11/11/2008 3:03pm
KUALA LUMPUR 11 Nov. — Gara-gara lewat dihantar, notis usul yang dikemukakan dua Anggota Parlimen DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang semalam gagal dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini apabila ia ditolak kerana ada notis usul lain dikemukakan lebih awal daripada itu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika menjelaskan perkara itu berkata, kedua-dua usul itu ditolak berdasarkan Peraturan Mesyuarat 18(5), di mana apabila Speaker menerima lebih daripada satu usul pada sesuatu hari, usul yang akan ditimbangkan ialah notis usul yang terdahulu diterima.
“Maka notis usul yang dihantar terkemudian akan ditolak melalui Peraturan Mesyuarat 18(5),” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan Karpal Singh yang meminta penjelasan mengapa usul yang dikemukakannya tidak diterima.
Karpal semalam mengemukakan notis usul membincangkan isu kenyataan mengenai rasuah yang dibuat oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Tun Azmi, manakala Lim mengemukakan notis usul bagi mendesak Kabinet mengenepikan keputusan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membebaskan editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Pandikar Amin berkata, berdasarkan amalan lazim, apabila usul itu ditolak mengikut Peraturan Mesyuarat 18(5), Anggota Parlimen yang mengemukakan usul berkenaan boleh mengemukakan semula usul sama untuk dipertimbangkan.
Terdahulu, Pandikar Amin turut menolak satu lagi usul yang dikemukakan wakil pembangkang, Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang) bagi membincangkan isu keretakan dan keselamatan Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu, Sabah atas alasan ia tidak perlu disegerakan.
Pandikar Amin berkata usul itu ditolak memandangkan Kementerian Kesihatan telah pun mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah berkenaan.
Hospital Queen Elizabeth ditutup buat sementara waktu sejak Oktober lepas berikutan struktur bangunannya yang tidak selamat untuk digunakan setelah beberapa keretakan dikesan pada bangunannya.
Ekoran itu beberapa blok utama HQE dikosongkan dan pesakit-pesakit turut dipindahkan ke hospital berdekatan secara berperingkat. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment