Thursday, November 13, 2008

DEB perlu diperbaiki tingkat pendapatan Melayu

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Kerajaan perlu bertindak segera menyusun semula dasar-dasar di dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi meningkatkan tahap pendapatan orang Melayu.

Pakar-pakar akademik berpendapat perkara tersebut menjadi punca utama mengapa orang Melayu muncul sebagai kaum terbesar di negara ini yang mempunyai pendapatan di bawah RM1,000.

Menurut Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling (gambar), terdapat beberapa sistem ekonomi di negara ini masih tidak tersusun sehingga menyebabkan agenda utama DEB masih sukar dicapai.

''Antara sebab utama terjadi sedemikian ialah orang Melayu masih selesa mengusahakan kegiatan ekonomi bercorak tradisional di kampung dengan menjadi nelayan dan petani,'' katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Malah beliau mengakui aktiviti ekonomi sedemikian tidak menjana pendapatan yang tinggi kepada orang Melayu kerana bukan bercorak komersial.

Beliau mengulas laporan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk S. K. Devamany, semalam, bahawa seramai 301,000 isi kaum rumah Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS).

Sebanyak 495,500 isi rumah mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan di mana isi rumah Cina adalah sebanyak 50,900, India (29,000), Kadazan (29,300), Orang Asli (7,500) dan lain-lain (78,800).

Selain itu, Zainal juga menyatakan penguasaan kaum bukan bumiputera dalam industri kecil dan sederhana (IKS) membuatkan kaum Melayu terus ketinggalan untuk bersaing.

''Masih tidak ramai sebenarnya orang Melayu yang berani memasuki bidang IKS ini walaupun pelbagai bantuan sudah diberikan oleh kerajaan bagi menjayakan agenda pengagihan kekayaan negara secara adil,'' katanya.

No comments: