Thursday, January 24, 2008

Stok penimbal ditubuh -- Langkah baru kawal kekurangan bekalan, harga barang keperluan

Oleh HAMDEN RAMLI dan HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 23 Jan. – Kerajaan hari ini mengumumkan pewujudan Stok Penimbal Kebangsaan iaitu inisiatif baru untuk memperkukuh strategi bagi memastikan harga barangan keperluan terus stabil dan bekalannya sentiasa mencukupi di pasaran.

Dua lagi inisiatif yang diperkenalkan ialah penubuhan Pusat Panggilan Kebangsaan yang beroperasi selama 24 jam dan kumpulan pakar yang akan memberi nasihat berhubung segala isu berkaitan harga dan bekalan kepada pengguna.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketiga-tiga inisiatif itu akan diwujudkan di bawah Majlis Harga Negara (MHN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Jelas beliau, Stok Penimbal Kebangsaan akan berfungsi menyimpan barangan komoditi tertentu yang boleh diagihkan untuk kegunaan rakyat sekiranya berlaku masalah kekurangan bekalan di pasaran.

‘‘Kerajaan sedar dalam konteks pasaran dunia masa kini dengan tekanan pada harga komoditi maka satu tindakan yang bersifat komprehensif dan berorientasikan tindakan perlu dilakukan dengan segera.

‘‘Usaha terhadap isu tersebut amat penting dan kerajaan sangat prihatin tentang tindakan yang perlu diambil bagi mengawal kepentingan rakyat,” katanya pada sidang akhbar mengenai penubuhan MHN di kediaman rasminya di Sri Satria di sini.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal.

Penubuhan MHN telah dipersetujui pada mesyuarat Kabinet 9 Januari lalu dan ia merupakan satu jawatankuasa tertinggi dengan segala keputusannya perlu dilaksanakan oleh semua agensi kerajaan dan diterima pakai oleh sektor swasta berasaskan peruntukan undang-undang.

Najib berkata, senarai barangan keperluan yang akan dijadikan stok simpanan itu akan ditentukan pada mesyuarat pertama MHN yang dijadual diadakan sebaik sahaja Perdana Menteri kembali daripada menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

Mengenai Pusat Panggilan Kebangsaan, beliau berkata, ia akan menerima segala aduan pengguna mengenai sebarang masalah mengenai harga dan bekalan barangan keperluan di pasaran.

“Pusat panggilan itu akan dianggotai oleh para pegawai yang mencukupi supaya pengguna boleh membuat aduan pada bila-bila masa dan seterusnya mengambil tindakan melalui unit penguatkuasaan KPDNHEP atau kementerian berkaitan.

“Melalui aduan itu kita dapat membuat rumusan mengenai harga barangan, bekalan atau lain-lain untuk dijadikan input kepada perbincangan dalam MHN,” katanya.

Di samping itu, katanya, kumpulan pakar yang diwakili antaranya oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan dewan perniagaan pula akan memberi input- input penting kepada MHN.

Kumpulan itu akan diketuai oleh Penasihat Jawatankuasa Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF), Datuk Dr. Kamal Salleh.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penubuhan MHN bagaimanapun tidak semestinya memberi jaminan harga barang akan dikurangkan kerana tujuan utama majlis adalah bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga terus stabil.

“Objektif utama majlis ini adalah untuk meminimumkan kesan kenaikan harga barang terhadap kos sara hidup dan penurunan kuasa beli rakyat,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif terbaru kerajaan itu merupakan kesinambungan usaha kerajaan selama ini dalam mengawal harga barang dan memastikan bekalan mencukupi yang telah menunjukkan kesan positif.

“Jika tidak, inflasi di negara kita tidak mungkin berada di paras yang rendah seperti pada November tahun lalu, ia hanya berada pada kadar dua peratus.

“Dari sudut antarabangsa, kadar inflasi di Malaysia adalah yang terendah di dunia, ini merupakan cerminan kepada usaha positif yang dilakukan oleh kerajaan selama ini,” katanya.

Justeru beliau menolak kaitan penubuhan MHN dengan pilihan raya yang semakin hampir.

Ditanya adakah kerajaan akan menambah senarai barangan kawalan, beliau menjelaskan, ia terpulang kepada MHN untuk menentukan tetapi yang penting ialah harga barangan stabil meskipun ia bukan barang kawalan.

Sementara itu, Najib menegaskan, penguatkuasaan perlu diperketatkan bagi memastikan barangan keperluan utama di negara ini tidak diseludup ke luar negara.

Bagaimanapun jelas beliau, warga asing termasuk dari Singapura tidak dihalang untuk membeli-belah di Malaysia.

“Kita alu-alukan mereka membeli-belah di negara ini dan kalau hendak membeli barangan keperluan, ia hanya untuk kegunaan dalam negara dan tidak boleh dibawa keluar,” katanya.

No comments: