Friday, November 14, 2008

Dua rakyat Indonesia dihukum gantung

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Dua lelaki warga Indonesia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 5,680 gram dadah kanabis, enam tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Ab. Aziz dalam keputusannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa Mohamad Idris, 32, dan Jainuddin, 32, mempunyai niat bersama membawa beg dan mempunyai pengetahuan bahawa beg itu mengandungi dadah.

Menurut beliau, keterangan kedua-dua tertuduh bahawa mereka bertindak atas arahan seseorang yang dikenali sebagai 'Tengku Yan' tidak dapat dibuktikan serta gagal menimbulkan sebarang keraguan.

''Anehnya, tanpa arahan spesifik, kedua-dua tertuduh bergegas ke Taman City dan sampai di sana dengan pantas tanpa tersesat jalan atau tersalah lorong.

''Dengan mengambil keterangan tersebut, mahkamah putuskan bahawa keterangan kedua-dua tertuduh adalah rekaan semata-mata dan sukar dipercayai,'' katanya.

Mohamad dan Jainuddin yang merupakan pekerja pasar borong, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama-sama mengedar dadah tersebut di depan kedai Yonming, Jalan Kepayang, Taman City di sini, pada pukul 7 malam, 10 September 2002.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mahkamah pada 14 Januari lalu memerintahkan Mohamad dan Jainudin yang diwakili peguam bela Mohd. Firuz Jaffril dan Kartar Singh supaya membela diri terhadap pertuduhan itu.

No comments: