Sunday, November 9, 2008

Rang undang-undang cegah rasuah dibaca 11 Disember

Oleh Nurhayati Abllah dan Yusliza Yakimir Abd Talib
bhnews@bharian.com.my

KUALA KANGSAR: Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat secepat mungkin atau selewat-lewatnya 11 Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata selepas Kabinet meluluskan rang undang-undang itu kelmarin, pihaknya kini dalam proses mencetak draf rang undang-undang itu untuk penelitian Ahli Parlimen.

“Rang undang-undang berkenaan akan melantik tujuh atau sembilan anggota bagi Lembaga Penasihat Pencegah Rasuah (LPPR) dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

“Dua lembaga berkenaan akan diketuai oleh seorang ketua pesuruhjaya,” katanya yang belum memutuskan siapa yang akan dilantik sama ada sebagai anggota panel atau ketua pesuruhjaya,” katanya selepas merasmikan Wacana Seni Tan Sri P Ramlee di Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong, Kati, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Wanita Umno Perak, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan Datuk Aziz Satar serta Seniwati Mariani sebagai ahi panel.

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, JKMR boleh dilantik di kalangan anggota Dewan Rakyat atau Dewan Negara, sementara LPPR terdiri daripada komuniti yang dipilih berdasarkan kedudukan serta keyakinan tinggi daripada rakyat.

“Ia jelas menunjukkan mekanisme ‘check and balance’ terhadap perjalanan pembasmian kegiatan rasuah negara. Justeru, jika ada aduan daripada orang ramai terhadap layanan tidak baik sepanjang perkhidmatan yang diberi, aduan boleh dibuat terus kepada jawatankuasa khas itu.

“Apa yang penting dan diinginkan ialah penubuhan suruhanjaya berkenaan dapat memperbaiki perkhidmatan Badan Pencegah Rasuah (BPR),” katanya.

Ketika ditanya berhubung jumlah tenaga kerja dan peningkatan jumlah gaji di kalangan anggota suruhanjaya itu, beliau berkata, ia bergantung kepada keputusan yang dibuat suruhanjaya itu sendiri.

“Apabila ia sudah menjadi suruhanjaya, ia bebas untuk membuat sebarang keputusan berhubung dengan hal mereka. Ini bermakna, mereka bebas untuk menentukan berapa jumlah tenaga kerja diperlukan, memutuskan perolehan gaji dan sebagainya.

“Mereka tidak semestinya menerima jumlah gaji yang sama dengan gaji kakitangan sektor awam. Jadi, mereka akan membincangkan hal itu sebaik mungkin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri meminta semua pihak menghormati keputusan mahkamah yang membebaskan pengendali dan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kelmarin.

No comments: