Thursday, November 27, 2008

Mahkamah Tinggi putuskan kes fitnah Raja Petra

28/11/2008 2:02pm


KUALA LUMPUR 28 Nov. – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi sama ada untuk mengembalikan kes fitnah penulis blog Raja Petra ke Mahkamah Majistret untuk dibicarakan.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat berkata hari ini beliau tidak membuat sebarang keputusan mengenai permohonan pihak pembela kerana ada permohonan seperti itu telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi dan ia adalah wajar untuk menunggu keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Beliau kemudian menetapkan 15 Disember untuk kes itu disebut.

Mohamad Sekeri sepatutnya memberikan keputusan hari ini mengenai bantahan permulaan Raja Petra yang memohon mahkamah itu mengembalikan kes tersebut ke mahkamah rendah untuk perbicaraan dengan alasan bahawa perintah majistret untuk memindahkan kes berkenaan adalah tidak sah, batal dan bertentangan dengan undang-undang.

Majistret itu telah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Sesyen atas alasan ia membabitkan kepentingan awam.

Selain membuat bantahan permulaan, editor Malaysia Today itu melalui peguamnya, Manjeet Singh Dhillon, juga memfailkan satu notis usul di Mahkamah Tinggi pada 25 November memohon satu perintah untuk mengembalikan kes itu ke Mahkamah Majistret atau merujuknya kepada Mahkamah Persekutuan mengenai isu perlembagaan.

Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Disember untuk kes itu didengar.

Raja Petra didakwa memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Rosmah Mansor, Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isterinya, Kolonel Norhayati Hassan, dalam akuan berkanun yang dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil di Jalan Duta di sini pada pukul 10.25 pagi, 18 Jun.

Jika sabit kesalahan, Raja Petra menghadapi hukuman penjara dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya, bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Minggu ini ditetapkan untuk perbicaraan tetapi mahkamah tersebut terpaksa mendengar bantahan permulaan Raja Petra sebelum perbicaraan dijalankan. —BERNAMA.

No comments: