Saturday, November 8, 2008

Kabinet setuju gubal Rang Undang-Undang SPRM

Oleh FAUZI JAAFAR

KUCHING 7 Nov. – Jemaah Menteri bersetuju menggubal Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 bagi memperkukuhkan lagi agenda integriti negara.

Dalam ucaptama sempena Majlis Sambutan Hari Integriti Nasional dan Konvensyen Integriti Nasional 2008 yang diadakan di sini hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu, rang undang-undang tersebut disediakan bagi menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Selain memberi kuasa lebih luas kepada para pegawai yang terlibat dalam operasi membanteras rasuah, rang undang-undang tersebut juga memberi asas undang-undang kepada penubuhan SPRM di samping membentuk Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menjelaskan komitmennya bagi meningkatkan integriti negara, antaranya:

- Rang Undang-Undang SPRM 2008 akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen dalam masa terdekat. Sesi Parlimen akan dilanjutkan sehingga 18 Disember untuk membolehkan rang undang-undang tersebut dibahaskan.

- Apabila rang undang-undang tersebut diluluskan ia akan menjadi asas kepada pembentukan sebuah Suruhanjaya Pencegahan yang lebih berwibawa, lebih berkesan dan tertakluk kepada pemantauan luar melalui sistem semak dan imbang yang komprehensif.

- SPRM dianggotai oleh individu yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri daripada kalangan mereka yang terpuji, berintegriti dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

- Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan pembentukan dua buah panel lagi iaitu Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

No comments: