Sunday, January 6, 2008

Koperal polis terima suapan dipenjara

KUALA LUMPUR 4 Jan. – Seorang anggota polis berpangkat koperal dihukum penjara tiga tahun dan denda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan suapan RM1,000, enam tahun lalu.

Hakim Nursinah Adzmi menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM25,000 terhadap Abdul Rahman Baba, 45, bagi tuduhan meminta wang suapan.

Beliau memerintahkan tertuduh dihukum penjara tambahan 10 bulan jika gagal membayar denda.

Abdul Rahman juga dihukum penjara masing-masing tiga tahun dan denda RM10,000 bagi tuduhan kedua dan ketiga iaitu bersetuju dan menerima rasuah atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan supaya semua hukuman penjara dijalankan secara serentak.

Nursinah di dalam penghakiman ringkasnya berkata, walau tertuduh mempunyai rekod cemerlang dalam perkhidmatan serta tidak mempunyai sabitan lampau, namun kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Katanya, alasan RM1,000 sebagai ganti rugi berikutan kecederaan yang dialami tertuduh juga tidak dapat diterima kerana dalam masa yang sama dia gagal mengeluarkan saman kepada pengadu yang jelas melanggar undang-undang lalu lintas.

Beliau membenarkan permohonan peguam tertuduh, Dr. Radzuan Ibrahim untuk menangguhkan hukuman penjara sehingga rayuan diputuskan di Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, Nursinah memerintahkan tertuduh membayar denda hari ini selain jumlah ikat jamin ditingkatkan dari RM3,000 kepada RM6,000.

Mengikut pertuduhan, Abdul Rahman didakwa meminta suapan RM5,000 daripada pengadu, Mohd. Hafizi Mohd. Hakim sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang didakwa melakukan kesalahan lalu lintas.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Balai Polis Tun H. S. Lee, di sini pada kira-kira pukul 6.30 petang, 11 Disember 2001.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa bersetuju menerima suapan RM1,000 bagi tujuan tersebut di tempat serta tarikh yang sama pada kira-kira pukul 7.30 malam.

Abdul Rahman turut didakwa menerima rasuah RM1,000 daripada Mohd Hafizi melalui rakan sekerjanya, Lans Koperal Husin Abdul Rahman pada kira-kira pukul 1.30 petang, 14 Disember 2001.

Dia didakwa di bawah Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama bagi setiap pertuduhan.

No comments: