Tuesday, January 29, 2008

Makna ‘raya’ pilihan raya




Oleh ANIS YUSAL YUSOFF



Calon yang bertanding dalam pilihan raya umum biasanya diangkat oleh parti politik yang diwakili sebelum menerima mandat para pengundi. – Gambar hiasan.

--------------------------------------------------------------------------------



DI mana ‘rayanya’ dalam pilihan raya? Ini adalah satu soalan yang mungkin jarang difikirkan ramai. Kenapa proses pemilihan wakil rakyat, satu usaha yang dianggap serius untuk memilih wakil untuk bersuara bagi pihak rakyat dalam dewan-dewan yang membentuk undang-undang negeri dan negara dikaitkan dengan ‘raya’, iaitu satu perkataan yang selalunya dikaitkan dengan sambutan atau hari keramaian untuk meraikan sesuatu kejayaan.

Apa kesamaan pilihan raya dengan Hari Raya? Pasti pihak yang memilih perkataan ‘pilihan raya’ sebagai terjemahan bahasa Melayu untuk perkataan election dalam bahasa Inggeris mempunyai justifikasi tersendiri. Kalau tidak, mungkin kita perlu ubah perkataan bahasa Inggeris untuk menjadi election-celebration.

Pada hemat penulis, ‘pilihan raya’ dipilih mungkin juga kerana suasana ketika kempen dan hari pemilihan itu berlangsung dalam suasana yang riuhrendah dengan kibaran bendera dan poster-poster dan juga berkemungkinan kerana ‘angpau’ bertukar tangan yang memberi gambaran seolah-olah kita sedang berhari raya.

Apa pun alasannya, apa yang lebih penting yang berlaku pada hari tersebut adalah proses pemilihan, di mana rakyat berkuasa untuk memilih wakil mereka.

Soalan selanjutnya yang perlu kita tanya, adakah rakyat benar-benar berkuasa untuk memilih wakil mereka? Atau mereka hanya memilih calon yang telah ditentukan oleh pucuk pimpinan parti politik? Pada kebiasaannya dalam 11 pilihan raya yang lalu mengikut sistem demokrasi di Malaysia, rakyat yang layak mengundi diberi hak untuk memilih calon parti yang ditentukan oleh pucuk pimpinan.

Soalnya pula, bagaimana calon-calon ini dipilih? Bagi seorang wakil rakyat yang sedang berkhidmat, pucuk pimpinan sesebuah parti boleh memilih semula individu ini berdasarkan prestasi mereka dalam mewakili rakyat. Kerja-kerja yang mereka lakukan dalam memaju dan membangunkan kawasannya boleh dijadikan indikator untuk beliau dipilih semula.

Bagaimanapun terdapat faktor-faktor lain yang juga penting untuk diambil kira, seperti penerimaan rakyat terhadap wakil yang telah memberi khidmat bakti kepada rakyat yang telah beliau wakili.

Sebagai contoh, mungkin terdapat individu-individu di sesebuah kawasan yang telah sedia diterima oleh rakyat setempat dan dikenali akan ketokohan dan budi pekerti yang tinggi, namun mereka tidak dipilih sebagai calon kerana ada percaturan politik lain yang lebih penting kepada parti.

Semua ini merumitkan lagi proses pemilihan. Mungkin di atas kejayaan menangani segala kerumitan ini menjadikan sebab untuk kita rayakan hari di mana pilihan rakyat menjadi penentu kepada segala macam kempen dan strategi politik untuk memancing undi.

Ada banyak lagi persoalan yang tidak terjawab dalam benak pemikiran penulis sebenarnya. Namun sebagai usaha untuk membawa isu ini ke tengah dan dijadikan bahan untuk dibincangkan. Kita perlu memberi fokus kepada kriteria untuk memilih calon.

Bagi calon yang sedang berkhidmat, pucuk pimpinan parti mungkin sudah menyediakan kad laporan mengenai wakil rakyat tersebut dan bagi mereka yang banyak mendapat markah berdakwat merah, mereka ini berkemungkinan akan digugurkan.

Di sini, mungkin parti-parti politik perlu mengambil kira pandangan rakyat, agar markah dalam kad laporan wakil rakyat tersebut sebenarnya dinilai dan diberi oleh rakyat dari kawasan mereka sendiri. Dengan cara ini sekurang-kurangnya rakyat merasakan bahawa mereka juga turut terlibat dan suara mereka juga diambil kira dalam menentukan orang yang mewakili mereka sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau di Parlimen.


Menghormati

Apa yang lebih penting ialah wakil-wakil ini juga harus menghormati rakyat yang diwakilinya, iaitu kumpulan yang sebenarnya memilih mereka dan bukan hanya perlu akur kepada kehendak pucuk pimpinan yang meletakkan mereka sebagai calon parti di satu-satu kawasan.

Pada hari ini, rata-rata wakil rakyat mungkin merasakan bahawa mereka bertuah kerana dipilih oleh pucuk pimpinan untuk menjadi calon parti dan berkemungkinan besar lupa akan tanggungjawab sebenar mereka pada kawasan dan harapan rakyat yang diletakkan di atas bahu mereka.

Sebab itu kalau ada antara rakyat yang rajin menyemak soalan-soalan wakil rakyat mereka di Parlimen, kita akan dapati amat jarang sekali soalan yang dikemukakan bertanyakan mengenai masalah rakyat atau mengenai pembangunan kawasan-kawasan yang mereka wakili. Ada sesetengah wakil rakyat langsung membisukan diri atau ada pula yang hanya bercakap untuk memenuhi kuota yang mereka telah melakukan kerja mereka.

Oleh kerana itu ada rakyat yang menjadi ‘jelik’ bila membaca laporan sidang Parlimen di akhbar-akhbar, bila dilaporkan bahawa wakil-wakil rakyat mereka lebih serius berbincang tentang kain ketat pakaian pramugari daripada masalah kemiskinan rakyat di kawasan mereka.

Rakyat juga menjadi keliru bila membaca tentang wakil yang berhormat mereka yang diletakkan di tempat terhormat di mana undang-undang digubal tetapi mendapati orang yang sama melanggari undang-undang yang mereka terlibat sama gubal. Tidak terlepas juga wakil-wakil yang ditangkap melakukan kerja-kerja yang tidak bermoral.

Soalnya, masihkah ada tempat untuk orang yang semacam ini diberi mandat oleh pucuk pimpinan parti untuk dipilih semula oleh rakyat?

Perkara-perkara inilah yang perlu dibincangkan dan diambil kira oleh parti-parti politik, tidak kira di sebelah mana mereka berada supaya rakyat tidak merasa tertipu. Rakyat negara ini pada masa ini rata-rata berpendidikan dan masanya telah tiba untuk parti-parti politik mengambil serius pandangan dan kehendak rakyat terbanyak.

Parti-parti politik harus sedar bahawa bukan semua rakyat adalah ahli parti politik. Ramai daripada rakyat yang memilih untuk tidak berparti atau ‘non-partisan’, maka kerana itu parti-parti politik harus lebih berhati-hati dalam meletakkan calon masing-masing.

Bagaimana pula halnya pemilihan kepada calon-calon baru yang akan pertama kali bertanding dan kalau dipilih akan mendapat pengalaman pertama menjadi yang berhormat. Apakah kriteria yang parti masing-masing gunakan dalam memilih calon baru kerana mereka ini tidak ada kad laporan seperti wakil rakyat yang sedang berkhidmat?

Salahkah untuk mereka ini melobi untuk dipilih sebagai calon, sedangkan untuk dikurniakan pingat dan bintang kebesaran pun penerimanya sendiri diminta untuk mengisi borang. Bagaimana pula dengan faktor usia? Berapa umur pencen wakil rakyat yang sedang berkhidmat?

Kalau yang sudah berkhidmat berpenggal-penggal masih terus mahu menjadi wakil walaupun sudah tidak mampu menggalas tanggungjawab, bila pula giliran orang muda yang bertenaga dan berpendidikan tinggi untuk diberi peluang?

Soalan demi soalan yang patut ditanya oleh rakyat biasa juga harus menjadi panduan parti dalam membuat pemilihan. Ada ketikanya apabila sesebuah parti itu gagal mencari wakil daripada kalangan ahli parti untuk dijadikan calon, maka ditawarkan kepada orang di luar parti yang mempunyai pengaruh dan kedudukan. Kita telah melihat beberapa bekas ahli akademik dan penjawat awam yang dipilih sebagai calon dan ramai yang kini bergelar yang berhormat.

Dalam konteks pemilihan calon pada hari ini, parti harus memberi penumpuan untuk menawarkan calon kepada rakyat, seorang manusia yang bakal menjadi orang ‘Yang Berkhidmat’ daripada mereka yang merasakan diri sebagai yang berhormat. Calon terbaik pilihan parti untuk ditawarkan kepada rakyat sebagai calon parti masing-masing haruslah dari awal dipilih daripada kalangan orang yang amanah, bijak dan beriman, cekap, dedikasi, etika tinggi, fikiran terbuka, gemilang peribadi, hati yang mulia dan yang paling penting adalah pada orang yang mempunyai integriti.

Keikhlasan parti-parti politik untuk memberi wakil terbaik di kalangan rakyat harus dilakukan dengan telus. Terutama sekali dalam memperkenalkan latar belakang calon masing-masing. Dalam zaman yang serba moden ini, tidak salah untuk rakyat mengharapkan orang yang bakal mereka pilih adalah orang yang lebih baik dan lebih bijak daripada mereka dalam setiap aspek, dari pendidikannya, kelakuannya sehinggalah kepada kebolehan yang ada pada calon yang boleh membantu pembangunan tempatan.

Mungkinkah pilihan raya yang ke-12 ini akan menjadi permulaan di mana rakyat dapat membaca laporan Badan Pencegah Rasuah serta polis mengenai latar belakang setiap calon yang bakal bertanding? Rakyat ingin tahu bahawa calon-calon yang bakal mereka pilih ini bebas daripada memberi dan menerima rasuah, juga bebas daripada segala salah laku yang menyebabkan mereka mempunyai rekod polis.

Sekiranya ini tercapai, mungkin benarlah dengan perkataan raya dalam pilihan raya itu. Sekurang-kurangnya rakyat dapat merayakan saat itu, atau setidak-tidaknya meraikan hasrat dan harapan untuk melihat integriti dalam pilihan raya terus terpelihara.

* ANIS YUSAL YUSOFF ialah Pengarah Sektor Politik, Institut Integriti Malaysia.

No comments: