUR 6 Nov. - Kerajaan membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, bayaran tersebut adalah Tun Salleh berjumlah RM5 juta, Tan Sri Azmi Kamaruddin (RM2juta), Tan Sri George Edward Seah Kim Seng (RM2juta) dan yang lain iaitu Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh berjumlah RM500,000 setiap seorang. - Utusan.

Tuesday, November 4, 2008

Tiada penyelewengan

Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada sebarang penyelewengan dari segi prosedur dalam pembelian helikopter Eurocopter EC725 Cougar.

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, penilaian dari segi teknikal dan kewangan pembelian 12 helikopter itu yang keseluruhan berharga RM1.604 bilion termasuk pakej ofset adalah mengikut piawaian antarabangsa.

‘‘Kita mendapati wujud pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan dan diguna pakai di peringkat antarabangsa. Ia juga mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara negara ini dan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di bangunan Parlimen di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi PAC dari DAP, Dr. Tan Seng Giew.

Mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari melibatkan sesi taklimat daripada pegawai tertinggi Kementerian Pertahanan mengenai aspek penilaian teknikal dan Kementerian Kewangan berhubung penilaian kos.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembelian helikopter itu sebagai langkah berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia.

Azmi menjelaskan, sebelum ini sebanyak tiga syarikat telah disenarai pendek dalam tender berkenaan yang masing-masing pada harga RM1.262 bilion, RM1.604 bilion dan RM2.442 bilion.

‘‘Kementerian Kewangan telah membuat perakuan untuk memilih Eurocopter pada harga RM1.604 bilion walaupun terdapat sebuah syarikat lain yang menawar kos lebih rendah.

‘‘Ini kerana pengalaman kita mendapati wujud peraturan ketat oleh negara syarikat itu berasal sekiranya kita ingin menaik taraf helikopter yang dibeli,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, skop penilaian oleh PAC hanya melibatkan harga yang ditawar ketika tender dan tidak dapat mencadangkan harga terbaik yang sepatutnya dibeli berdasarkan perbandingan dengan negara lain kerana pakej Eurocopter mempunyai harga berbeza mengikut keperluan tentera negara terbabit.

Dalam pada itu, Azmi berkata, PAC kurang senang kerana tiada penilaian fizikal dilakukan terhadap helikopter yang bakal dibeli sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan.

‘‘Kita juga mengambil berat akan hakikat bahawa jika dilewatkan pembelian Eurocopter, harga yang ditetapkan dalam tender hanya dapat dipertahankan sehingga Februari 2009. Selepas itu rundingan harga baru perlu dilakukan,” katanya.

Menurut beliau, PAC juga memandang serius tentang kelewatan untuk mendapatkan helikopter baru kerana ia akan menyebabkan Nuri yang telah berusia 42 tahun terpaksa diguna sehingga tahun 2015.

‘‘Kerajaan perlu mengambil kira kebimbangan rakyat berikutan 10 buah Nuri telah terhempas dan mengorbankan 95 orang.

‘‘Walaupun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membuat perakuan Nuri boleh dipakai sehingga 20 tahun lagi, kita berpendapat perlu dilakukan proses naik taraf bagi membolehkan ia beroperasi pada waktu malam dan mempunyai sistem pemanduan automatik ketika operasi menyelamat,” ujarnya.

Bagi menjamin tidak wujud sebarang kelemahan daripada segi penilaian teknikal, tambahnya, PAC telah mendapat perakuan Kementerian Pertahanan dan TUDM untuk mewujudkan pangkalan data yang merekodkan masalah yang timbul dalam pembelian terdahulu termasuk pesawat pejuang Skyhawk dan kereta perisai Scorpion sebagai rujukan.

Kata beliau, pihaknya juga mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan panel penilai bebas di semua kementerian untuk memantau segala pembelian yang besar dan menggunakan wang banyak supaya rakyat berasa yakin bahawa segala perolehan dibuat dengan telus.

Menurut Azmi, PAC juga membuat keputusan untuk terus memantau proses pembelian Eurocopter kerana ia adalah kes berprofil tinggi dan akan memanggil balik pegawai berkenaan jika wujud isu-isu baru yang berbangkit.

‘‘Jika kerajaan membuat keputusan untuk membelinya, maka PAC mencadangkan kepada pihak TUDM supaya diadakan pemeriksaan rapi sebelum menerima helikopter yang sudah siap,” ujarnya.

Mengenai nilai RM1.604 bilion itu berbeza daripada jumlah terbaru yang diumumkan oleh Abdullah iaitu RM1.607 bilion pada minggu lalu, beliau menjelaskan, angka yang disebut Perdana Menteri adalah termasuk kos penghantaran helikopter tersebut.