Thursday, January 17, 2008

'Hanya saya, PM tahu'



Oleh Anwar Hussin dan Munira Yusoff


BERI KETERANGAN: Samsudin hadir memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Diraja rakaman klip video Lingam, semalam.



Bekas KSN keliru bagaimana Lingam dapat rahsia sulit kerajaan

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, tidak tahu bagaimana Datuk VK Lingam mengetahui keputusan sulit kerajaan berhubung pelantikan hakim kerana beliau sendiri tidak mengenali peguam itu.

"Secara jujurnya saya benar-benar tidak tahu. Setahu saya, perkara itu memang sulit kerana ia (komunikasi mengenai pelantikan hakim) hanya diketahui saya dan Perdana Menteri.



"Saya menegaskan bahawa kami (kerajaan) mempunyai tahap keselamatan tinggi untuk memastikan maklumat sulit sentiasa dilindungi. Banyak perkara penting perlu dirahsiakan.

"Dalam hal (Lingam tahu mengenai pelantikan hakim) ini, saya juga keliru," katanya ketika ditanya anggota Suruhanjaya Diraja, Datuk Mahadev Shankar, bagaimana nama dua peguam yang dicadangkan Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah kepada Perdana Menteri untuk dilantik sebagai hakim, tetapi tidak diterima Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu, boleh sampai ke pengetahuan Lingam.

Mahadev berkata, berdasarkan keterangan Samsudin, adalah jelas maklumat mengenai keputusan Dr Mahathir menggugurkan nama dua peguam yang dicalonkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi itu, tidak pernah diumumkan.


Sebaliknya, isu itu hanya dibincangkan melalui surat dengan Dzaiddin dan surat berkenaan disimpan di Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Mahadev juga menyoal bagaimana perkara itu, yang sepatutnya hanya diketahui pihak tertentu, boleh dibincangkan secara terbuka dalam perbualan telefon oleh Lingam seperti yang dirakamkan di rumahnya pada 20 Disember 2001.

"Perbualan Lingam menunjukkan peguam itu mengetahui maklumat sulit (kerajaan) dan boleh menimbulkan andaian bahawa beliau mempunyai akses kepada banyak maklumat sulit lain," tanya Mahadev.

Samsudin menjawab: "Saya juga tidak faham. Malah orangnya (Lingam) pun saya tidak kenal."


Bekas Ketua Setiausaha Negara itu juga mengesahkan 30 surat dan dokumen berhubung pelantikan Ahmad Fairuz yang dikemukakan sebagai eksibit semasa memberi keterangan adalah dokumen rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Selain itu, katanya surat yang ditandakan eksibit c41 itu juga tidak diberikan kepada menteri atau timbalan menteri.

Pandangan Mahadev itu dibuat berdasarkan keterangan Samsudin, Dr Mahathir hanya menerima tiga daripada lima nama yang dicadangkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi oleh Mohamed Dzaiddin, iaitu bekas Peguam Cara Negara, Datuk Heliliah Yusoff dan dua Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ramly Ali serta Datuk Ahmad Maarof.

Nama dua lagi peguam, Zainudin Ismail dan Dr Andrew Chew Peng Hui, yang turut dicadangkan, digugurkan daripada senarai manakala dua lagi pesuruhjaya kehakiman, Datuk VT Singam dan Datuk Sulaiman Daud, dilantik berdasarkan senarai yang dikemukakan Samsudin kepada Dr Mahathir.

(Nama Zainudin dan Dr Chew timbul dalam perbualan Lingam dengan seorang hakim kanan yang dikatakan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim (ketika itu Hakim Besar Malaya)

"Ketika menerima lima pencalonan itu pada 2 Oktober 2001, saya meminta pandangan Peguam Negara, yang menyokong pelantikan mereka.

"Selain lima nama itu, saya juga mencadangkan beberapa nama yang sedang berkhidmat dan pada pendapat saya dapat dipertimbangkan untuk dilantik Hakim Mahkamah Tinggi. Semua pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari 2002," katanya.

Samsudin juga memberitahu Suruhanjaya Siasatan beliau tidak pernah menghubungi Mohamed Dzaiddin bagi membincangkan pelantikan hakim.

"Sepanjang tempoh perkhidmatan Dzaiddin sebagai Ketua Hakim Negara daripada Disember 2000 hingga Mac 2003, saya tidak pernah berkomunikasi dengan Dzaiddin bagi membincangkan soal pelantikan hakim," katanya menjelaskan soalan peguam pemerhati Majlis Peguam, Ranjit Singh, yang merujuk kepada transkrip perbualan Lingam.

Ditanya Ranjit sama ada beliau tahu Dr Mahathir pernah menghubungi Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi membincangkan pelantikan hakim, Samsudin berkata: 'tidak tahu'.

Mengikut transkrip yang diterjemahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) daripada klip video perbualan telefon Lingam, peguam itu memberitahu dia akan menemui Tengku Adnan untuk mengesyorkan Ahmad Fairuz yang ketika itu Hakim Besar Malaya dilantik Presiden Mahkamah Rayuan.

Lingam juga berkata, dia akan meminta ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan mengingatkan Dr Mahathir supaya menganugerahkan gelaran Tan Sri kepada Ahmad Fairuz.

No comments: