Thursday, November 27, 2008

Kabinet lulus memorandum SPRM

PUTRAJAYA 27 Nov. - Memorandum Rang Undang-Undang untuk menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diluluskan oleh Kabinet, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, beliau tidak pasti sama ada akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Chiang Mai, Thailand bulan depan memandangkan tarikh dua rang undang-undang itu dijadual dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan sama dengan tempoh sidang itu berlangsung.

''Saya belum membuat keputusan (untuk menghadiri sidang kemuncak ASEAN) kerana waktu itu bersamaan dengan sidang Parlimen.

''Ini kerana Kabinet telah buat keputusan menambah empat hari lagi sidang Parlimen dan penambahan empat hari ini disebabkan saya nak bawa dua rang undang-undang ini ke Parlimen yang memerlukan kelulusan," katanya.

Abdullah ditanya sama ada akan menghadiri sidang kemuncak itu di tengah-tengah tunjuk perasaan antikerajaan yang semakin bersemarak di Bangkok yang dikatakan akan menghalang penganjurannya.

Awal Oktober lalu, Abdullah menyenaraikan tiga inisiatif utama untuk dilaksanakan sebelum beliau menyerahkan tugas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selepas berakhirnya tempoh penggal Presiden UMNO pada Mac 2009.

Inisiatif pertama ialah memperkukuhkan institusi negara dengan melibatkan penubuhan tiga buah suruhanjaya yang berkaitan pelantikan hakim, pencegahan rasuah dan agensi penguatkuasaan.

No comments: