Friday, November 14, 2008

Curi: Pelakon dipenjara sehari, denda

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Seorang pelakon pembantu drama televisyen memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa dia bertindak mencuri 25 pakaian bernilai RM1,666 akibat desakan hidup bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri lalu.

Noraiza Suzila Azaiz @ Abdul Aziz, 35, yang merayu untuk meringankan hukuman juga memaklumkan perlu menanggung dua anak dengan pendapatan hanya kira-kira RM1,500 sebulan selepas berpisah dengan suami.

Dia turut meluahkan rasa malu kerana melakukan perbuatan tersebut selain menginsafi kesilapannya.

Pakaian

Majistret Aizatul Akmal Maharani kemudian memerintahkan Noraiza dipenjara sehari dan denda RM1,000 atau penjara tiga bulan sebagai hukuman.

Noraiza didakwa mencuri 25 helai pakaian pelbagai jenama bernilai RM1,666 di Jusco, Mid Valley Mega Mall, Lingkaran Syed Putra di sini pada kira-kira pukul 6.45 petang, 2 September lalu.

Tertuduh yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Cif Inspektor Zolkifli Mohd. Yasin manakala tertuduh diwakili peguam dari Biro Bantuan Guaman.

No comments: