Friday, November 21, 2008
APEC sekata tangani krisis ekonomi
MUHYIDDIN Yassin (barisan kedua di tengah) dan Rais Yatim (duduk dua dari kanan) bersama sebahagian Menteri Perdagangan dan Menteri Luar negara-negara anggota APEC pada sesi bergambar di Lima, semalam.
- AFP
--------------------------------------------------------------------------------
Daripada Baharom Mahusin
LIMA 20 Nov. - Menteri-menteri Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang menamatkan mesyuarat mereka sebelum sidang kemuncak pemimpin APEC bermula esok melancarkan gerakan yang sekata pendiriannya berhubung isu dasar fahaman perlindungan dan rundingan Pusingan Doha bagi menyelamatkan dunia daripada terjerumus ke kancah krisis kewangan dan ekonomi yang lebih dalam.
Menteri-menteri itu, sama ada dari Peru, Malaysia, Jepun, Amerika Syarikat (AS) mahupun negara-negara lain dalam kumpulan 21 ekonomi APEC, masing-masing mahu suatu langkah berkesan dan bersungguh-sungguh dilakukan untuk menangani krisis kewangan yang mulanya dihadapi oleh AS, kemudian melarat ke Eropah sebelum kemelesetan melanda seluruh dunia.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu pertemuan menteri-menteri APEC di sini yang turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa dasar fahaman perlindungan perlu dielakkan dalam ekonomi APEC dan juga negara-negara lain kerana ia boleh menyekat akses kepada pasaran dan memburukkan keadaan ekonomi dunia.
"Kita bimbang perdagangan boleh terbantut. Perkara ini juga disuarakan oleh ramai menteri pada mesyuarat APEC tentang perlunya kita mengawal perjalanan institusi kewangan supaya walaupun krisis kewangan ini agak teruk tetapi perdagangan masih dapat dikembangkan," katanya kepada wartawan Malaysia selepas hari pertama mesyuarat itu di Muzium Nasional Peru di sini semalam.
Menteri-menteri APEC merumuskan syor-syor dan saranan mereka petang ini untuk pertimbangan sidang kemuncak ketua negara dan kerajaan pertubuhan serantau itu hujung minggu ini.
Muhyiddin memberitahu, dalam kes Malaysia, unjuran jumlah dagangan pada tahun depan menunjukkan akan berlaku kejatuhan nilai dagangan yang merupakan kesan langsung daripada krisis kewangan yang berlaku sekarang.
"Jangkaan kita penurunan jumlah dagangan sebanyak tujuh peratus, tetapi ia mungkin turun di bawah lima peratus," kata beliau.
Malaysia, katanya, menekankan kepada APEC bahawa kekurangan transparensi dalam sektor swasta di sesetengah negara sebenarnya menjadi antara punca para pemain pasaran kewangan antarabangsa mencetuskan gelora sistemik dalam ekonomi dan menimbulkan masalah yang kini dihadapi oleh masyarakat antarabangsa.
Kemelesetan
Dalam mesyuarat itu, menteri-menteri APEC senada mahukan pendekatan bersepadu diambil untuk mengelakkan dunia tergelincir ke dalam kemelesetan lebih buruk yang mungkin bertambah sukar jika sesetengah negara melaksanakan dasar fahaman perlindungan untuk menyekat ekonomi domestik masing-masing daripada persaingan luar.
Menteri Luar Jepun, Hirofumi Nakasone yang turut berucap di Lima, mengajak 21 ekonomi APEC memberikan mesej yang jelas tentang hala tuju ekonomi dunia. Seperti juga Muhyiddin, Nakasone menggesa supaya rundingan perdagangan bebas Pusingan Doha yang terbantut sejak ia dimulakan tujuh tahun lalu dihidupkan semula.
"APEC perlu memberi respons kepada Deklarasi Kumpulan 20 (G-20) di Washington pada Sabtu lalu dan Nakasone mahu memastikan langkah-langkah yang sesuai diambil untuk menjamin penerusan pertumbuhan ekonomi," kata Yasuhisa Kawamura, seorang pegawai kanan Jepun, pada sidang akhbar di sini bagi menjelaskan pendirian Nakasone dan negaranya dalam mesyuarat tersebut.
Antara ketetapan yang diambil oleh G-20 di Washington ialah komitmen negara-negara anggota kumpulan itu untuk memastikan dasar fahaman perlindungan tidak memburukkan lagi ekonomi dunia selain seruan supaya dihidupkan semula rundingan Pusingan Doha.
Keprihatinan utama menteri-menteri APEC dalam pertemuan di ibu kota Peru ini, yang bakal dimuktamadkan oleh ketua-ketua kerajaan dan negara APEC pada sidang kemuncak dari Jumaat hingga Ahad, adalah mengenai kebuntuan rundingan Pusingan Doha bagi membincangkan penyeragaman dalam peraturan dagang Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri sidang kemuncak itu yang turut disertai Presiden AS, George W. Bush, Presiden China, Hu Jintao dan para pemimpin negara dari 21 buah ekonomi APEC. Najib dijadualkan tiba di sini lewat petang ini.
Rundingan Pusingan Doha di ibu pejabat WTO di Geneva menemui kebuntuan Julai lalu kerana pertelagahan di antara Amerika Syarikat dan India mengenai perdagangan kapas.
Melalui perjanjian yang dapat dimeterai dalam rundingan itu yang berlarutan sejak 2001, WTO berharap tarif ke atas import pelbagai produk dapat dikurangkan dan diselaraskan di seluruh dunia bagi menggalakkan perdagangan bebas.
Menurut Muhyiddin, dalam perbahasan menteri-menteri, APEC menggesa rundingan semula Pusingan Doha peringkat pegawai kanan diadakan "dalam tempoh satu atau dua minggu" sebelum diikuti pertemuan menteri-menteri WTO yang dicadangkan diadakan sebelum hujung tahun ini.
Pendirian Malaysia berhubung rundingan Pusingan Doha dan WTO adalah jelas.
Muhyiddin berkata, banyak perkara telah pun Malaysia persetujui dalam rundingan yang lepas, cuma ada negara seperti AS, negara-negara Kesatuan Eropah, India, Brazil dan China berbeza pandangan berhubung soal subsidi dan sekatan perdagangan bebas.
- Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment