Sunday, January 6, 2008

Mohon injunksi halang MAIWP tuntut mayat isteri

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Seorang pengurus pusat snuker hari ini mengemukakan permohonan bagi mendapatkan perintah injunksi sementara untuk menghalang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menuntut mayat isterinya yang meninggal dunia Ahad lalu.

Ngiam Tee Kong, 52, turut memohon perintah injunksi sementara untuk menghalang Pengarah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), ejen atau kakitangannya daripada menyerahkan mayat Mong Sau Lan, 53, kepada MAIWP.

Permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) itu difailkan oleh beliau melalui firma guaman, Tetuan Karpal Singh & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Beliau turut memfailkan writ saman dan surat perakuan segera bagi membolehkan permohonan tersebut didengar secepat mungkin.

Permohonan tersebut dijadual didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Lau Bee Lan, esok.

Dalam writ saman tersebut, Tee Kong selaku plaintif menamakan HUKM defendan pertama dan MAIWP defendan kedua.

Melalui pernyataan tuntutannya, Tee Kong mendakwa, Sau Lan meninggal dunia pada 30 Disember tahun lalu dan mayatnya kini masih berada di bilik mayat HUKM.

Beliau mendakwa, mereka berkahwin pada tahun 1979 di Pendaftaran Sivil, Petaling Jaya dan sebelum meninggal dunia, isterinya itu mengamalkan ajaran agama Kristian.

Dakwanya, beliau telah menuntut mayat isterinya dari HUKM tetapi dimaklumkan bahawa mayat tersebut hanya akan diserahkan kepadanya jika beliau mengesahkan bahawa isterinya merupakan seorang beragama Islam semasa meninggal dunia.

Beliau turut dimaklumkan bahawa penyerahan mayat itu kepadanya bertujuan mengadakan upacara sembahyang Kristian dan selepas itu mayat tersebut harus dikembalikan kepada MAIWP bagi tujuan pengebumian secara Islam.

Plaintif mendakwa, beliau enggan mematuhi permintaan tersebut dan menuntut mayat isterinya diserahkan kepadanya sebagai suami yang sah kepada Sau Lan tetapi defendan-defendan tidak bersetuju dengan permintaannya itu.

Katanya, pada 31 Disember tahun lalu, beliau telah diserahkan surat ‘Perakuan Masuk Islam’ isterinya di bawah kuasa Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang bertarikh 31 Disember 2007.

Mengikut surat itu, katanya, isterinya telah memeluk agama Islam pada pukul 10.45 pagi, 24 Disember tahun lalu di sebuah rumah di Flat Sri Melaka, Cheras dan didaftarkan di jabatan tersebut pada 31 Disember lalu.

Tee Kong mendakwa, perakuan masuk Islam tersebut tidak mengikut kuasa yang sah menurut undang-undang bagi mengesahkan isterinya telah memeluk agama Islam apatah lagi ia tidak menyatakan nama Islam wanita itu.

Beliau turut mendakwa pendaftaran pemelukan agama Islam yang dilakukan oleh isterinya selepas meninggal dunia adalah tidak mengikut peruntukan-peruntukan Seksyen 89(1) Akta Pengurusan Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

No comments: