Tuesday, January 15, 2008

Rakam di rumah Lingam -- Suruhanjaya Diraja diberitahu perbualan atur pelantikan hakim

Oleh NOR ZAINAH NORDIN dan NOOR AZMAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Dua pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengesahkan bilik yang menjadi lokasi rakaman klip video perbualan seorang peguam mengenai pelantikan hakim-hakim adalah ruang tamu di rumah peguam Datuk V. K. Lingam.

Pengesahan itu dinyatakan oleh Penolong Penguasa Kanan BPR, Shahadan Mohd. Yatim dan pegawai penyiasat BPR, Penguasa Kanan Chuah Lay Choo pada prosiding di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang bermula di sini hari ini.

Shahadan, 53, ialah saksi pertama prosiding Suruhanjaya Diraja menyiasat klip video perbualan telefon seorang peguam terkenal bagi mengatur pelantikan hakim-hakim yang dikatakan dirakamkan pada tahun 2002.

Pada prosiding hari ini, klip video yang memaparkan perbualan itu dipertontonkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Diraja, Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan empat ahli suruhanjaya itu.

Ia turut disaksikan oleh pihak media serta orang awam yang mengikuti prosiding berkenaan.

Apabila tiba pada bahagian lelaki dalam rakaman klip video itu menyebut ‘‘correct, correct, correct’’ kedengaran suara sinis dan ketawa kecil dari galeri awam.

Klip video selama 14 minit itu yang dirakamkan menggunakan kamera telefon bimbit dipertontonkan melalui empat skrin televisyen berdefinisi tinggi (HDTV) yang diletakkan di empat penjuru bilik Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini.

Ketika peguam R. Thayalan yang mewakili Lingam membangkitkan isu penghinaan mahkamah terhadap ahli perniagaan Loh Mui Fah yang mengakui dalam satu wawancara akhbar bahawa anaknya merakamkan video perbualan telefon itu, ahli Suruhanjaya Diraja, Datuk Mahadev Shanker dengan sinis menyatakan laporan akhbar itu adalah tulisan pemberita yang melaporkan pendedahan Mui Fah.

Saksi pertama, Shahadan yang bertugas di Cawangan Bantuan Teknikal Ibu Pejabat BPR di Putrajaya memberitahu, pada 25 Disember lalu beliau diarahkan oleh Lay Choo supaya mengambil gambar- gambar di rumah Lingam di No. 1, Jalan SS7/24, Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Katanya, beliau merakamkan 17 keping gambar pegun menggunakan kamera digital di ruang tamu dan bilik tetamu rumah Lingam pada pagi Krismas lalu.

“Pada hari tersebut, saya ditunjukkan klip video yang saya fahami bahawa Datuk Lingam sedang berbual-bual melalui telefon. Saya menjadikan klip video itu sebagai asas dan panduan ketika mengambil gambar di rumahnya.

“Datuk Lingam sendiri yang membenarkan saya memasuki rumahnya. Dia menunjukkan ruang tamu serta bilik tetamu sebelum beredar meninggalkan saya mengambil gambar-gambar di situ,” katanya.

Ketika menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh Pegawai Pengendali kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja, Datuk Nordin Hassan, Shahadan menceritakan apa yang dilakukannya di rumah Lingam.

Gambar-gambar yang diambil menggunakan kamera digital itu dirakamkannya di rumah Lingam berdasarkan imej-imej dalam klip video tersebut.

Katanya, gambar-gambar pegun itu diambil mengikut posisi objek-objek yang terdapat dalam klip video berkenaan.

Antaranya beliau merakamkan gambar mangkuk porselin, pintu bilik tetamu, dinding, siling yang mempunyai dua saluran alat hawa dingin, lampu candelier, langsir, sofa, lampu meja serta gambar Lingam dan isteri bersama Sai Baba, tokoh spiritual dari India, yang digantung pada dinding bilik itu.

Menjawab soalan peguam pemerhati dari Badan Peguam Malaysia, Ranjit Singh, Shahadan menjelaskan, daripada imej klip video yang dirujuknya semasa mengambil gambar itu, beliau mendapati bilik itu adalah sama dengan bilik tetamu di rumah Lingam.

Dalam pada itu, Lay Choo, 52, yang dipanggil sebagai saksi kedua siasatan itu berkata, beliau merupakan pegawai penyiasat bagi kes klip video yang memaparkan perbualan seorang lelaki yang didakwa sebagai Lingam.

Katanya, beliau menerima rakaman klip video itu dalam bentuk cakera padat daripada Penguasa BPR Wan Zulkifli Wan Jusoh pada pukul 9.30 pagi 19 Disember tahun lalu.

Beliau yang mengesahkan memberi arahan kepada Shahadan supaya mengambil gambar di rumah Lingam memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja bahawa beliau membuat perbandingan antara gambar pegun yang diambil oleh Shahadan dengan imej-imej yang tertera dalam klip video itu.

“Sebagai pegawai penyiasat, saya membuat kesimpulan bahawa terdapat persamaan antara gambar-gambar yang diambil dengan imej-imej dalam klip video itu. Ia dirakamkan di tempat yang sama (di lokasi) Shahadan mengambil gambar-gambar itu,” ujarnya.

Lay Choo berkata, beliau bertanggungjawab memberi alamat rumah Lingam kepada Shahadan malah beliau sendiri pernah pergi ke rumah itu.

Katanya, beliau juga menyediakan transkrip perbualan lelaki dalam klip video itu.

Menurut Lay Choo, beliau turut mengarahkan Wan Zulkifli menghantar klip video itu untuk dianalisis oleh pakar Cybersecurity Malaysia pada 26 Disember 2007 dan menerima semula rakaman itu pada Sabtu lalu.

Lay Choo akan menyambung keterangannya esok dan beliau dijangka mendedahkan identiti dua lelaki yang berbual-bual mengenai pelantikan hakim-hakim seperti yang dipaparkan dalam klip video itu.

No comments: