Tuesday, November 25, 2008

'Saya terdesak'

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Suasana Mahkamah Sesyen di sini hari ini bertukar sayu apabila bekas Pengurus Cawangan Pejabat Pos Putrajaya, Zaharah Jaafar yang mengaku melakukan pecah amanah RM95,500 mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman sambil menangis teresak-esak.

Semua yang hadir turut merasa simpati dan ada mengalir air mata semasa wanita yang mendakwa menghidap kanser pangkal rahim itu membacakan rayuan berpandukan satu nota yang ditulisnya.

''Saya reda dengan apa yang telah terjadi, sampai mati pun saya tetap mengaku kesilapan saya dan saya benar-benar bertaubat. Saya minta diberi peluang untuk perbaiki kesilapan.

''Saya juga akan ingatkan zuriat saya agar tidak lakukan kesilapan yang sama kerana ini dosa yang amat besar dan dosa yang amat pedih,'' rayu Zaharah.

Menurut tertuduh, beliau terpaksa melakukan perbuatan tersebut kerana keadaan yang mendesak walaupun ia bukanlah sesuatu yang diinginkan dalam hidupnya.

Kata Zaharah, beliau juga kesal dengan tindakan bodoh yang akhirnya memakan diri apabila reputasi yang dijaga selama 20 tahun di Pos Malaysia musnah begitu sahaja akibat kesilapan tersebut.

''Akhirnya, impian dan cita-cita anak bongsu saya turut musnah apabila dia terpaksa tinggalkan pengajian untuk membantu keluarga serta menampung perbelanjaan pengajian kakaknya di universiti. Dia sanggup lakukan apa saja untuk kakaknya.

''Saya sangat memerlukan sokongan dan saya berharap agar sentiasa dapat bersama anak bongsu saya. Mungkin permintaan saya agak keterlaluan, tetapi dengan budi bicara mahkamah, harap dapat benarkan saya habiskan sisa-sisa hidup di sisi keluarga,'' katanya lagi.

Zaharah, 45, mengaku melakukan pecah amanah wang hasil kutipan harian pejabat pos cawangan tersebut berjumlah kira-kira RM95,500 di Pejabat Pos Putrajaya, Aras 1, Blok B1, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 18 Mei 2006.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang kelihatan tidak bermaya terpaksa bergerak dengan dibantu oleh suami dan dua anak perempuannya.

Terdahulu, peguam Hasnan Hamzah memohon agar Zaharah dibebaskan dengan bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.

Kata beliau, anak guamnya terpaksa melakukan perbuatan itu selepas terdesak untuk membayar hutang ah long sebanyak RM38,000 yang dipinjam bagi membiayai rawatan penyakit yang dihidapinya.

Menurut Hasnan, selepas tiga kali dibedah kerana kanser payu dara pada 1996, tertuduh diserang kanser pangkal rahim dan memerlukan ubat tambahan bagi meredakan kesakitan selain rawatan di hospital kerajaan.

Apabila dipecat serta-merta pada 18 Mei 2006 setelah didapati melakukan pecah amanah, tertuduh sekeluarga hidup dalam kesusahan dengan suaminya terpaksa melakukan pelbagai kerja demi kelangsungan hidup serta untuk menjaga tertuduh.

''Simpanan sebanyak RM15,000 telah dikeluarkan untuk membayar hutang tetapi anak guam saya masih terpaksa menjelaskan bakinya kepada ah long lebih RM3,000 seminggu.

''Tertuduh sekeluarga hidup dalam ketakutan kerana dikejar ah long, malah pernah dibelasah menggunakan topi keledar. Keadaan yang mendesak akhirnya menyebabkan tertuduh terjebak dalam perbuatan itu,'' jelasnya.

Kata Hasnan lagi, beliau juga berhasrat mengemukakan laporan perubatan anak guamnya.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan bahawa pihak hospital memerlukan masa selama empat bulan untuk mengeluarkannya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aqeeb Lizalman Nordin Zamery yang tidak berhasrat memohon hukuman berat, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman mengikut peruntukan di bawah seksyen tersebut iaitu penjara minimum dua tahun.

Hakim S. M. Komathy Suppiah pula memberitahu bahawa sukar untuk beliau membuat pertimbangan tanpa sebarang pengesahan daripada doktor tentang penyakit kanser yang dihidapi tertuduh.

Sehubungan itu, beliau membenarkan hukuman ditangguhkan pada 15 Disember ini untuk membolehkan laporan perubatan dikemukakan atau doktor yang berkenaan hadir untuk memberi penjelasan.

No comments: